Salam sejahtera, tuan. 1. Menteri Pendidikan akan merasmikan seminar peringkat kebangsaan esok. Adakah ayat ini betul? Jika tidak, pembetulan ialah apa? 2. Baik Ali mahupun Ahman amat bagus dalam mata pelajaran Sejarah. 3. Pemandangan di Tanah Tinggi Cameron pada waktu senja amat indah nian. 4. Lencongan/Gangguan di hadapan menyebabkan Ah Meng tidak dapat meneruskan perjalanannya. 5. Segala gangguan/kesulitan amat dikesali oleh Pihak Jabatan Kerja Raya. 6. Perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan gangguan kepada orang ramai. Adakah ayat ini betul? 7. Yi He menjalin/mencampurkan kedua-dua warna tersebut sebelum melakukan kerja-kerja mengecat. 8. a) Kumpulan ekspedisi berpeluang melihat jutaan kelawar yang muncul dari Gua Rusa pada sebelah petang. b) Kumpulan ekspedisi berpeluang menyaksikan berjuta-juta kelawar yang keluar dari Gua Rusa pada sebelah petang. Ayat manakah yang betul? 9. Kucing itu sakit, maka ia dibawa ke klinik haiwan. Adakah ia betul? Kalau tidak, apakah perkataan yang sesuai? 10. Tangannya meraba-raba/merayau-rayau mencari jarum yang jatuh ke lantai. Adakah ayat ini betul? Sekian, terima kasih. | Ayat yang betul dan sesuai digunakan adalah seperti yang berikut: - Menteri Pendidikan akan merasmikan seminar peringkat kebangsaan esok.
- Baik Ali, mahupun Ahman kedua-duanya amat bagus dalam mata pelajaran Sejarah. atau Ali dan Ahman amat bagus dalam mata pelajaran Sejarah.
- Permandangan di Tanah Tinggi Cameron pada waktu senja amat indah nian. (perkataan “nian” boleh diletakkan di hadapan atau di belakang kata adjektif).
- Lencongan/Gangguan di hadapan menyebabkan Ah Meng tidak dapat meneruskan perjalanannya.
- Sebarang kesulitan amat dikesali. (Jabatan Kerja Raya) Biasanya Jabatan Kerja Raya ditulis pada bahagian bawah sebelah kiri atau kanan papan tanda/teks.
- Perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan gangguan kepada orang ramai.
- Yi He mencampurkan kedua-dua warna cat sebelum melakukan kerja mengecat.
- a) Kumpulan ekspedisi berpeluang melihat jutaan kelawar yang muncul dari Gua Rusa pada sebelah petang. b) Kumpulan ekspedisi berpeluang menyaksikan berjuta-juta kelawar yang keluar dari Gua Rusa pada sebelah petang. Kedua-dua perkataan “melihat” dan “menyaksikan” boleh digunakan dan sama maknanya.
- Kucing itu sakit, maka ia dibawa ke klinik haiwan. (“ia” boleh merujuk kepada kata ganti nama bukan manusia, selain kata ganti nama diri ketiga bagi manusia)
- Tangannya meraba-raba mencari jarum yang jatuh ke lantai.(Perkataan yang sesuai digunakan ialah “meraba-raba”, manakala perkataan “merayau-rayau” digunakan untuk menekankan “merayau”).
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021). | Tatabahasa | 15.07.2024 |