APAKAH MAKSUD YANG PALING TEPAT UNTUK PERKATAAN 'NUANSA'. | Nuansa ialah perbezaan atau kelainan yang sangat sedikit pada bunyi, makna, warna, rupa, perasaan dan lain-lain. | Makna | 02.01.2011 |
Salam. Bolehkah istilah "Look & feel settings" (konteks IT) diterjemahkan sebagai "Pengesetan rupa & nuansa" atau "Tetapan rupa & nuansa". Adakah terdapat istilah lain yang boleh digunakan untuk istilah bahasa Inggeris tersebut? | Cadangan lain ialah "Tetapan Rupa dan Rasa". | Penyemakan dan penterjemahan | 18.05.2014 |
Apakah perbezaan nuansa pada kata dahan, ranting dan tangkai mengikut penggunaan lazim penutur? | Dahan bermaksud bahagian yang tumbuh dari batang pokok. Ranting pula merujuk bahagian cabang yang kecil-kecil di hujung dahan manakala tangkai ialah bahagian tempat melekatnya buah, bunga dan lain-lain. | Makna | 12.12.2018 |
Yang Dihormati, Saya ingin memohon maaf atas kesilapan saya di dalam emel yang di hantar sebelum ini. Pembetulan yang ingin saya kemukakan telah digariskan dan diterangkan. di bawah. Kami di Nuansa Films Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat penerbitan filem, drama dan sebagainya. Nuansa kini dalam penerbitan sebuah filem Bahasa Melayu dibintangi Remy Ishak, Maya Karin dan pelbagai artis tanah air. Filem ini adalah sebuah karya pengarah terkenal Osman Ali. Kami di Nuansa mempunyai dua pilihan untuk tajuk filem ini. Pilihan Pertama - Cun Melencun - Pembetulan - Cun Melecun Pilihan Kedua - Cun Me-lencun Kami ingin tahu daripada pihak Dewan dan Pustaka jika tajuk yang berkenaan: - tidak mempunya erti yang keterlaluan atau melampau - sifat-sifat buruk - erti sebenar di sebalik perkataan Kerjasama pihak Dewan dan Pustaka amat dihargai. Yang benar, Pravind Subramaniam Nuansa Films Sdn. Bhd. | Untuk makluman saudara, "cun" iaitu bahasa percakapan atau slanga yang mengandungi konotasi padan atau anggun. Oleh itu, perkataan tersebut tidak sesuai untuk digunakan dalam situasi rasmi atau sebagai bahan paparan di tempat awam. Ungkapan yang pertama atau kedua tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tajuk filem kerana filem sebagai wahana pendidikan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. | Tatabahasa | 16.12.2009 |
Salam, saya ingin bertanya pendapat Munsyi sama ada kosakata/frasa berikut boleh dianggap sinonim untuk tujuan penulisan: berkaitan, berkenaan, berhubungan, tentang, mengenai, sehubungan dengan, merujuk kepada. Jika ada nuansa atau seumpamanya, harap berkongsi. Terima kasih. | Perkataan berkaitan, berkenaan, berhubungan, tentang dan mengenai kadangkala boleh digunakan bersilih ganti, seperti berkenaan dengan perkara tersebut/berhubungan dengan perkara tersebut/tentang perkara tersebut/mengenai perkara tersebut, namun bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat. Contoh, bola itu mengenai (kena pada) kepalanya tidak boleh bertukar ganti dengan perkataan yang lain. "Sehubungan dengan itu" dan "merujuk" digunakan dalam konteks yang berbeza. Contoh Sehubungan dengan itu, tuan dipersilakan hadir dalam perbincangan tersebut. Dengan hormatnya kami merujuk perkara yang tersebut di atas. | Tatabahasa | 13.10.2021 |