Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[niat] | نية

Definisi : 1. maksud atau tujuan sesuatu perbuatan: mematikan orang sakit dgn ~ hendak menamatkan penderitaannya ialah suatu kesalahan; 2. ingatan (dlm hati): ~ kita hendak ke Kampar; ~ baik maksud yg baik; ~ hati tujuan (kehendak) hati; 3. janji (dlm hati) utk melakukan sesuatu jika terkabul sesuatu yg dihajati, kaul, nazar; melepas ~ membayar nazar; berniat 1. bertujuan (akan), bermaksud (akan): aku pun tidak ~ lagi hendak pulang ke rumahmu; 2. berjanji (akan), berkaul, bernazar: beta ini laki isteri hendak pergi berkaul dan ~ di lautan Tanjung Jati; berniat-niat berharap-harap supaya, meng­harapkan benar; meniatkan 1. mengharapkan, me­maksud­kan: niat itu hendaklah diniatkan dlm hati; 2. menjanjikan utk melakukan sesuatu (se­telah sampai hajat dll), mengaulkan, me­nazarkan; 3. Mn berdoa utk memohon se­suatu, mengharapkan; terniat telah diniatkan, datang niat, ter­maksud: Nahidah tidak ~ hendak meng­khabarkannya; niatan niat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[niat] | نية

Definisi : 1 maksud atau tujuan melakukan sesuatu; hajat; kehendak: Wahai tuanku yg bangsawan, patik tahu akan ~ tuanku memanggil patik pulang. 2 janji utk berbuat sesuatu jika tercapai hajat; kaul; nazar. berniat 1 bermaksud; bertujuan: Aku pun tidak ~ hendak pulang ke rumahmu lagi. 2 berjanji akan berbuat sesuatu jika tercapai hajat; bernazar; berkaul: Dia ~ akan berpuasa seminggu jika ia lulus dlm peperiksaan itu. meniatkan 1 menyimpan sesuatu sbg niat (di hati); memaksudkan. 2 menjadikan sesuatu sbg niat; menjan­jikan sesuatu (utk melakukan sesuatu setelah tercapai hajat dll); menazarkan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
niat (kata nama)
1. Bersinonim dengan maksud: tujuan, ingat di hati, hajat, hasrat, kemahuan, keinginan, kehendak, cita-cita, fikiran, harapan, jangkaan, cadangan, nazar,

2. Bersinonim dengan janji dalam hati: kaul, nazar, tekad, ikrar, azam,

Kata Terbitan : berniat, berniat-niat, meniatkan, terniat,

Puisi
 

Naik bukit pergi Asahan,
     Bayar niat mudah-mudahan;
Sungguhpun songket kain pilihan,
     Tapi tak boleh buat basahan.


Lihat selanjutnya...(25)
Peribahasa

Niat hati hendak memancing temenung,
     sudah terpancing ikan setoka.

Bermaksud :

Lain yang dihajati, lain yang diperoleh.

 

Lihat selanjutnya...(14)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Mengapa perkataan "mengkenselkan" digunakan dalam surat 'penyampaian notis niat ketua pendaftaran institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS)' dan bukannya perkataan "membatalkan"?Terima kasih atas aduan yang telah pihak tuan berikan. Perkataan yang betul ialah "membatalkan". Pihak kami akan menghantar surat teguran kepada pihak yang berkenaan. Sekian.Lain-lain04.07.2017
Adakah kesalahan dalam perenggan ini? Kesimpulannya,kelas tuisyen mempunyai kebaikan dan keburukan terserah kepada anak.Niat ibu bapa untuk mengelakkan anak-anak terlibat dalam gejala sosial sebenarnya baik tetapi beberapa anak telah menyalahgunakan peluang ini.Oleh itu,ibu bapa perlu berfikir dahulu dan mendengar keinginan anak-anak sebelum menghantar mereka ke kelas tuisyen.Ibu bapa tidak harus lepas tangan terhadap anak-anak dan perlu mengawasi gerak-geri anak-anak walaupun telah menghantar mereka ke kelas tuisyen.Dalam ayat pertama lagi "Kesimpulannya, kelas tuisyen mempunyai kebaikan dan keburukan terserah kepada anak" mengandungi kesalahan. Ruang yang terhad ini tidak dapat membimbing tuan membina ayat dengan betul. Seelok-eloknya bertanya dengan guru, rujuk sebarang permasalahan bahasa dengan guru kerana mereka dapat membimbing tuan secara berdepan. Untuk makluman tuan juga, kami tidak menyediakan perkhidmatan menyemak esei, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan peperiksaan kerana selain bahasa yang perlu diteliti, ketepatan fakta juga perlu diperhati.

