Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin bertanya penggunaan tanda petik dalam petikan hadis. Adakah penggunaan seperti berikut betul? Daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a. berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab, 'Solat pada waktunya.' ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab, 'Berbuat baik kepada ibu bapa.' Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab, 'Jihad di jalan Allah.'"(Riwayat al-Bukhari). Untuk bahagian akhir ayat, di manakah kedudukan tanda petik tunggal? Adakah selepas tanda noktah atau sebelum tanda noktah? Terima kasih. | Teks hadis perlu merujuk kitab-kitab muktabar dalam bahasa Arab, contohnya Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Nasa’i dan sebagainya. Rujukan hadis yang mengandungi nama perawi hadis hendaklah disertakan, manakala sumber rujukan hadis hendaklah mengikut kaedah penulisan takhrij hadith. Contoh rujukan hadis yang mengandungi nama perawi boleh ditulis dalam dua keadaan, iaitu: 1. 1. Daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya xxx.” (Riwayat al-Bukhari) 2. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya xxx.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan (DBP, 2023) halaman 278 – 291. | Tatabahasa | 09.12.2024 |
Assalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakatuh dan selamat sejahtera kepada pihak PRPM yang dikasihi Allah. Saya ada sedikit kerisauan yang saya ingin utarakan mengenai ejaan satu perkataan yang saya jumpai baru-baru ini di sebuah page facebook yang bernama SAYS SEISMIK yang menyatakan mengenai perkataan harian yang sering kita gunakan dengan ejaan yang salah. Page tersebut mengatakan ianya adalah bersumberkan dari pihak DBP. Perkataan yang merisaukan saya ialah perkataan 'sunah". Menurut kefahaman saya ianya adalah perkataan yang dipinjam dari bahasa arab. Kita akan menjumpai kesemua terjemahan kitab-kitab muktabar akan menggunakan ejaan 'sunnah' dengan dua huruf 'n'. Ini adalah kerana didalam bahasa arab ada syaddah pada huruf nun ن menjadikan transliterasinya menjadi 'sunnah' dan bukannya 'sunah' sebagaimana yang disarankan oleh pihak PRPM. Saya berharap agar pihak DBP dapat memberi penjelasan dan penyelesaian dalam permasalahan ejaan ini agar sama-sama dapat kita mengambil manfaat dari perbincangan ini. Terima kasih atas masa pihak tuan/puan. | Peminjaman kata daripada bahasa Arab disesuaikan ejaannya dalam bahasa Melayu. Penggunaan tasydid dalam bahasa Arab tidak dilambangkan hurufnya dalam bahasa Melayu, seperti ejaan sunah. Penggunaan ejaan ini boleh disemak melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. Pelbagai bentuk ejaan yang ditemukan dalam media sosial, namun sebagai pengguna yang bertanggungjawab kita boleh memainkan peranan dengan menggunakan dan meuar-uarkan ejaan yang betul. Walaupun media sosal atas nama peribadi bukanlah wadah rasmi yang perlu kita berbahasa dengan baik dan betul, sekurang-kurangnya kita dapat memainkan peranan kecil untuk kesan yang lebih besar kepada usaha mempromosikan penggunaan bahasa yang baik dan betul. | Ejaan | 09.10.2017 |
"Pentafsiran" atau "Penafsiran", yang mana yang betul atau kedua-dua boleh digunakan mengikut konteks ayat? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) ejaan yang betul ialah pentafsiran. Pentafsiran bermaksud hal atau perbuatan mentafsirkan sesuatu. Contoh penggunaan: a. Syarahan ini ditumpukan kepada pentafsiran dan penulisan sejarah dalam bahasa Melayu. b. Pentafsiran data memerlukan kaedah statistik. Kata mentafsirkan (kata pasif: ditafsirkan, tafsirkan) pula bermaksud: 1. menerangkan, menjelaskan atau membuat tanggapan tentang (sesuatu kejadian, maklumat dan lain-lain). Contoh penggunaan: a. Teori ini mentafsirkan pembelajaran sebagai perubahan dalam tingkah laku. b. Istilah filem dan perfileman sering ditafsirkan secara sempit oleh masyarakat umum. 2. menerangkan, menjelaskan atau merungkaikan maksud (ayat al-Quran, hadis dan sebagainya). Contoh penggunaan: a. Ulama ini telah mengetengahkan kaedah-kaedah mentafsirkan al-Quran supaya mudah difahami dan dapat dijadikan panduan. b. Sebenarnya perkataan al-yaqin dalam ayat tersebut ditafsirkan oleh semua mufasirin yang muktabar sebagai kematian.
| Ejaan | 02.01.2025 |