Tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Merujuk kepada ayat di atas, bolehkah saya kata nilai murninya ialah " taat kepada ibu bapa " ? | Soalan: Tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Merujuk kepada ayat di atas, bolehkah saya kata nilai murninya ialah " taat kepada ibu bapa " ? Jawapan: Boleh. | Lain-lain | 10.07.2014 |
Salam. Apakah perbezaan antara "janji" dan "asalkan"? Contohnya dalam ayat berikut: Asalkan/Janji awak tak berasa kedatangan saya menyusahkan awak. Perkataan yang manakah lebih sesuai? Mengapa? | Janji ialah kata nama, asalkan ialah kata keterangan dan lazimnya hadir pada pertengahan ayat, seperti ... asalkan awak tak berasa kedatangan saya menyusahkan awak. Ayat "Janji awak tak berasa kedatangan saya menyusahkan awak" lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan. | Tatabahasa | 15.06.2011 |
apakah peribahasa yang sesuai bagi orang yang suka menyusahkan diri orang lain? | Kamus Peribahasa rujukan kami, Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (Abdullah Hussein) dan Kamus Peribahasa (Abdullah Hassan) disusun mengikut frasa peribahasa, bukan mengikut makna. Saya telah melihat beberapa helai buku-buku tersebut tetapi tidak menjumpai peribahasa yang diperlukan. | Lain-lain | 23.06.2008 |
Merujuk kepada soalan yang ditanya pada 10/07/2014 dan jawapan yang diberi pada hari yang sama. Soalan: Tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Merujuk kepada ayat di atas, bolehkah saya kata nilai murninya ialah " taat kepada ibu bapa " ? Jawapan: Boleh. Ini ialah soalan nilai murni yang keluar dalam peperiksaan percubaan Bahasa Melayu (SJKC) pada 8/7/2014, jawapan yang diberi oleh cikgu sekolah ialah bertimbang rasa, Walaupun saya menyuarakan pendapat saya dan jawapan yang diberi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dia tidak menerima jawapan taat kepada ibubapa. Apakah cara yang ada untuk saya rujuk kepada Jabatan Pelajaran Pulau Pinang mengenai jawapan kepada soalan ini ? Apakah sumber atau personel yang boleh menolong saya dalam hal ini ? | Untuk makluman, dalam hal peperiksaan pihak yang menganjurkan peperiksaan dalam hal ini ialah pihak sekolah merupakan pihak yang berhak dalam hal ehwal peperiksaan termasuklah jawapan kerana sudah pasti pihak sekolah menyediakan soalan bersama dengan jawapan/ skema jawapan yang telah dipersetujui oleh pihak panitia. Jawapan kami sekadar pandangan kami, namun jawapan guru berdasarkan skema yang telah dipersetujui. Perlu diingat bahasa ialah sesuatu yang subjektif dan berkemungkinan boleh menerima pelbagai jawapan daripada satu soalan. Namun pihak penganjur mempunyai kuasa untuk memilih jawapan terbaik yang dirasakan betul berasaskan kewajaran tertentu. | Lain-lain | 15.07.2014 |
Selamat sejahtera tuan. Ini soal yang telah dikemaskinikan daripada tajuk "Di Satu Pihak" atau "Pada Satu Pihak"?. Minta tuan amati karangan ini dan minta maaf kerana menyusahkan tuan memberikan jawab sekali lagi. Saya harapkan usul tuan yang nescaya mampu menyirnakan kesulitan saya ini. | Penggunaan yang betul ialah pada satu pihak. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu serta sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Sila rujuk Tatabahasa Dewan bagi rujukan selanjutnya. | Tatabahasa | 14.08.2016 |