Tatabahasa29.09.2015
Adakah kesalahan dalam perenggan ini? Kesimpulannya,kelas tuisyen mempunyai kebaikan dan keburukan terserah kepada anak.Niat ibu bapa untuk mengelakkan anak-anak terlibat dalam gejala sosial sebenarnya baik tetapi beberapa anak telah menyalahgunakan peluang ini.Oleh itu,ibu bapa perlu berfikir dahulu dan mendengar keinginan anak-anak sebelum menghantar mereka ke kelas tuisyen.Ibu bapa tidak harus lepas tangan terhadap anak-anak dan perlu mengawasi gerak-geri anak-anak walaupun telah menghantar mereka ke kelas tuisyen.Untuk lebih lebih memahami binaan ayat dan penggunaan perkataan yang betul, sila bertanya kepada guru di sekolah dan banyakkan berbincang dengan rakan pelajar. Ruang yang terhad ini tidak dapat membimbing pelajar dengan rinci dan jelas. Kami juga tidak menyediakan perkhidmatan menyemak esei atau tulisan, sekalipun dihantar satu demi satu.Tatabahasa29.09.2015
Saya sebagai Arkitek ingin mendapat pengesahan daripada pihak DBP untuk menentukan terjemahan perkataan "R.C Coping" kepada Bahasa Malaysia "Konkrit bertetulang ?". Niat saya adalah untuk mengemukakan pelan dalam BM kepada pihak berkuasa. Tapi saya tidak dapat menerjemahkan perkataan "Coping".Untuk makluman belum ada istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "R.C. Coping". Walau bagaimanapun, padanan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "R.C. Coping" ialah kepala tembok konkrit bertetulang atau tukup konkrit bertetulang.Istilah10.06.2016
Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Adik menjawab soalan ibu dengan takut-takut. 2. Tapisan air itu kelihatan jernih. 3. Lelaki itu tercampak keluar dari keretanya dalam perlanggaran itu. 4. Bantuannya tercantum niat buruk. 5. Jam yang tergantung pada dinding itu sudah berhenti berdetik. 6. Kakak membuat ulang kaji selepas kelas tuisyen. 7. Dia menyanyi hingga urat lehernya timbul. 8. Dia menamakan Si Comel kepada kucingnya. 9. Kakak suka membaca buku, abang pula gemar bersukan. Terima kasih.Salam sejahtera,
Semua ayat-ayat di bawah adalah betul, iaitu:

