Dalam tatabahasa Melayu, kata kerja transitif sepatutnya diikuti objek. Adakah "merayu" itu kata kerja transitif?kerana saya terjumpa 2 frasa yang berbunyi demikian 1...merayu gadis itu... 2...merayu kepada kerajaan... Yang manakah yang lebih gramatis? Terima Kasih | kata kerja transitif dikuti oleh objek dan menggunakan imbuhan meN- iaitu merayu dan objeknya ialah gadis atau kerajaan. Oleh itu yang lebih gramatis ialah merayu kerajaan atau merayu gadis. | Tatabahasa | 06.12.2010 |
Kita merayu/memohon kepada Tuhan? Sila beri penjelasan kepada jawapan. | Kedua-duanya betul kerana merayu juga bermaksud memajukan permohonan. Lihat merayu">http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=merayu untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 21.02.2012 |
Kesalahan bahasa dalam ayat berikut: 1. Kerajaan merayu kepada rakyat agar mereka sanggup berkorban bagi mengatasi masalah kegawatan ekonomi negara. 2. Datuk Nicol telah menjadi pemain skuasy yang handa sejak dari bangku sekolah lagi. | Kedua-dua ayat tersebut tidak gramatis. Ayat yang gramatis ialah: 1. Kerajaan merayu rakyat berkorban bagi mengatasi masalah kegawatan ekonomi negara. 2. Datuk Nicol telah menjadi pemain skuasy yang handal sejak bangku sekolah lagi. | Tatabahasa | 05.07.2013 |
Guru besar menyeru murid-murid agar menjaga kebersihan sekolah. Pilih perkataan seerti bagi menyeru. A. mengajak B. merayu C. mencegah D. menyuruh | Perkataan yang paling hampir ialah menyuruh. Kamus Pelajar mentakrifkan menyeru sebagai meminta supaya; menyuruh: Pesuruh Allah ~ manusia taat kepada Allah. | Tatabahasa | 22.01.2013 |
Merealisasi atau merealisasikan? Tolong berikan contoh apabila me...(diakhiri dengan) kan dan me... tidak diakhiri dengan kan seperti menyepak bola dan alasan kenapa ia begitu. Ada di diakhiri dengan kan ada yang tidak, tolong jelaskan. | Merealisasi atau merealisasikan , keduanya-duanya boleh digunakan. Terdapat sebilangan kecil kata yang menerima apitan meN-…-kan dan meN…-i, penggunaanya silih berganti tanpa membezakan makna, contohnya: Ali sedang membaiki/membaikkan keretanya yang rosak. Kami masih dalam proses merealisasi/merealisasikan cita-cita kami. Perkataan merealisasi sebenarnya terdiri daripada kata dasar realisasi yang menerima apitan meN-…-i (merealisasii) tetapi telah digugurkan satu i. Kata kerja boleh dihasilkan dengan proses pengimbuhan sama ada imbuhan awalan , akhiran, apitan dan sisipan. Kata kerja yang terbentuk daripada imbuhan awalan meN- (variasinya: me-, mem-, men-, meng-) menerbitkan dua makna: 1) melakukan perbuatan atau 2) menyatakan keadaan. Bagi makna melakukan perbuatan dipecahkan kepada lima maksud iaitu i) melakukan sesuatu , contohnya: merayu, membuka, mentadbir, mengheret, menjahit (Emak menjahit baju). ii) mengeluarkan suara, contohnya: mengaum, mengiau; iii) membuang, contohnya: merumput; iv) menuju sasaran, contohnya: menepi, mendarat; v) menjadi seperti atau menyerupai sesuatu, contohnya: membusut. Bagi makna menyatakan keadaan dipecahkan kepada dua iaitu i) hidup sebagai, contohnya: membujang, menjanda; ii) menjadi, contohnya: memanjang. Kata kerja yang terbentuk daripada apitan meN …kan menghasilkan maksud : i) membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, contohnya: Dia merundingkan hal itu tadi. ii) kausatif atau menyebabkan, contohnya: Aril memanjangkan bacaan doanya. iii) manfaat, contohnya: Emak menjahitkan adik baju kurung. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 143 – 223. | Tatabahasa | 18.05.2011 |