| Mohon pencerahan tentang penggunan “di”, “dalam” dan “pada”. Saya lihat kebelakangan ini banyak penggunaan seperti “(Buy on Shopee - Beli di Shopee”, “Search in Lazada - Cari di Lazada” untuk platform maya. Menurut definisi, “di” hanya digunakan untuk “masa, tempat fizikal dan arah”. Maka adakah penggunaan seperti di atas adalah salah dan sepatutnya penggunaan kata sendi yang betul adalah “Beli pada Shopee”, “Cari dalam Lazada”? Penggunaan kata sendi nama yang salah untuk konteks platform maya sungguh mengelirukan kerana terdapat banyak penggunaan yang tidak menetapi definisi Tatabahasa Dewan. | Penggunaan kata sendi nama “di”, “dalam” dan “pada” dalam contoh ayat yang diberikan salah. Penggunaan kata sendi nama yang betul dalam contoh ayat ialah “Beli melalui Shopee” dan “Cari melalui Lazada”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 265-284. | Tatabahasa | 13.04.2026 |
| Mohon pencerahan, jika nama standard seperti Standard Accounting System for Goverment Agencies (SAGA) yang ditulis dalam sesuatu penulisan, adakah perlu italic. | Salam puan yang budiman, Huruf condong digunakan untuk menunjukkan ada sesuatu yang berlainan atau istimewa tentang perkataan atau frasa yang berkenaan. Selain itu, huruf condong digunakan bagi perkataan bahasa asing yang terdapat dalam teks bahasa Melayu. Huruf condong turut digunakan untuk mencetak judul buku dan penerbitan lain dalam teks. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2024), hlm. 152 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), hlm. 848. | Lain-lain | 21.04.2026 |
| Mohon dapatkan maklum balas senarai istilah bahasa Melayu yg boleh digunakan untuk menggantikan istilah bahasa Inggeris yg biasa digunakan oleh pengguna. Contoh: Rose model boleh diganti dengan suri teladan. Untuk makluman, ini merupakan kali ketiga saya kemukakan permintaan. Masih menanti maklum balas drpd DBP. Harap dapat dipermudahkan urusan ini. Terima kasih. | Jawapan dan penerangan yang lebih lanjut telah diberikan melalui e-mel yang dihantar kepada pihak puan pada 2 Mac 2026. | Istilah | 27.02.2026 |
| mohon kerjasama tuan untuk menyemak dan membetulkan ayat dan panggilan hormat dalam surat seperti di lampiran. terima kasih. | Untuk makluman puan, DBP menyediakan khidmat penyemakan dokumen berbayar bagi teks/dokumen yang panjang. Puan boleh meng-e-melkan teks ini kepada nawal@dbp.gov.my dalam format langkau dua baris (double spacings), fon tulisan 12 dan jenis tulisan Arial, serta fail dihantar dalam bentuk MS-Word dan PDF, dengan kelarasan (justified). Pihak kami akan menyediakan sebut harga. Jika ingin mengajukan pertanyaan tentang aspek tatabahasa dalam ayat tertentu, puan boleh menghantar ayat tersebut dalam satu medan soalan. Satu medan soalan diperuntukkan untuk satu pertanyaan yang ringkas dan padat. | Penyemakan dan penterjemahan | 03.12.2025 |
| Mohon pencerahan DBP tentang penggunaan perkataan "establisymen" yang tidak wujud dalam korpus PRPM tapi diguna pakai dalam Undang-Undang Kecil (UUK) kerajaan tempatan seperti Selangor dan Perak (https://www.mbpj.gov.my/sites/default/files/24-uuk_pelesenan_establisymen_makanan_majlis_bandaraya_petaling_jaya_2007.pdf, https://www.mpm.gov.my/wp-content/uploads/2024/11/25-UUK-Pelesenan-Establisymen-Makanan-MPM-2018.pdf). Sekiranya perkataan "establisymen" tidak wujud, apakah perkataan yang harus digunakan? Terima kasih. | Untuk makluman, perkataan "establisymen" belum pernah terakam dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Berdasarkan penelitian terhadap dokumen Undang-Undang Kecil (UUK) kerajaan tempatan Selangor dan Perak, cadangan terjemahan dalam bahasa Melayu bagi perkataan establishment ialah "perusahaan" atau "penyediaan" berdasarkan kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 27.09.2025 |
