| Tuan, saya mohon pengesahan pihak DBP bagi penterjemahan tema "Integrate Effort : No Woman Left Behind" ke dalam Bahasa Malaysia. Adakah terjemahannya ialah "Sepadu Usaha : Tiada Wanita Ketinggalan"? Hasmawati | Untuk makluman puan, tema yang dicadangkan oleh pihak kami ialah Usaha Bersepadu, Wanita Maju. Merujuk kepada tema yang dicadangkan, iaitu “Sepadu Usaha, Tiada Wanita Ketinggalan”, frasa “sepadu usaha” adalah salah dari segi tatabahasa dan perkataan yang berunsur negatif seperti tiada, tidak dan sebagainya tidak sesuai dijadikan sebagai tema. Tema yang dibentuk mesti mudah diucapkan, sedap didengar, berunsur positif dan tepat. | Penyemakan dan penterjemahan | 18.08.2016 |
| Persoalannya adakah nama institusi pelajaran yang akan ditubuhkan seperti 'Pusat Perkembangan I CAN READ' diterima pakai? Adakah DBP mempunyai garis panduan tentang pemakaian nama untuk institusi pendidikan. | Dewan Bahasa dan Pustaka ada menerbitkan sebuah buku yang diberi nama Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan untuk dijadikan panduan dan rujukan oleh masyarakat pengguna bahasa dalam aspek penamaan. Saudara boleh merujuk buku ini untuk mendapatkan panduan dalam penamaan. Penamaan hendaklah menggunakan perkataan tempatan yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan, undang-undang dan kepercayaan agama man-mana suku kaum di negara kita, yang ringkas, mudah diucapkan, sedap didengar, tidak berkonotasi negatif dan bermakna positif dan tepat, seboleh-bolehnya yang terakam di dalam Kamus Dewan. Dalam hal penamaan yang dikemukakan adalah lebih baik nama tersebut dibentuk dalam bahasa kebangsaan dan beridentiti nasional, cth. Pusat Perkembangan Upaya Baca sebagai cadangan terjemahan bagi Pusat Perkembangan I Can Read. | Lain-lain | 27.03.2008 |
| Ingin mendapatkan khidmat nasihat untuk nama jalan perindustrian. | Untuk makluman saudara, Dewan Bahasa dan Pustaka ada menerbitkan sebuah buku yang diberi nama Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan untuk dijadikan panduan dan rujukan oleh masyarakat pengguna bahasa dalam aspek penamaan. Saudara boleh merujuk buku ini untuk mendapatkan panduan tentang penamaan. Penamaan hendaklah menggunakan bahasa Melayu dan tidak bertentangan dengan perlembagaan, undang-undang dan kepercayaan agama mana-mana suku kaum di negara kita, yang ringkas, mudah diucapkan, sedap didengar, tidak berkonotasi negatif dan bermakna positif dan tepat, seboleh-bolehnya yang terakam di dalam Kamus Dewan. Dalam hal penamaan yang dikemukakan adalah lebih baik nama tersebut dibentuk dalam bahasa kebangsaan dan beridentiti nasional, contoh: "Jalan Seri Murni", "Jalan Harmoni" dan sebagainya. | Lain-lain | 24.02.2022 |
| salam sejahtera, saya nak bertanya tentang jenis akronim bagi Gapena. Gapena bermaksud gabungan penulis nasional atau gapena bermaksud gabungan persatuan penulis nasional? Jika Gapena bermaksud gabungan penulis nasional maka berada dlm kategori gabungan suku kata awal perkataan tetapi jika Gapena bermaksud gabungan persatuan penulis nasional, akronim ini berada dalam kategori yg mana? Terima kasih. | GAPENA merupakan akronim bagi “Gabungan Persatuan Penulis Nasional”. Kata akronim GAPENA dibentuk melalui cantuman suku kata awal perkataan. Kami berpandangan berlaku pengguguran suku kata pada perkataan ketiga, iaitu “penulis” kerana persamaan bentuk dengan perkataan kedua, iaitu “persatuan” agar akronim lebih ringkas dan mudah disebut. | Tatabahasa | 24.11.2020 |
| Salam sejahtera, Terima kasih di atas jawapan tersebut. Namun saya berpendapat bahawa terjemahan langsung tersebut tidak begitu sesuai dan agak lucu sekiranya digunakan bagi tatapan umum. “Immersive” dalam konteks di sini bermaksud Simulator Maya yang mampu "membawa peserta masuk” ke dalam alam maya. Puas sudah saya membuat rujukan dan rasanya belum ada perkataan Bahasa Melayu yang tepat. Mungkin kita perlu “meminjam” perkataan “imersif” bagi tujuan ini. Harap dapat dipanjangkan khidmat bantuan DBP. Terima kasih. | Setelah tuan menjelaskan konteks penggunaan, DBP mencadangkan padanan bagi Immersive Virtual Simulator ialah ‘Simulator Maya’. Dalam konsep peristilahan bahasa Melayu, kita tidak perlu memberikan padanan perkataan demi perkataan sekiranya makna dalam bahasa Melayu telah difahami. Dalam buku Kamus Dewan, perkataan ‘simulator’ diberikan makna sistem atau alat yang direka bentuk untuk meniru keadaan tertentu atau ciri-ciri sesuatu proses (untuk tujuan kajian atau latihan). Jadi jika dibentuk istilah ‘Simulator Maya’ kita akan memahaminya sebagai sistem atau alat yang direka bentuk untuk meniru keadaan dalam alam maya atau dalam bahasa yang lebih mudah seolah-olah peserta berada dalam dalam maya. | Istilah | 05.05.2014 |