Apakah perbezaan antara morfem dan kata, morfem bebas dengan morfem terikat? | Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang mempunyai fungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu. Perkataan ialah bentuk bahasa yang terkecil juga, tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat. Sesuatu perkataan itu dibentuk daripada satu morfem atau lebih. Perkataan ajar, misalnya, terdiri daripada satu morfem, tetapi perkataan mengajar pula mengandungi dua morfem, iaitu meng- dan ajar. Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian. Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Sebagai contoh, perkataan sekolah dan laut ialah morfem bebas, tetapi imbuhan ber- dalam bersekolah dan -an dalam lautan ialah morfem terikat, oleh sebab unit-unit itu tidak boleh wujud tanpa kata dasar. | Tatabahasa | 18.09.2013 |
Kumpulan perkataan manakah yang terbina daripada gabungan morfem bebas dan morfem terikat? A tempurung, kayu, kampung B cantik, gelanggang, maharaja C jurutera, berdampingan, contohi D juruterbang, kelupas, dijaringkan Pohon beri alasan untuk setiap pilihan jawapan. Terima kasih. | Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian. Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Sebagai contoh, perkataan sekolah dan laut ialah morfem bebas, tetapi imbuhan ber- dalam bersekolah dan -an dalam lautan ialah morfem terikat, oleh sebab unit-unit itu tidak boleh wujud tanpa kata dasar. Berdasarkan takrifan tersebut, A dan B merupakan morfem bebas manakala C dan D gabungan morfem bebas dan morfem terikat. | Tatabahasa | 17.10.2013 |
Bagaimanakah nak kelaskan morfem bebas dengan morfem terikat. Adakah apitan dikira 1 @ 2 morfem? Umpamaya perkataan ,'berperikemanusiaan' dikira sebanyak 4 morfem, adakah apitan 'ke...an' dianggap 1? | Morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu, seperti perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. Bagi perkataan berperikemanusiaan, terdapat lima morfem , iaitu ber- + peri + ke- + manusia + -an; dua morfem bebas, iaitu peri dan manusia serta tiga morfem terikat, iaitu ber-, ke- dan -an. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
1. Mengapakah perkataan 'hartawan' dan 'perkahwinan' mengandungi dua morfem, iaitu:{harta}+{wan}, dan {per-...-an}+{kahwin}? Jelaskan. 2. Berapakah bilangan morfem yang terdapat dalam perkataan yang berikut? Nyatakan jenis morfem tersebut. Untuk morfem terikat, nyatakan jenisnya. (a) misalan (b) berterbangan (c) memperjuangkan (d) menterbalikkan; dan (e) kemeriahan | 1. Dalam buku Tatabahasa Dewan, morfem dibahagikan kepada dua iaitu bebas dan terikat. Harta dan kahwin ialah morfem bebas dan hartawan serta perkahwinan ialah morfem terikat. Morfem terikat mengandungi dua morfem. Terdapat perbezaan antara morfem dengan perkataan. Perkataan ialah bentuk bebas dan boleh menerima awalan, akhiran dan apitan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 43, 44 535, 596 dan lain-lain. 2. Misalan, berterbangan, memperjuangkan, menterbalikkan dan kemeriahan ialah contoh morfem terikat dan terdiri daripada dua morfem. | Tatabahasa | 27.09.2012 |
Makna alormof dalam morfem. | Pewujudan morfem disebut alomorf atau varian morfem. Dalam perkataan lain alomorf itu tidak lain dari morfem dalam penggunaannya yang sebenar. Sesuatu morfem itu sekurang-kurangnya mempunyai satu alomorf. Tidak ada morfem yang tidak mempunyai alomorf. | Makna | 03.11.2007 |
Tuan/Puan: Apakah jumlah morfem bebas dan merfem terikat bagi perkataan: pemerkasaan, bermaharajalela, mengetengahkan, ketidakbertanggungjawaban | Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian. Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Sebagai contoh, perkataan perkasa, tengah,tanggungjawab dan tidak ialah morfem bebas, tetapi imbuhan per-... -an, menge-....-kan dan ke-... -an merupakan morfem terikat. | Tatabahasa | 05.10.2013 |
1. Mengapakah dalam buku Tatabahasa Dewan menyatakan bahawa kata terbitan yang menerima imbuhan apitan terdiri daripada 3 morfem, contohnya 'berkakikan' dikatakan terdiri daripada morfem ber+kaki+kan sedangkan jika diteliti imbuhan apitan beR-...-kan wujud sebagai 1 morfem. Oleh yang demikian saya inginkan kepastian bahawa adakah semua imbuhan apitan dikira sebagai 1 morfem ataupun 2 morfem? Sekian terima kasih. | Morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu, seperti perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an. Bagi perkataan berperikemanusiaan, terdapat lima morfem , iaitu ber- + peri + ke- + manusia + -an; dua morfem bebas, iaitu peri dan manusia serta tiga morfem terikat, iaitu ber-, ke- dan -an. Semua imbuhan dikira satu morfem terikat kerana tidak dapat berdiri dengan sendiri dan tiada makna. Berkakikan mempunyai tiga morfem iaitu dua morfem terikat (ber dan kan) dan satu morfem bebas (kaki). | Tatabahasa | 11.01.2013 |
"Kumpulan perkataan ' tempurung, gelanggang, maharaja, jurutera, juruterbang' ini tergolong daripada gabungan morfem bebas atau morfem terikat?" | Perkataan tempurung, gelanggang, jurutera, juruterbang ialah morfem bebas, iaitu morfem yang dapat wujud bersendirian. | Tatabahasa | 18.10.2013 |
Assalamualaikum... Partikel 'lah' bolehkah dikategorikan sebagai morfem terikat? | Partikel lah merupakan morfem terikat kerana morfem tersebut hanya wujud bersama-sama morfem lain. | Tatabahasa | 28.03.2013 |
soalan 1.Huraikan definisi morfologi secara rinci. 2.Huraikan morfem bebas dan morfem terikat secara rinci. 3.Huraikan maksud sintaksis secara rinci. | Morfologi ialah kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan pemajmukan; morfem ialah satuan terkecil dalam bahasa yang mempunyai erti atau fungsi tertentu: contohnya perkataan perumahan terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan rumah dan dua morfem terikat iaitu pe(r)- dan -an; dan sintaksis ialah kajian tentang susunan kata dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 29.04.2012 |