Assalamualaikum. Mohon bantuan pihak tuan menjelaskan terjemahan terbaik untuk contoh ayat seperti ini: "Send messages to and receive messages from devices". Terjemahan yang biasa saya lihat ialah "Hantar mesej ke dan terima mesej dari peranti" namun saya merasakan frasa "Hantar mesej ke dan terima mesej dari" tidak natural dalam bahasa kita. Mohon pencerahan pihak tuan. Saya dahului dengan ucapan terima kasih. | Waalaikumsalam. Tuan, Untuk mendapatkan keterangan yang terperinci berkenaan terjemahan yang tepat bagi ayat tersebut, mohon tuan berhubung dengan pegawai di Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) di talian 03-21442506/03-21424381. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 01.09.2014 |
Saya sedang membuat kajian dalam bidang teks steganografi. Saya ingin mengetahui masuk Bahasa Melayu yang sesuai digunakan bagi perkataan Bahasa Inggeris berikut berikut: 1. cover text - teks penutup @ teks pelindung 2. hidden message - mesej rahsia @ mesej tersembunyi atau ada perkataan lain yang lebih sesuai. Terima kasih | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk perkataan bahasa Inggeris yang diberikan ialah: 1. cover text - teks pelindung 2. hidden message - mesej tersembunyi | Istilah | 24.11.2016 |
Apakah yang dimaksudkan sebagai mesej dan pandangan penulis dalam sesebuah karya sastera sama ada dalam sastera tradisional atau moden. Ada berapa jenis mesej dalam penulisan sastera. Bagaimana mebuat analisis pemikiran yang digarap oleh penulis sesebuah karya sastera. Siapakah sarjana dalam sastera | Mesej ialah pengajaran atau moral cerita yang merangkumi keseluruhan cerita tersebut kesan daripada pembacaan karya sastera atau kesan daripada menikmati serta menghayati karya sastera. Mesej atau pandangan penulis ini bergantung pada cerita atau karya tersebut, contohnya menghormati ibu bapa dan buat baik dibalas baik. Untuk lebih memahami tajuk ini kami cadangkan saudara merujuk buku Glosari Sastera dan Kamus Puisi, terbitan DBP serta buku Landasan Kreativiti, karya Othman Puteh, terbitan DBP. | Sastera | 01.07.2011 |
Perbezaan antara mesej dan pengajaran .Adakah kedua-duanya sama atau berlainan serta contoh penggunaannya. | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan mesej bermaksud pesanan(berita) yang hendak disampaikan kepada seseorang. Perkataan pengajaran bermaksud perihal mengajar, segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar. Cth. Dia menerima mesej tentang kawannya melalui telefon. 2. Pengajaran bahasa Melayu di sekolah masih menghadapi kesulitan. | Makna | 02.02.2009 |
AsSalam. Saya ingin bertanya jika ayat berikut adalah betul atau tidak: "Anda telah mengubah tetapan grup ini untuk membenarkan pentadbir sahaja untuk menghantar mesej ke grup ini" Perlukah ada perkataan "untuk" sebelum menghantar mesej? Terima kasih. | Kedua-duanya boleh digunakan. i. Anda telah mengubah tetapan grup ini untuk membenarkan pentadbir sahaja untuk menghantar mesej ke grup ini. ii. Anda telah mengubah tetapan grup ini untuk membenarkan pentadbir sahaja menghantar mesej ke grup ini. | Makna | 09.01.2019 |
Mohon tuan beri pendapat tentang penterjemahan bagi perkataan "forward" dalam ayat berikut: 1) Forward call to another number. (Majukan panggilan ke nombor lain.) 2) Forward message to email. (Majukan mesej ke email. ATAU Kirim semula mesej ke email.) Konteksnya berkenaan dengan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna saling membuat panggilan serta menghantar mesej. | Terjemahan forward call dan forward message belum ada dalam sumber rujukan kami. Kami mencadangkan forward call to another number ialah majukan panggilan ke nombor lain atau seterusnya dan forward message to e-mail ialah memanjangkan mesej ke e-mel. | Makna | 22.09.2016 |
