Mengapa tab Khidmat Nasihat ditiadakan dalam PRPM? Saya sentiasa merujuk kepada Khidmat Nasihat untuk mendapatkan kepastian ejaan. Saya ada mencadangkan supaya ejaan yang dibalas oleh DBP hendaklah ejaan yang betul apabila menjawab sebarang pertanyaan pelanggan semasa DBP membuka galeri di Terengganu Trade Centre pada tahun 2014. Kini Khidmat Nasihat sudah ditiadakan dalam PRPM. Mohon jasa baik tuan supaya ianya diwujudkan semula demi kepentingan umum. Terima kasih. | Domain "Khidmat Nasihat" ditutup sementara waktu untuk pengemaskinian. Domain ini akan dipaparkan semula tidak lama lagi. | Lain-lain | 02.01.2015 |
Saya ingin merujuk kepada khidmat nasihat bertarikh 9/6/2015 mengenai penggunaan bergantung pada/kepada. Dalam entri ini, pihak khidmat nasihat DBP ada menyatakan bahawa 'bergantung kepada' digunakan apabila frasa ini diikuti dengan kata nama 'awak'. Namun, ini berbeza dengan entri khidmat nasihat lain yang secara tersirat menunjukkan bahawa 'bergantung pada' haruslah digunakan tidak kiralah apa pun perkataan yang mengikutinya (jika dilihat kepada semua contoh). Saya mohon agar pihak Khidmat Nasihat dapat mengesahkan perkara ini. Terima kasih. | Frasa yang betul ialah "bergantung pada", merujuk tempat bagi perbuatan kata kerja. Walau bagaimanapun frasa "bergantung kepada" banyak digunakan dalam kalangan masyarakat seperti yang terkandung dalam contoh yang tuan lihat dalam data kami. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 06.10.2015 |
Adakah perkattan "air" diftong atau vokal berganda? Terdapat percanggahan pada laman kidmat nasihat. Soalan tatabahasa bertarikh 13/1/2013 yang menggunakan pemenggalan air-air dan bukanya a-ir. Jawaban khidmat nasihat adalah diftong Tetapi pada soalan yang bertarikh 7/1/2013 untuk perkataan air. Jawaban khidmat nasihat adalah vokal berganding kerana dilafazkan sebagai a-ir. Mana yang betul? | Jawapan terbaharu dalam Khidmat Nasihat Bahasa betul. Maklumat yang kami peroleh adalah darpada penyusun buku Tatabahasa Dewan. Berlaku kesilapan fakta pada halaman 301 buku Tatabahasa Dewan dan hal ini akan diperbetulkan pada terbitan yang akan datang. | Tatabahasa | 25.01.2013 |
Apakah yang dimaksudkan dengan " Sejauh manakah peranan Baitulmal dalam Melestarikan Perancangan Kewangan Islam? " Terima kasih | Untuk makluman, soalan saudara adalah di luar skop Khidmat Nasihat Bahasa. Khidmat Nasihat Bahasa membantu pelanggan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan ejaan Rumi dan Jawi, semakan penggunaan perkataan dan istilah, semakan bahasa/tatabahasa dan sebagainya. Harap maklum. | Tatabahasa | 26.03.2013 |
Mohon nasihat daripada DBP berkaitan istilah 'Online Identity' dalam bahasa Melayu. Manakah yang lebih tepat Identiti Dalam Talian ATAU Identiti Atas Talian? Terima kasih atas perhatian. | Padanan bahasa Melayu bagi "online identity" ialah identiti dalam talian. | Istilah | 10.08.2020 |
Mohon nasihat, jika di dalam Bahasa Inggeris, ejaan ialah Anti-Doping Malaysia. Di dalam Bahasa Melayu, adakah ejaan perlu dirapatkan menjadi Antidoping Malaysia? (sama seperti Antidadah dan Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan) | Untuk makluman tuan, padanan bahasa Melayu untuk perkataan Doping ialah Salah guna dadah (Sila rujuk Halaman Utama PRPM). Manakala untuk penggunaan perkataan Anti-Doping akan dimaklumkan kemudian. | Lain-lain | 14.05.2019 |
Khidmat nasihat tuan/puan amat diperlukan dan didahului dengan ribuan terima kasih. | Kami tidak menyediakan perkhidmatan menyemak terjemahan. Tuan/puan boleh menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia melalui talian 03-9226 2506 atau Institut Terjemahan dan Buku Malaysia melalui talian 03-4145 1800 untuk hal yang berkaitan dengan terjemahan. Kami menyediakan khidmat untuk pertanyaan istilah dalam bahasa Melayu. Sekiranya istilah yang dikehendaki tiada dalam laman PRPM (http://prpm.dbp.gov.my/), kami akan mencadangkan istilah atau perkataan dalam bahasa Melayu yang sesuai. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.12.2018 |
Mohon nasihat terjemahan BM. (i) Regional Head (Ketua Wilayah), (ii) Premier Client Manager (Pengurus Pelanggan Premier), (iii) Preferred Client Manager (Pengurus Pelanggan Pilihan | Cadangan terjemahan (jika bersesuaian dengan konsep/fungsi jawatan berkenaan): (i) Regional Head - Ketua Wilayah (ii) Premier Client Manager - Pengurus Pelanggan Utama (iii) Preferred Client Manager - Pengurus Pelanggan Pilihan | Penyemakan dan penterjemahan | 09.11.2018 |
Mohon nasihat pihak DBP tentang terjemahan perkataan "turn-on" untuk perkhidmatan atau seting. Manakah yang betul - hidupkan atau aktifkan? Contoh ayat: Hidupkan perkhidmatan navigasi atau Aktifkan perkhidmatan navigasi. Terima kasih. | Dalam konteks ayat yang diberikan, terjemahan yang betul untuk turn-on ialah hidupkan. | Penyemakan dan penterjemahan | 23.09.2017 |
Mohon nasihat pihak DBP mengenai penggunaan tanda sempang di dalam ayat berikut: "Kata laluan mestilah mempunyai sekurang- kurangya 10 aksara." Format untuk cetakan buku dan laman web kami mempunyai had dan tiada apa yang kami boleh lakukan untuk menjadikan perkataan "sekurang-kurangnya" menjadi satu baris. Sila rujuk fail yang dilampirkan untuk rujukan lanjut. Apakah format ini boleh diterima? Terima kasih. | Format penulisan sebegini boleh diterima, iaitu perkataan selepas sempang disambung ke baris seterusnya kerana ruang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun sekiranya puan ingin perkataan "sekurang-kurangnya" ditulis pada satu baris, puan boleh mengubah ayat kepada: Kata laluan mestilah mempunyai 8 aksara sekurang-kurangnya, dan mengandungi nombor, huruf besar dan huruf kecil.
| Lain-lain | 22.09.2016 |