Betulkah penggunaan perkataan 'merbahaya' dalam ayat di bawah ini. 1. Awas, merbahaya! (Biasanya ia terdapat pada lori penghantar minyak- Petronas) 2. Kawasan larangan, merbahaya. | Ejaan yang tepat ialah berbahaya. 1. Awas, berbahaya! 2. Kawasan larangan dan berbahaya. | Ejaan | 21.07.2013 |
1) Istilah 'merbahaya' diterima ? Kamus Dewan edisi 4 memasukkan entri perkataan ini sedangkan yang tepat bukankah 'berbahaya'. Perkataan ini juga terdapat dalam Lembar bahasa Bil 3/2000 keluaran Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam. 2) Adakah Pusat ini mengedarkan Lembar Bahasa secara terus ke sekolah-sekolah dari semasa ke semasa ? Ini adalah penting kerana sebarang perubahan dan kemusykilan dapat dijawaboleh guru-guru bahasa. | 1. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, memang ada merakamkan istilah merbahaya tetapi ditulis sebagai merbahaya -> marabahaya. Untuk makluman saudara, tanda anak panah (->) bererti lihat. Oleh itu perkataan yang betul ialah marabahaya. Untuk maklumat lanjut, rujuk Panduan Penggunaan Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman xlix. 2. Untuk mendapatkan Lembar Bahasa, saudara boleh datang sendiri ke Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, Tingkat 25, Menara DBP. | Istilah | 08.02.2010 |
Ombak besar itu sungguh berbahaya. Ayat di atas betul ? Betulkah menggunakah "berbahaya" ? atau merbahaya? | Ayat tersebut betul kerana perkataan yang betul ialah berbahaya (bukan merbahaya). | Tatabahasa | 09.03.2012 |
Apakah bezanya perkataan 'merbahaya' dan 'berbahaya' dan bagaimanakah penggunaannya? | Encik Choo, Perkataan yang betul ialah berbahaya. dalam bahasa Melayu tidak ada imbuhan 'mer', tetapi imbuhan 'ber'. Contoh penggunaan: Jalan raya itu berbahaya kepada orang awam kerana banyak kenderaan berat menggunakan jalan ini. | Tatabahasa | 16.04.2010 |
kawasan berbahaya atau merbahaya | Encik Pragashmurugan, Yang betul ialah kawasan berbahaya. | Tatabahasa | 29.12.2009 |
TOLONG HURAIKAN PERKATAAN MERBAHAYA, NEMBAHAYA DAN PERKATAAN MANA YANG SESUAI DAN DITERIMA PAKAI SEKARANG. DALAM SURAT SELALU ADA PERKATAAN BERSAMA-SAMA INI, ISTILAH YANG DIGUNA PAKAI SEKARANG ADALAH.... TOLONG JELASKAN. SURAT KALAU UNTUK PEGAWAI TERTINGGI YANG ADA GELARAN TUN, TAN, DATO' ADAKAN PERLU MELETAKKAN GELARAN DAN SETERUSNYA NAMA PEGAWAI TERSEBUT ATAU MELETAKKAN GELARAN DAN JAWATAN /PANGKAT PEGAWAI TERSEBUT, | Yang betul ialah 'berbahaya'. Dalam surat rasmi, frasa 'bersama-sama ini' menunjukkan ada bahan iringan yang disertakan. Simbol yang digunakan di tepi sebelah kiri surat ialah tanda elipsis. Berkenaan dengan kata sapaan penerima surat, sapaan mestilah sesuai dengan gelaran (jika ada banyak gelaran, gunakan gelaran yang tertinggi) dan tidak perlu diikuti dengan nama penerima. | Lain-lain | 21.10.2008 |
Salam.. Kesesuaian ayat pada papantanda.. i) 'Selekoh Merbahaya' atau 'Selekoh Berbahaya' | Salam sejahtera, Perkataan yang betul ialah berbahaya. dalam bahasa Melayu tidak ada imbuhan 'mer', tetapi imbuhan 'ber'. Contoh penggunaan: Jalan raya itu berbahaya kepada orang awam kerana banyak kenderaan berat menggunakan jalan ini. Jadi, jawapan yang tepat ialah 'Selekoh berbahaya' | Tatabahasa | 11.11.2012 |
Minta penjelasan tentang perkataan pemerdagangan. Mengapakah perkataan merbahaya terdpt dlm kamus dewan? | Pembentukan kata pemerdagangan berasal daripada awlan peN- + kata dasar (perdagangan), terbentuklah pemerdagangan. Walau bagaimanapun kata terbitan yang sedemikian bentuknya tidak produktif dalam bahasa Melayu, contoh yang lain seperti pemerolehan, pemerbadanan dan pemersatuan. | Tatabahasa | 24.11.2010 |
Assalamualaikum, Saya ingin mendapat kepastian berhubung perkataan 'merubah' yang menerima imbuhan 'mer' sedangkan imbuhan ini tidak wujud dalam tatabahasa bahasa Melayu. Manakala perkataan 'merbahaya' pula salah dari segi tatabahasa. Terima kasih. | Dalam bahasa Melayu tidak ada awalan meR-, yang ada ialah awalan meN- atau beR-, oleh itu kata terbitan yang betul ialah mengubah atau berubah (bukan merubah). Begitu juga dengan kata merbahaya yang salah pembentukan katanya, yang betul ialah berbahaya (awalan beR-). | Tatabahasa | 05.05.2009 |
Mana yang betul? 1. Mengesan gas berbahaya. 2. Mengesan gas merbahaya. | Mengesan gas berbahaya. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, tiada imbuhan mer-. | Tatabahasa | 05.09.2012 |