SMS, istilah BM Sistem Pesanan Ringkas. Kenapa tidak kita terima Sistem Mesej Singkat? Singkatannya juga SMS. Saya rasa Puan Noresah Baharom pernah menggunakannya. | Y.Bhg. Datuk, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Memang betul Puan Noresah pernah menggunakan Sistem Mesej Ringkas tetapi setelah diteliti dan juga setelah dibincangkan kita telah membuat keputusan bahawa Sistem Pesanan Ringkas adalah lebih tepat dan lebih berbunyi Melayu daripada Sistem Mesej Ringkas. Terima kasih. | Istilah | 18.09.2009 |
Isu penggunaan singkatan dalam Sistem Mesej Singkat ( SMS ) amat membimbangkan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Apakah tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) dalam hal ini ? Pada pandangan peribadi saya, penggunaan singkatan adalah untuk menjimatkan wang kerana mesej yang panjang akan menyebabkan syarikat telekomunikasi mengenakan caj yang berlebihan. Namun, penggunaan singkatan itu mestilah berpada-pada dan tidak keterlaluan. | Penggunaan bahasa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tidak terkawal dan sewenang-wenangnya oleh pengguna SMS telah melahirkan kerisauan kepada ahli bahasa kerana gejala ini telah memberikan kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu. Atas kesedaran tersebut, DBP telah menganjurkan "Seminar Penyelidikan: Perkembangan dan Pengaruh SMS Terhadap Bahasa Melayu" pada 19 April 2005. Lanjutan daripada seminar tersebut, DBP telah menerbitkan risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu. Risalah ini diharapkan dapat dijadikan panduan dalam penulisan SMS yang standard. | Istilah | 07.12.2009 |
senaraikan kesan yang dihadapi apabila tidak mengagungkan bahasa yang baik | Apabila tidak menggunakan bahasa yang baik komunikasi tidak dapat berjalan dengan lancar kerana mesej tidak dapat disampaikan atau tidak difahami. Kemungkinan berlaku salah faham atau salah tafsiran kepada kenyataan yang dibuat. Ini boleh menyebabkan tindakan atau maklum balas tidak dapat dibuat kerana mesej tidak sampai atau tidak jelas. | Lain-lain | 10.10.2006 |
Lampiran : 140430NEWTERMSENGLISHMALAYBOOK5.txt Mesej : Tuan, Cadangan perkataan atau saran kata Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (http://sbmb.dbp.gov.my/kndbp/cadangankata/nb_cadangan_kata_ensi.aspx, http://ekamus.dbp.gov.my/DaftarKata.aspx) ingin dihantar melalui lampiran. Sekian, terima kasih. Pencadang : Kang Chuen Tat - 江俊达; PO Box 6263, Dandenong, Victoria VIC 3175, Australia; SMS +61405421706; chuentat@hotmail.com; http://kangchuentat.wordpress.com. | Tuan, terima kasih kerana mengunakan perkhidmatan DBP dan juga memberi cadangan bagi perkataan baharu. Pihak DBP telah memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu http://ekamus.dbp.gov.my/ Portal ini menyediakan ruang kepada masyarakat untuk memberikan sumbangan maklumat yang berkaitan dengan perbendaharaan kata bahasa Melayu daripada pelbagai sumber termasuklah bahasa daerah, bahasa suku kaum Sabah dan Sarawak (Iban, Kadazan, Murut, Melanau dan lain-lain), bahasa orang asli (Mah Meri, Semelai, Jahai dan lain-lain), kata Melayu lama, istilah, dan padanan kata Melayu bagi bahasa asing. Portal ini juga merupakan medium yang merakam, menyimpan, membincangkan dan menggunakan semula semua maklumat tersebut, yang terdiri daripada makna kata, contoh penggunaan, kelas kata, terjemahan kata dalam bahasa lain, sebutan, bunyi, gambar, asal usul kata dan seumpamanya. Kami memohon jasa baik pihak tuan untuk menyalurkan cadangan tersebut dalam portal baharu ini. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 04.05.2014 |