"Menteri Besar Selangor akan merasmikan pembukaan bangunan baharu itu" , "Perdana menteri akan merasmikan persidangan itu" . Dalam kedua-dua ayat di atas, adakah perkataan "pembukaan" perlu diletakkan selepas "merasmikan"? Ataupun perkataan "merasmikan" sudah memadai? | Kedua-dua ayat tersebut betul, perkataan merasmikan boleh diikuti dengan kata pembukaan/persidangan. | Tatabahasa | 22.10.2014 |
Assalamualaikum.. ingin bertanya ayat yang tepat untuk merasmikan majlis penutupan sesuatu majlis.. "... dengan ini saya merasmikan majlis penutupan Program ..." adakah ayat ini betul atau ada ayat yang lebih tepat? terima kasih | Kata sendi nama/kata hubung "dengan" boleh digunakan pada pangkal ayat yang mempunyai ayat utama atau ayat induk yang lengkap... subjek dan predikatnya. Ayat yang dinyatakan adalah betul penggunaannya. | Tatabahasa | 07.08.2012 |
Dalam ayat yang ada di bawah, apakah ayat yang betul? 1) Sultan Amir telah berkenan untuk mencemar duli merasmikan kawasan rekreasi baharu itu nanti. 2) Sultan Amir telah perkenan untuk mencemar duli merasmikan kawasan rekreasi baharu itu nanti. | Ayat yang betul ialah “Sultan Amir telah berkenan untuk mencemar duli merasmikan kawasan rekreasi baharu itu.” | Tatabahasa | 22.12.2023 |
Salam sejahtera. Adakah ayat berikut tepat dari segi tatabahasa? Perdana Menteri akan merasmikan seminar kewangan itu. Minta penjelasan. Terima kasih. | Ayat ini lengkap kerana ada subjek (Perdana Menteri) dan juga predikatnya (akan merasmikan seminar kewangan itu). | Tatabahasa | 25.08.2011 |
Untuk majlis perasmian penutupan, apakah yang betul untuk perasmi? adakah 'dengan ini saya merasmikan majlis penutup mesyuarat agung ini atau saya dengan rasminya menutup mesyuarat agung ini? Pohon pencerahan tuan. Terima kasih | Dengan ini saya merasmikan majlis penutupan mesyuarat agung ini. | Tatabahasa | 24.01.2017 |
Saya ingin tahu yang manakah format yang betul dan wajar digunakan? Adakah nama diikuti dengan jawatan ATAU jawatan diikuti dengan nama? Contohnya: Ayat 1 - En Faizal Othman, Ketua Pegawai Eksekutif IWK telah merasmikan majlis itu. Ayat 2 - Ketua Pegawai Eksekutif IWK, En Faizal Othman telah merasmikan majlis itu. Yang manakah ayat yang betul? | Berdasarkan konteks ayat yang diberikan, penggunaan yang tepat ialah Encik Faizal Othman, Ketua Pegawai Eksekutif IWK telah merasmikan majlis tersebut. | Lain-lain | 24.07.2018 |
Mohon pencerahan adakah perkataan PERASMI (merujuk kepada penama yang dijemput merasmikan majlis / acara) wujud dalam BM kerana sekarang sering digunakan oleh orang ramai termasuk institusi pendidikan sendiri. | Mengikut Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, maksud "perasmi" ialah "orang yang merasmikan sesuatu". Contoh ayat: "Mereka berdiri di hadapan pintu dewan menunggu kedatangan perasmi seminar itu". | Makna | 14.02.2023 |
Salam, adakah penggunaan huruf besar/huruf kecil sesuai untuk merujuk perkataan 'datuk' dalam ayat di bawah? "Terima kasih, datuk kerana sudi merasmikan Ekspo Pertanian ini," kata Encik Lim kepada Datuk Yap. Terima kasih. | Waalaikumsalam. Ayat yang betul ialah "Terima kasih Datuk kerana sudi merasmikan Ekspo Pertanian ini," kata Encik Lim kepada Datuk Yap. Perkataan "Datuk" ialah gelaran kehormat, perlu dimulakan dengan huruf besar. | Tatabahasa | 13.03.2015 |
