Selamat Malam. Saya terdapat satu pertayaan, antara 'melawati muzium' dan 'melawat muzium' mana satu adalah betul? Terima kasih | Yang betulnya ialah melawati muzium. | Tatabahasa | 08.08.2010 |
1. Adakah frasa "bertanyakan saya tentang jalan ke Muzium Perlis" betul atau salah? | Ayat yang betul ialah '........bertanya saya tentang jalan ke Muzium Perlis' atau '....bertanyakan tentang jalan ke Muzium Perlis'. Harap maklum. | Tatabahasa | 25.07.2008 |
Saya pernah tanya satu soalan pada 25/7/2008: 1. Adakah frasa "bertanyakan saya tentang jalan ke Muzium Perlis" betul atau salah? Jawaban yang diberi oleh pihak DBP ialah '........bertanya saya tentang jalan ke Muzium Perlis' atau '....bertanyakan tentang jalan ke Muzium Perlis'. Saya kurang bersetuju dengan jawaban yang kedua yang diberikan. Hal ini demikian kerana selepas perkataan "bertanyakan" bukankah tidak boleh letak perkataan "tentang" kerana adanya imbuhan -kan di perkataan sebelumnya. Harap pihak berkenaan dapat memberi penjelasan tentang hal tersebut. Sekian, terima kasih. | Memang benar pendapat saudara. Pilihan jawapan yang kedua sepatutnya berbunyi begini: '....bertanya tentang jalan ke Muzium Perlis' | Tatabahasa | 03.11.2008 |
APAKAH PERBEZAAN ARKIB DAN MUZIUM? | Arkib ialah tempat menyimpan naskhah-naskhah, rekod umum dan dokumen-dokumen sejarah sesebuah negara; manakala muzium ialah bangunan tempat menyimpan, memelihara, mengkaji, atau mempamerkan objek-objek yg mempunyai nilai sejarah, seni, saintifik, dsb. Berdasarkan makna dalam kamus perbezaan yang paling ketara ialah arkib menyimpan dokumen sejarah dalam bentuk teks dan tidak dipamerkan untuktontonanumum, tetapi muzium ialah bangunan khusus yang mempamerkan bahan-bahan sejarah. | Makna | 13.08.2008 |
Apakahperbezaan antara galeri, arkib dan muzium? Kalau sekolah hendak wujudkan bilik pameran untuk simpanan maklumat sekolah seperti majalah sekolah, piala, buku teks yang digunakan, bekas pengetua , guru dan lain-lain, itu adalah galeri kan? Terimakasih | Kamus Dewan Edisi Empat mentakrifkan galeri sebagai bangunan atau bilik tempat mempamerkan karya-karya seni dsb: satu pameran telah diadakan di sebuah ~ seni dan sejarah. Arkib pula ialah tempat menyimpan naskhah-naskhah lama dan sebagainya yang dianggap penting. 2 tempat menyimpan atur cara dan data komputer bagi jangka masa yang lama. Manakala muzium ialah bangunan tempat menyimpan, memelihara, mengkaji, atau mempamerkan objekobjek yang mempunyai nilai sejarah, seni, saintifik, dan sebagainya. Berdasarkan keterangan saudara, galeri lebih sesuai digunakan. | Tatabahasa | 30.04.2013 |
Bagaimana perkataan-perkataan berikut dipenggalkan mengikut suku kata? rumpair sempoa muzium masyhur piano suria jurutaip cuaca beliung periuk audit atlet akauntan aeronautik Musytari sandwic asparagus ekuestrian triatlon penguin Oleander Rafflesia Aloe vera Willow Asteroid Adakah kata nama khas (khasnya kata pinjaman Inggeris) tidak perlu dipenggalkan? | Suku kata perkataan tersebut dipenggalkan seperti yang berikut: (rum/pa/ir), (sem/po/a), (mu/zi/um), (masy/hur), (pi/a/no), (su/ri/a), (ju/ru/ta/ip), (cu/a/ca), (be/li/ung), (pe/ri/uk), (au/dit(, (at/let), (a/ka/un/tan), (ae/ro/nau/tik), (Musy/ta/ri), (sand/wic), (as/pa/ra/gus), (e/ku/es/tri/an), (tri/at/lon), (pe/ngu/in), (O/le/an/der), (Raff/le/si/a), (A/loe), (ve/ra), (Wi/llow), (As/te/ro/id). Lazimnya dalam tujuan pembelajaran kata jati Melayu yang dipilih sebagai contoh penggalan bagi memudahkan kefahaman pelajar. | Tatabahasa | 19.04.2013 |
Saya keliru dengan perkataan melawat. Melawat ke Zoo Negara betul atau Melawat Zoo Negara? Biasanya nampak melawat ke Zoo Negara tetapi ada juga buku latihan Bahasa Melayu guna Melawat Muzium Negara tanpa menggunakan 'ke'? Terima kasih | Kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju. Oleh hal yang demikian ayat yang gramatis ialah Dia melawat ke Zoo Negara. Melawat Zoo Negara mungkin frasa yang digunakan dalam laras pengiklanan. | Tatabahasa | 21.05.2012 |
saya pelajar phd saya membuat kajian tentang teks jawi tlisan tangan. soalan sya ialah adakah terdapat mana2 buku keluaran DBP berkaitan dengan tulisan jawi dan buku2 yang mengandungi jawi tulisan tangan seperti dalam bentuk syair dsbnya. Selain itu ada tak buku yang bertajuk syair rakis | Terdapat banyak buku tentang Jawi di perpustakaan seperti Naskhah Jawi Sejarah dan Teks, DBP, 1994 dan Tulisan Jawi: Sejarah, Seni dan Warisan, Lembaga Muzium Negeri Pahang, 2005 dan untuk mendapatkan senarai buku dan makalah yang berkaitan sila layari prpm.dbp.gov.my, tuliskan di carian kata tajuk buku atau makalah yang berkitan atau kata kuncinya jawi, dan klik pada buku atau artikel. Tidak ada tajuk buku Syair Rakis dalam sumber rujukan kami. | Lain-lain | 16.03.2010 |
Apakah jawatan yang telah diberi oleh O.T DUSSEK kepada Pendeta Za'bs di SITC? | Terima kasih atas soalan anda, anda boleh membuat rujukan seperti di bawah : 1.www.bahau.com.my/english/eteratak.htm 2. Pendeta Tan Sri Haji Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba) 16 September 1895-23 Oktober 1973 | Norhalim Haji Ibrahim | Lembaga Muzium Negeri Sembilan | 2006 3. Za'ba dan Melayu | Adnan Hj. Nawang | Berita Publishing | 1998 | | Lain-lain | 15.07.2008 |