maksud pengantarabangsaan, mitos, dan lagenda | Takrifan kata pengantarabangsaan, mitos, dan legenda mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat: 1. Pengantarabangsaan: sesuatu perbuatan (proses) mengantarabangsakan. Contoh ayat; wujudnya peluang ekonomi yang semakin banyak akibat pembangunan dan pengantarabangsaan. 2. Mitos: 1. cerita zaman dahulu yg dianggap benar, terutamanya yg mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam, dsb; 2. cerita tentang seseorang atau sesuatu yg tidak benar atau direka-reka, dongeng; memitoskan 1. menjadikan sesuatu (kisah, cerita dsb) sbg mitos: beliau mematikan watak Raden Kelang dgn ~ bahawa putera raja yg masih muda ini terbunuh di Kampung Keling; 2. mendewa-dewakan seseorang: mereka berjaya juga mengurangkan aspek yg ~ tokoh-tokoh tersebut; kemitosan perihal (keadaan, sifat) mitos: penjelasan yg meyakinkan wujudnya ~sumpahan tersebut; pemitosan perihal memitoskan: ada obsesiutk menemukan akar, nostalgia dan akhir-nya ~ tanah asal yg telah hilang 3. Legenda:1. cerita dongeng yg bersangkutan dgn kisah-kisah yg bersejarah; 2. petunjuk atau kata-kata keterangan tentang sesuatu (spt peta, carta, ilustrasi, dll). | Makna | 23.02.2009 |
salam. saya sedang mencari perkataan antonim utk perkataan mitos. mohon pertolongan daripada pihak tuan/puan atas permasalahan saya ini. terima kasih | Mitos ialah cerita zaman dahulu yang dianggap benar. Oleh itu, lawan kepada cerita benar ialah cerita dongeng. Kami mohon maaf atas kelewatan memberikan jawapan kerana terdapat masalah teknikal dalam perkhidmatan kami. | Makna | 17.04.2012 |
Assalamualaikum, ayat ini lebih sesuai digolong dalam kata kerja yang mana satu? 1)...'mencetuskan' kontroversi. 2) mitos 'melampaui' fakta sejarah. 3) filem ini 'mengelirukan' kerana merujuk kerajaan... 4) sikap 'berfikiran' kuno 5) Siam 'mengambil' masa 6) 'mempersiapkan' pertahanan 7) tidak mahu 'menerima' kebenaran sy agak keliru antara kk transitif aktif & kk tak transitif berpelengkap | 1. Mencetuskan kontroversi - Kata kerja aktif transitif. 2. Melampui fakta sejarah - Kata kerja aktif transitif. 3. Mengelirukan ... - Kata kerja aktif transitif. 4. Berfikiran kuno - Kata kerja tak transitif berpelengkap. 5. Mengambil masa - Kata kerja aktif transitif. 6. Mempersiapkan pertahanan - Kata kerja aktif transitif. 7. Menerima kebenaran - Kata kerja aktif transitif. Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap mesti diikuti pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif aktif dan boleh mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Untuk lebih memahami tajuk tersebut lihat penerangan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 145. Untuk menguasai jenis kata kerja, sila rujuk tajuk pembentukan kata kerja kerana setiap subtajuk di bawahnya diterangkan jenis kata kerja yang terbentuk daripada proses tersebut. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
BERAPA PERATUS RAKYAT MALAYSIA YANG MEMBACA DAN JUMLAH BUKU ATAU ARTIKEL/MAJALLAH YANG DI BACA DAN BANDINGAN PEMBACAAN DIKALANGAN NEGARA LAIN DIDUNIA. APAKAH LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL UNTUK MENGGALAKKAN ORANG MEMBACA DI NEGARA INI DAN YANG TELAH DIAMBIL OLEH NEGARA LAIN DI DUNIA. | Sila rujuk bahan ini : 1. Peningkatan pembacaan melalui pemasyarakatan perpustakaan oleh Nik Safiah Karim. Pelita Bahasa.1 Jun 1993 2. Masyarakat Malaysia malas membaca-hanya satu mitos oleh Maizura Mohd Ederis.Milenia Muslim.1 /01/2005 | Masyarakat Malaysia malas membaca - hanya satu mitos | Maizura Mohd Ederis | Milenia Muslim | 01/01/2005 |
| Lain-lain | 17.02.2008 |
apakah perbezaan maksud diantara sastera moden dan sastera tradisional? | Perbezaan maksud antara sastera moden dan sastera tradisional ialah sastera moden mengandungi karya meliputi genre novel, cerpen, puisi, drama dan esei/kritikan. Sastera tradisional pula terbahagi kepada sastera lisan dan sastera tulisan. Sastera lisan mengandungi sastera rakyat yan terbahagi kepada prosa (cerita lipur lara, jenaka, teladan, binatang, mitos dan legenda) dan puisi (pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, teka-teki, teromba, peribahasa dan dikir/mentera). Sastera tulisan pula mengandungi sastera hikayat, sastera panji, sastera epik sastera sejarah, cerita nabi-nabi, sastera kitab dan sastera undang-undang. Sekian dan salam. | Lain-lain | 09.07.2009 |
Salam sejahtera pada pihak DBP, apakah isu yang sesuai dan boleh dikupas untuk saya kaji di dalam Hikayat Indera Nata? Dan apakah buku-buku rujukan yang boleh saya gunakan dalam kajian saya? Saya masih buntu dalam mencari tajuk kajian saya. | Hikayat Indera Nata digolongkan dibahagikan dalam zaman peralihan Hindu-Islam. Secara umum, pelbagai perkara boleh dikaji daripada teks tersebut. Di antara kajian tersebut ialah seperti berikut: Pemikiran dalam teks tersebut Teknik Naratif/penceritaan teks zaman peralihan Gaya Bahasa teks zaman peralihan Unsur-unsur Mitos, Dongeng, Fantasi dan sebagainya Konsep Wira dalam teks tersebut Konsep Kuasa dalam teks tersebut Unsur-unsur Islam dalam teks tersebut dll
