Nyah, terbitannya mengenyahkan. Nyah toksik, terbitannya mengenyahtoksikkan. Mohon penjelasan. | Kata dasar nyah menjadi mengenyah apabila menerima awalan menge- yang diimbuhkan pada kata dasar yang bersuku kata satu. Nyahtoksik (dieja sebagai satu perkataan) menjadi menyahtoksik apabila menerima awalan meN-. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 155 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 18.05.2010 |
Di halaman 1087 Kamus Dewan Edisi Keempat ada masukan -nyah- yang dikatakan awalan asing yang bermaksud buang atau hapus. Perkataan contoh yang diberikan ialah nyahcas dan nyahwarna. Mohon nyatakan bahasa sumber bagi awalan -nyah- itu. Terima kasih. | Awalan "nyah-" ialah padanan bahasa Melayu untuk awalan bahasa Inggeris de- atau dis-. Contohnya, discharge menjadi nyahcas, deceleration menjadi nyahpecutan. | Istilah | 29.12.2012 |
Nyah engkau dari sini …! Ayat ini menggunakan elipsis sebelum tanda seru untuk menunjukkan penegasan, kepanjangan atau gema. Adakah DBP menerima gaya ini? | Penggunaan tanda baca yang betul ialah "Nyah engkau dari sini!". Penggunaan elipsis lazimnya digunakan dalam ayat penyata bagi menyebut sebahagian sahaja daripada petikan, manakala ayat seru lazimnya tidak panjang (tidak perlu tanda elipsis) dan senafas. | Lain-lain | 13.01.2013 |
saya ingin menyemak alih bahasa English - Bahasa Melayu berikut. Hydrate - Terhidrasi Dehydrated - (membawa mak tidak terhidrasi) tapi boleh kah saya mengalih bahasa ke nyah-hidrasi atau dehidrasi? Terima Kasih | Puan Nur Aisya, Padanan bagi perkataan "hydrate" ialah menghidratkan. Padanan bagi perkataan "dehydrated" ialah dinyahhidratkan. | Istilah | 08.02.2010 |
Sekadar ingin tahu. mungkin menjadi suatu pengetahuan baharu~ "Perkataan yang terpanjang dalam Bahasa Malaysia ialah diketidaknyahcasdiversifikasielektrostat (mengandungi 40 huruf), merupakan istilah yang digunakan dalam bidang saintifik. Manakala perkataan umum yang terpanjang ialah mempertanggungjawabkan (mengandungi 22 huruf)". Betulkah? maaf, soalan agak kebudak2kan. Namun , cukup menarik utk di masa hadapan.. :D | Perkataan mempertanggungjawabkan hasil gabungan apitan memper-...-kan dengan kata dasar tanggungjawab dan perkataan ini terakam dalam Kamus Dewan. Manakala perkataan diketidaknyahcasdiversifikasielektrostat tidak ada dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan, dalam pembentukan perkataan/istilah, perkataan ketidak dan nyah tidak hadir sekali atau berurutan kerana kedua-duanya membawa maksud yang hampir sama seperti ketidakhadiran dan nyah padat. Dan lazimnya dalam pembentukan istilah apabila ada apitan di-...-kan atau ke-...-an baharulah perkataan yang terhasil itu digabungkan. | Istilah | 25.10.2012 |