Salam sejahtera, tuan. 1. Menteri Pendidikan akan merasmikan seminar peringkat kebangsaan esok. Adakah ayat ini betul? Jika tidak, pembetulan ialah apa? 2. Baik Ali mahupun Ahman amat bagus dalam mata pelajaran Sejarah. 3. Pemandangan di Tanah Tinggi Cameron pada waktu senja amat indah nian. 4. Lencongan/Gangguan di hadapan menyebabkan Ah Meng tidak dapat meneruskan perjalanannya. 5. Segala gangguan/kesulitan amat dikesali oleh Pihak Jabatan Kerja Raya. 6. Perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan gangguan kepada orang ramai. Adakah ayat ini betul? 7. Yi He menjalin/mencampurkan kedua-dua warna tersebut sebelum melakukan kerja-kerja mengecat. 8. a) Kumpulan ekspedisi berpeluang melihat jutaan kelawar yang muncul dari Gua Rusa pada sebelah petang. b) Kumpulan ekspedisi berpeluang menyaksikan berjuta-juta kelawar yang keluar dari Gua Rusa pada sebelah petang. Ayat manakah yang betul? 9. Kucing itu sakit, maka ia dibawa ke klinik haiwan. Adakah ia betul? Kalau tidak, apakah perkataan yang sesuai? 10. Tangannya meraba-raba/merayau-rayau mencari jarum yang jatuh ke lantai. Adakah ayat ini betul? Sekian, terima kasih. | Ayat yang betul dan sesuai digunakan adalah seperti yang berikut: - Menteri Pendidikan akan merasmikan seminar peringkat kebangsaan esok.
- Baik Ali, mahupun Ahman kedua-duanya amat bagus dalam mata pelajaran Sejarah. atau Ali dan Ahman amat bagus dalam mata pelajaran Sejarah.
- Permandangan di Tanah Tinggi Cameron pada waktu senja amat indah nian. (perkataan “nian” boleh diletakkan di hadapan atau di belakang kata adjektif).
- Lencongan/Gangguan di hadapan menyebabkan Ah Meng tidak dapat meneruskan perjalanannya.
- Sebarang kesulitan amat dikesali. (Jabatan Kerja Raya) Biasanya Jabatan Kerja Raya ditulis pada bahagian bawah sebelah kiri atau kanan papan tanda/teks.
- Perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan gangguan kepada orang ramai.
- Yi He mencampurkan kedua-dua warna cat sebelum melakukan kerja mengecat.
- a) Kumpulan ekspedisi berpeluang melihat jutaan kelawar yang muncul dari Gua Rusa pada sebelah petang. b) Kumpulan ekspedisi berpeluang menyaksikan berjuta-juta kelawar yang keluar dari Gua Rusa pada sebelah petang. Kedua-dua perkataan “melihat” dan “menyaksikan” boleh digunakan dan sama maknanya.
- Kucing itu sakit, maka ia dibawa ke klinik haiwan. (“ia” boleh merujuk kepada kata ganti nama bukan manusia, selain kata ganti nama diri ketiga bagi manusia)
- Tangannya meraba-raba mencari jarum yang jatuh ke lantai.(Perkataan yang sesuai digunakan ialah “meraba-raba”, manakala perkataan “merayau-rayau” digunakan untuk menekankan “merayau”).
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021). | Tatabahasa | 15.07.2024 |
1.Guru besar itu sedang merasmikan majlis di sekolahnya.(perkataa "guru besar " dalam konteks ayat tersebut nama khas atau nama am? Adakah perlu ditulis dgn huruf besar? 2. Penjodoh bilangn bagi halia dan tulang ikan. | 1. Guru besar boleh ditulis dengan huruf besar kerana kata tersebut dijadikan panggilan khas untuk merujuk orang tersebut. 2. Penjodoh bilangan bagi halia mengikut konteks penggunaannya. Manakala, tidak terdapat penjodh bilangan bagi tulang ikan. | Tatabahasa | 08.03.2013 |