Sekian, terima kasih | Lain-lain | 06.07.2009 |
sila berikan penerangan tentang cerita rakyat | Saudara, Cerita Rakyat merupakan sastera rakyat yang berbentuk cerita atau cerita lisan. Cerita rakyat sangat popular di kalangan masyarakat Melayu dan diperturunkan secara lisan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Cerita rakyat berkembang dalam tradisi lisan biasanya disampaikan secara lisan dari mulut ke mulut oleh tukang-tukang cerita profesional dalam bentuk persembahan cerita kepada audiens dalam majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan, keramaian dan sebagainya. Cerita rakyat diceritakan oleh nenek/ datuk kepada cucu atau oleh seseorang yang tahu bercerita sebagai hiburan di masa senggang. Dalam masyarakat Melayu terdapat pelbagai jenis cerita rakyat seperti Cerita Binatang, Cerita Jenaka,Cerita asal-usul, Mitos dan Lagenda, cerita Lipur lara dll. Sesuai dengan peredaran zaman, Cerita rakyat telah dirakam dan dikumpulkan dalam bentuk tulisan seperti mana yang sampai kepada kita sekarang. Antara fungsi cerita rakyat ialah: 1. sebagai alat hiburan, 2. Sebagai alat untuk menyampaikan pengajaran dan mendidik masyarakat, 3. wadah ekspresi seni masyarakat menggunakan kata-kata yang indah, 4. menjadi dasar penciptaan karya sastera moden. Untuk memahami lebih lanjut sila merujuk Buku Kesusasteraan Melayu Tradisional, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka , 1993. sekian, terima kasih. | Sastera | 11.02.2011 |
Tuan/Puan yang dihormati, Syarikat kami telah memiliki sebuah kapal FPSO yg terbesar di rantau Asia yang bernama "ARMADA PERKASA". Pihak syarikat kami bercadang membina sebuah lagi kapal FPSO atas permintaan yang baik di rantau Asia untuk perkhidmatan itu. Pihak syarikat ingin menamakan kapal yang memiliki ciri-ciri berikut: 1) Di dahulukan dengan “Armada” 2) Nama dalam Bahasa Melayu 3) Sejajar dengan nama “Perkasa”, bermula dengan huruf “P” 4) “Perkasa” bermaksud gagah berani dan nama baru hendaklah bercirikan sepertimana nama tersebut supaya senang diingat, dikenali dan bakal mencipta nama di arena/persada marin baik di rantau Asia mahupun bakal gah di dunia. Jasa baik tuan/puan teramat kami hargai. Sekian. Terima kasih | Cadangan : 'Armada Buana'. Buana bermaksud dunia, jagat, bumi. Atau 'Armada Betara Kala'. Nama pahlawan agung mitos Sannskrit. | Lain-lain | 26.02.2008 |
definisi sejarah sastera | Sastera sejarah adalah suatu cabang daripada kesusasteraan Melayu tradisional yang membicarakan sejarah sesebuah kerajaan. Secara umum sastera sejarah sering kali memakai judul permulaan sebagai hikayat, silsilah, salasilah, misa dan tawarikh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Acheh, Silsilah Melayu dan Bugis, Misa Melayu dan Tawarikh Salasilah Negeri Kedah. Bentuk sastera sejarah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dalam bentuk prosa dan bentuk puisi. Karya yang berbentuk prosa merupakan sejarah sesebuah kerajaan atau negeri tentang bangun dan jatuhnya sebuah kerajaan itu dengan menyenaraikan susur galur pemerintahnya. Manakala bentuk puisi pula, lazimnya ditulis dalam bentuk syair yang menceritakan sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam sesuatu tempoh waktu tertentu seperti Syair Perang Johor, Syair Kampung Gelam Terbakar, Syair Perang Siak dan sebagainya. Karya sastera sejarah, umumnya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama karya sejarah yang meriwayatkan jurai keluarga diraja. Misalnya Sulalatus Salatin yang cukup terkenal dalam kalangan kita. Di dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya, Tun Seri Lanang menjurai asal usul keturunan raja Melayu dari awal hingga kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Jenis sastera sejarah yang kedua pula hanya memfokuskan kisah seseorang tokoh seperti dalam Hikayat Acheh yang menceritakan tentang ketokohan Raja Iskandar Muda. Sastera sejarah yang menekankan pada sesuatu peristiwa seperti Syiar Kampung Gelam Terbakar dan Perang Makasar adalah jenis karya sastera yang ketiga. Salah satu ciri yang menyebabkan sastera sejarah tidak dianggap sepenuhnya sejarah kerana ada unsur-unsur mitos dan legenda serta unsur-unsur fiksyen-fantasi yang turut dimuatkan oleh para pengarang sastera sejarah. Unsur-unsur ini dimuat adalah dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menambahkan faktor kekaguman rakyat kepada kebesaran sesebuah kerajaan atau jurai keturunannya. | Lain-lain | 06.08.2008 |