perbezaan antara "menguli" dan "mengadun" | Tidak banyak perbezaan antara perkataan menguli dan mengadun. Kedua-duanya mempunyai makna yang lebih kurang sama iaitu menguli ialah meramas-ramas dan menekan-nekan seperti adunan roti, kuih dengan tangan untuk menyebatikannya, manakala mengadun ialah menggaul sesuatu campuran seperti tepung dengan air, susu dan santan supaya lebih sebati. | Tatabahasa | 14.12.2021 |
Salam sejahtera. Wanita itu sedang _________ kelapa untuk mendapatkan santannya A) memerah B) meramas Merujuk kamus dewan perkataan meramas juga bermaksud memerah. Yang mana satu betul dan apa perbezaannya? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 1808 dan 1672, ramas bermaksud menggumpal atau memerah (adunan, kelapa parut, nasi dan sebagainya) manakala perah bermaksud memulas, memicit dan sebagainya (sesuatu) untuk mengeluarkan air, jus, susu dan sebagainya. Oleh itu, kedua-dua perkataan perah dan ramas boleh digunakan dalam konteks ayat tersebut. Walau bagaimanapun, ayat yang lebih tepat ialah “Wanita itu sedang memerah kelapa parut untuk mendapatkan santannya” atau “Wanita itu sedang meramas kelapa parut untuk mendapatkan santannya”. | Makna | 04.12.2024 |