Selamat sejahtera. Saya ingin bertanya tentang penulisan minit mesyuarat. 1. Dalam bahagian "Pengesahan minit mesyuarat yang lepas" perlu tulis "Minit dicadang oleh Ali dan disahkan oleh Abu?" 2. Bahagian tandatangan: i. mesti ada 3 iaitu disediakan oleh, disemak oleh dan disahkan oleh? ii. disemak oleh siapa? "disahkan oleh siapa" iii. Adakah tiga bahagian ini ditandatangan sekaligus pada tarikh yang sama selepas minit ditulis? iv. ATAU minit "disahkan oleh ketua jabatan"selepas dalam mesyuarat yang seterusnya? Maaf soalan saya banyak. Saya amat keliru semasa diminta oleh organisasi untuk menentukan format minit untuk organisasi saya. Jadi, mohon jasa baik pihak DBP untuk memberi tunjuk ajar. | DBP mengguna pakai format seperti yang berikut: (1) Nama pencadang dan disahkan tidak dicatatkan di dalam minit mesyuarat. Sebaliknya, dalam minit mesyuarat ditulis “Pengerusi mengesahkan minit mesyuarat Bil.1/2019 tanpa sebarang pindaan’(dalam keadaan minit tiada pindaan). (2) Bahagian tandatangan hanya ada dua, iaitu: Disediakan oleh: (Setiausaha) dan Disahkan oleh: (Pengerusi) (3) Terdapat minit mesyuarat yang tidak mempunyai ruangan tandatangan individu, iaitu dalam keadaan minit disediakan oleh jabatan yang bertindak sebagai urus setia Jawatankuasa. Untuk makluman, format penulisan minit mesyuarat yang dinyatakan di atas merupakan format yang diguna pakai di DBP, dan mungkin berbeza daripada format yang digunakan di MAMPU/JPA. | Lain-lain | 05.01.2019 |
Bolehkah tanya penggunaan manakah yang betul? "Oleh itu," atau "Oleh sebab itu"? Terima kasih. | Oleh merupakan kata sendi nama. Biasanya selepas kata sendi nama hendaklah diikuti dengan kata nama. Penggunaan oleh itu atau oleh sebab itu boleh digunakan mengikut konteks ayat | Tatabahasa | 23.07.2019 |
Salam sejahtera. 1. Adakah perkataan 'disebabkan' boleh digunakan bersama dengan 'oleh' seperti 'disebabkan oleh'? 2. Perkataan 'disebabkan' merupakan golongan kata apa? Adakah perkataan ini tergolong dalam kata kerja? | Perkataan disebabkan boleh digunakan dengan perkataan 'oleh' seperti 'disebabkan oleh'. Perkataan disebabkan merupakan kata kerja pasif. | Tatabahasa | 11.07.2019 |
Manufactured by BM translation: 1. Dikilang oleh atau 2. Dibuat oleh Thank you. | Terjemahan yang sesuai bagi Manufactured by ialah Dikilangkan oleh: xxxx atau Dibuat oleh: xxxx | Makna | 13.06.2017 |
Salam 1.Saya ingin mendapatkan pencerahan bagi menggunakan ayat yang sesuai untuk menggunakan istilah " disempurnakan oleh" dan "dirasmikan oleh" dalam sesuatu majlis. 2. Tatacara untuk menggunaan istilah Yang berusaha dalam salutasi ucapan seauatu majlis. Terima kasih | Secara umumnya, "Disempurnakan oleh" digunakan secara umum, manakala, "Dirasmikan oleh" untuk majlis yang melibatkan perasmian. Contohnya: Majlis Hari Inovasi sesuai digunakan "Disempurnakan oleh". Sambutan Bulan Kebangsaan pula sesuai digunakan "Dirasmikan oleh" kerana terdapat majlis perasmian. | Lain-lain | 07.10.2016 |
"...diajar oleh guru" atau "...diajarkan oleh guru"? Penggunaan yang manakah lebih tepat? | Menurut data kami, ayat yang betul ialah "...diajar oleh guru". | Tatabahasa | 23.11.2016 |
pelaburan emas bermaksud keuntungan atau kerugian adalah kerana perubahan harga emas di pasaran adalah kerana atau yang disebabkan oleh/ disebabkan oleh? | Ayat yang betul ialah Pelaburan emas bermaksud keuntungan atau kerugian yang disebabkan oleh perubahan harga emas di pasaran. | Tatabahasa | 13.11.2016 |
Managed by....terjemahan yang betul diuruskan oleh atau diurus oleh? Terima kasih. | Salam sejahtera, Terjemahan yang sesuai untuk "managed by" ialah diuruskan oleh. Sekian terima kasih. | Makna | 04.01.2018 |
yang dikendalikan oleh Abu atau yang dikendalikan Abu? Mohon terangkan bagaimana penggunaan 'oleh'. Kedua, boleh tolong terangkan mengenai penggunaan perkataan 'yang' di dalam mana-mana ayat? Terima kasih. | Selamat pagi; Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan ayat oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. i. Projek itu dikendalikan oleh Abu ii. Projek itu dikendalikan Abu Yang merupakan penanda relatif. Walau bagaimanapun, dalam bahasa Melayu perkataan yang bukan sahaja digunakan sebagai penanda relatif, tetapi digunakan juga sebagai pengganti nama yang digugurkan daripada frasa nama + yang seperti yang terdapat dalam contoh berikut: a. Warna yang biru itu warna kegemaran ibu saya. b. Yang biru itu warna kegemaran ibu saya. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 03.10.2016 |
Salam sejahtera. Ia dipecat sebab malas. Adakah ayat ini betul? Adakah kata “sebab” tergolong dalam kata hubung pancangan keterangan? Kemusykilan ini saya ajukan kerana penggunaan “oleh sebab” dalam penulisan kerap digunakan dan ditemukan. “Oleh” merupakan kata sendi nama, dan mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu, kata “oleh” mesti diikuti oleh kata nama, misalnya “sebab”. Penjelasan yang mantap amat dihargai. Sekian, terima kasih. | Ayat Ia dipecat sebab malas bukan ayat yang gramatis. Kata sebab ialah kata nama manakala oleh sebab ialah kata hubung keterangan musabab sama seperti kerana dan lantaran. Ayat yang betul menggunakan kata hubung oleh sebab ialah Oleh sebab dia malas, dia dipecat. | Tatabahasa | 23.11.2018 |