1. Adik menjawab soalan ibu dengan takut-takut. 2. Tapisan air itu kelihatan jernih. 3. Lelaki itu tercampak keluar dari keretanya dalam perlanggaran itu. 4. Bantuannya tercantum niat buruk. 5. Jam yang tergantung pada dinding itu sudah berhenti berdetik. 6. Kakak membuat ulang kaji selepas kelas tuisyen. 7. Dia menyanyi hingga urat lehernya timbul. 8. Dia menamakan Si Comel kepada kucingnya. 9. Kakak suka membaca buku, abang pula gemar bersukan.
Tatabahasa14.03.2013
Definisi perkataan "street food" dalam Bahasa Kebangsaan. Perkataan ini ditafsirkan secara berasingan dalam Kamus Dewan Bahasa dan secara literal boleh didefinisikan sebagai "makanan jalanan". Niat Pihak Berkuasa Negeri untuk memasukkan makanan-makan yang dijual oleh penjaja kecil termasuk di "food court". Pohon bantuan definisi yang tepat yang boleh digunakanUntuk makluman, belum ada definisi yang khusus untuk "street food" dalam pangkalan data kami. Kami mencadangkan puan menghubungi  Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk mendapatkan definisi yang sesuai. Nombor telefon bahagian tersebut ialah 03-21479166/21479159/21479158.Istilah22.07.2014
Boleh saya dapatkan pengesahan penggunaan perkataan 'menyetujuterima' dalam konteks ayat 'menyetujuterima sebut harga/tender'Mengikut istilah Undang-undang ejaan yang betul ialah "menyetujui terima" yang bermaksud "menerima dengan niat bersetuju".Istilah15.06.2020
APAKAHM PERBEZAAN BAGI ISTILAH KONSEP, DEFINISI,MAKSUD DAN TAKRIF. TERIMA KASIHKonsep bermaksud pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu. Definisi bermaksud kenyataan yang ringkas dan padat bagi menjelaskan konsep atau makna sesuatu kata. maksud bermakna tujuan, hajat,kehendak, niat takrif bermaksud huraian yang ringkas dan tepat, penjelasan, penentuan,pernyataan, definisi. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. Makna27.09.2008
segala yang berkaitan dengan buaya, maksud, peribahasa, pantun, istilah, dan lain-lain....juga kearamatAntara peribahasa yang berkaitan dengan buaya ialah; Adakah buaya menolak bangkai? Seorang jahat tentu akan berbuat jahat, kalau ada kesempatan. 2 . Air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya. Daripada perkataan dapat dimaklumi niat di dalam hati. keruh-keruh kerak = tiada jernih. 3 . Air yang tenang, jangan disangka tiada berbuaya. Orang yang diam jangan disangka pengecut. 4 . Asal selamat ke seberang, biar bergantung di ekor buaya. Sangat perlu akan pertolongan, betapa pun jua pertolongan itu akan diterimanya. 5 . Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau. Membuat pekerjaan yang sia-sia. 6 . Besar berudu di kubangan, besar buaya di lautan. Tiap-tiap orang mulia dan besar pada tempatnya masing-masing. Sila rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dan Kurik KUndi Merah Saga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk rujukan himpunan pantun-pantun Melayu. Harap maklum.Lain-lain27.11.2007
Putera Pg Azlan Sep 30th, 1:42pm Assalammualaikum yang berbahagia Datuk, saya Wan Amir Azlan Bin Wan Haniff dari UUM, salah seorang peserta Program pembinaan Bakat Siswa... seperti yang tuan sudah sedia maklum mengenai surat semalam, saya ingin respons dengan berharap agar perkara ini dapat disiasat dengan teliti Tuan, bukan niat saya untuk mengeruhkan keadaan memandangkan program ini telah pun berakhir, saya cuma berharap agar selepas ini ia tidak berlaku lagi, dan untuk makluman tuan, saya telah bersedia 5 bulan lamanya untuk pertandingan ini dan setiap persediaan tersebut mempunyai harga yang perlu pihak kami bayar untuk jayakannya ditambah pula jarak universiti kami yang sangat jauh. kami cuma berharap pertandingan ini dapat diadili dengan lebih adil dan teliti tanpa ada miring kepada mana2 pihak. .. Saya meminta maaf jika saya tersilap kata, segala kerjasama tuan sangatlah saya hargai..Syabas atas pelibatan dan komitmen tuan dalam Program Bakat Siswa. Semua peserta layak untuk menang tetapi hanya seorang yang akan dipilih sebagai pemenang, iaitu peserta yang mempunyai markah tertinggi dalam kumplan tersebut. Perlu diingat, panel hakim yang dipilih adalah dalam kalangan mereka yang berwibawa dan berintegriti. Walau bagaimanapun, untuk sebarang aduan, tuan boleh menghubungi pihak urus setia di Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, di talian 03-21479222/9216/9217 atau e-mel aduan kepada Ketua Bahagian Puan Siti Aisah Murad di talian aisah@dbp.gov.my.Lain-lain30.09.2014
123

Kembali ke atas