Assalamualaikum Adakah pantun yang diakhiri dengan bunyi atau sukukata yang sama salah dalam konsep sebuah pantun. Seolah-olahnya seperti syair. Bagaimanakah untuk menentukan sebuah pantun itu dalam kategori baik. | Memang dimaklumi pola pantun yang biasa kita temukan ialah ab, ab. Walau bagaimanapun, ada juga terdapat pantun yang skema rima akhirnya menyamai rima syair iaitu aa,aa. Untuk menentukan karya itu sebagai sebuah pantun boleh dilihat dari cirinya, iaitu ada baris pembayang dan ada baris maksudnya. Contoh pantun yang skema rimanya aa, aa: Seri Mersing lagu Melayu, Mari dikarang zaman dahulu; Duduk termenung menongkat dagu, mengenang nasib dagang piatu. | Sastera | 19.04.2012 |
saya nak tahu cara untuk menghantar karya kepada DBP untuk diterbitkan?? saya pelajar IPGM kampus bahasa melayu dan saya mula bergiat dalam penulisan puisi...oleh yang demikian saya ingin cuba nasib menghatar karya saya ke DBP untuk diterbitkan.... | Terima kasih atas pertanyaan sdr. Karya sdr berupa puisi (asli dan bukan plagiat) perlulah dikumpulkan sekurang-kurangnya 100 buah (bermutu). Lagi banyak puisi dikumpulkan dan disertakan untuk dihantar kepada DBP lagi baik. Dalam hal ini, pakar penilai berkemungkinan besar akan menggugurkan puisi-puisi yang difikirkan tidak kuat atau tidak bermutu. Bagi memudahkan untuk penilaian oleh pakar yang dilantik oleh DBP, sdr perlulah menyusun kemas puisi tersebut mengikut contoh atau format antologi/kumpulan (buku) puisi yang telah diterbitkan oleh DBP. Format tersebut perlulah mengandungi judul (kulit luar) dan nama pengarang, kandungan puisi, teks puisi dan biodata lengkap penulis. Karya yang dikirimkan perlulah dalam dua (2) bentuk iaitu bahan/teks bercetak dan disket. Surat rasmi daripada pengirim perlulah mengandungi nama penuh (sertakan nama pena sekiranya ada), nombor telefon, nombor faks dan alamat e-mel (sekiranaya ada) bagi memudahkan segala urusan surat menyurat. Kirimkan karya tersebut (sebaik-baiknya secara surat berdaftar atau hantar tangan) ke alamat: Ketua Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Sekian dimaklumkan. Selamat berjaya dan wassalam. | Lain-lain | 04.08.2010 |