| Mohon semakan ejaan Jawi bagi reka bentuk bunting program PKZ Pahang | Pengesahan bagi penggunaan bahasa Melayu dalam iklan secara cetakan dan elektronik hendaklah melalui laman web https://dbpsahbahasa.my. | Lain-lain | 24.10.2025 |
| Mohon bimbingan Kedua-dua ayat di bawah yang mana betul penggunaan beban atau bebanan? i) Dia bekerja sambilan untuk meringankan beban keluarga sebelum memulakan sesi pengajian baharu. ii) Dia bekerja sambilan untuk meringankan bebanan keluarga sebelum memulakan sesi pengajian baharu. Terima kasih atas bimbingan | Ayat yang betul ialah “Dia bekerja sambilan untuk meringankan beban keluarga sebelum memulakan sesi pengajian baharu.” Penggunaan perkataan beban atau bebanan bergantung pada konteks penggunaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 67 - 70.
| Tatabahasa | 07.09.2025 |
| Mohon pencerahan tentang kata pembenda.. "Adik tidur dengan nyenyak dan selesanya." atau "Adik tidur dengan nyenyak dan selesa."? "Adik makan dengan gelojohnya." atau "Adik makan dengan gelojoh."? | Kata pembenda ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama menjadi kata nama. Dalam bahasa Melayu, kata sendi nama perlu diikuti oleh kata nama. Dalam frasa dengan nyenyak dan selesa, perkataan nyenyak dan selesa ialah kata adjektif dan tidak boleh hadir selepas kata sendi nama. Kata pembenda -nya perlu diletakkan pada perkataan nyenyak dan selesa supaya menjadi kata nama, iaitu nyenyaknya, selesanya. Begitu juga dengan perkataan gelojoh yang merupakan kata adjektif. Bagi mematuhi rumus tatabahasa, perkataan ini perlu diletakkan kata pembenda -nya untuk menjadi kata nama gelojohnya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku terbitan DBP seperti yang berikut: (i) Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 653, 1551 dan 2010. (ii) Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 104, 296. (iii) Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu: Golongan Kata (DBP, 2017), halaman 168. | Tatabahasa | 11.09.2025 |
| Mohon pencerahan mengenai susunan yang tepat bagi tajuk majlis sambutan. Antara peringkat atau tahun, manakah yang perlu didahulukan pada penulisan? Contoh: 1) Majlis Sambutan Hari Peladang Peringkat Negeri Selangor Tahun 2024 atau 2) Majlis Sambutan Hari Peladang 2025 Peringkat Negeri Selangor. Sekian. | Kedua-dua susunan tajuk majlis sambutan boleh digunakan bergantung pada kehendak penganjur. 1) Majlis Sambutan Hari Peladang Peringkat Negeri Selangor 2024 2) Majlis Sambutan Hari Peladang 2025 Peringkat Negeri Selangor | Tatabahasa | 16.08.2025 |
| Mohon pencerahan, bagi penggunaan arahan soalan dalam buku latihan murid seperti: Warnakan Tuliskan Suaikan Padankan Tandakan Adakah perlu dibuang "kan" di belakangnya? | Untuk makluman, perkataan seperti "Warnakan", "Tuliskan", "Suaikan", "Padankan" dan "Tandakan" perlu dikekalkan penggunaan "-kan" kerana bertujuan memberikan perintah atau arahan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 448. | Tatabahasa | 24.07.2025 |