Selamat sejahtera tuan. Ini soal yang telah dikemaskinikan daripada tajuk "Di Satu Pihak" atau "Pada Satu Pihak"?. Minta tuan amati karangan ini dan minta maaf kerana menyusahkan tuan memberikan jawab sekali lagi. Saya harapkan usul tuan yang nescaya mampu menyirnakan kesulitan saya ini. | Penggunaan yang betul ialah pada satu pihak. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu serta sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Sila rujuk Tatabahasa Dewan bagi rujukan selanjutnya. | Tatabahasa | 14.08.2016 |
Salam, saya ingin tahu kenapa Kamus Dewan atau mana-mana kamus Melayu amnya tidak mengkategorikan sesuatu perkataan sebagai kata kerja (verb), kata adjektif dsb, berbanding dengan praktis dalam kamus bahasa Inggeris. Ketiadaan pengkategorian sedemikian menyusahkan dan mengelirukan para pegguna apabila ingin membentuk perkataan dan ayat dengan sempurna. | Untuk makluman saudara, Kamus Dewan bersifat sederhana dan menumpukan pada kata dan makna kata. DBP sedang menyusun Kamus Umum Bahasa Melayu (akan terbit tidak lama lagi) dengan memasukkan kelas kata entri kamus tersebut. | Lain-lain | 25.09.2011 |
1. optimis 2. hina-dina 3. idealis Apakah jenis kata bagi kata di atas. Sama ada kata adjektif atau kata nama. Bolehkah tolongkan saya semak ayat berikut ? 1. Orang yang optimis akan sentiasa bersikap positif atas apa-apa perkara. 2. Pengemis tidak harus dipandang hina-dina kerana mereka mempunyai hak asasi manusia. 3. Janganlah kita menjadi idealis kerana sifat itu menyusahkan orang lain dan diri sendiri. 4. Perselisihan mereka sudah terlerai. Terima kasih! | Golongan kata 1. optimis - kata adjektif dan kata nama 2. hina-dina /hina- kata adjektif dan kata kerja 3. idealis - kata nama Ayat 1. Orang yang optimis akan sentiasa bersikap positif dalam apa-apa perkara. 2. Pengemis tidak harus dipandang hina-dina/hina kerana mereka juga mempunyai hak asasi manusia. 3. Janganlah kita menjadi idealis kerana sifat itu menyusahkan orang lain dan diri sendiri. 4. Perselisihan faham antara mereka sudah terlerai/diselesaikan. | Tatabahasa | 07.03.2010 |
saya ingin kan penjelasan maksud dan juga penngunaan dalam ayat bagi perkataan-perkataan berikut:- i) merudum ii) merundum iii)merundung | 1. ejaan yang betul ialah merudum yang bermaksud berlari beramai-ramai atau jatuh atau merosot dgn teruknya contoh ayat: nilai ringgit merudum kerana diserang oleh pedagang mata wang 2. merundung bermaksud mengacau, mengganggu, menyusahkan: ia merundung suaminya dengan meminta dibelikan itu dan ini. | Tatabahasa | 02.10.2011 |
1. Bolehkah kita memulakan ayat atau satu-satu perenggan dengan "Untuk" ? 2. Lantaran demam yang dialaminya, semua makanan yang disuapkan ke mulutnya terasa __________ . ( pahit atau tawar ). Tolong jelaskan sebabnya. | i. Menurut data kami, perkataan "untuk" boleh berada di pangkal ayat. Sebagai contoh, "Untuk makluman ....." ii. Perkataan "pahit" bermaksud 1 (be)rasa tidak sedap seperti rasa hempedu atau rasa biji langsat: Ubat demam itu ~ sungguh rasanya. 2 ki tidak menyenangkan hati; menyusahkan hati; susah atau sulit: pengalaman yang ~. ~ getir (maung) kesusahan atau kesulitan yang berbagai-bagai. kepahitan 1 keadaan pahit; rasa pahit. 2 ki keadaan yang tidak menyenangkan; kesulitan; kesusahan. Manakala perkataan "tawar" ialah 1 tidak ada rasa (bukan makanan, minuman dan sebagainya); tidak cukup manis, masin dan sebagainya; hambar: air teh ~. 2 tidak masin (bukan air): Air sungai itu ~ sampai ke laut. 3 tidak dpt menyembuhkan penyakit; tidak mujarab (bukan ubat dan sebagainya); sudah hilang kekuatannya (bukan bisa atau racun). Oleh itu, berdasarkan kedua-dua maksud perkataan tersebut, perkataan yang sesuai ialah "pahit". | Lain-lain | 28.06.2016 |