Tuan, antara dua frasa berikut, yang manakah betull? 1. (a) membedakan banyak orang dengan orang banyak, (b) membedakan banyak orang daripada orang banyak. Sebelum tuan menjawab soal saya dengan pendapat kewarasan tuan, silalah teliti pendapat saya dalam WordPad yang terlampir untuk menimang betul salah huraian saya itu. | Kata bilangan menjadi penerang jumlah pada frasa nama dan hadir sebelum frasa tersebut. Frasa yang betul ialah "banyak orang". | Tatabahasa | 15.12.2016 |
Frasa yang betul ialah "Rumah Orang-orang Tua". Jawapan ini diberi oleh Khidmat Nasihat DBP untuk soalan "Rumah Orang Tua-Tua" atau "Rumah Orang-orang Tua". Jika ...orang-orang tua... maka 'orang-orang' di sini bentuknya jamak? Namun, jika DBP ditanya, 'orang' atau 'orang-orang' untuk bentuk jamak, jawapannya 'orang' kerana 'orang-orang' hanya merujuk orang-orangan di sawah. Tidak bolehkah penggunaan sebenar diambil kira? Banyak orang menggunakan 'orang-orang' utk merujuk jamak. Kalau terlalu disempitkan penggunaannya, ini tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam kalangan penutur. | Frasa "orang tua" ialah kata majmuk. Apabila kita menggandakan kata majmuk hanya perkataan pertama digandakan, maka terhasillah orang-orang tua seperti Rumah Orang-orang Tua, sama seperti Mesyuarat Menteri-menteri Besar. Saudara boleh menggunakan orang atau orang-orang bagi menandakan jamak. Malah korpus bahasa Melayu kerap ditemukan perkataan orang-orang bagi menandakan jamak. Walau bagaimanapun kecenderungan sesetengah penulis yang mementingkan nilai ekonomi dalam berbahasa tidak menggandakan perkataan kerana maksud tunggal atau jamaknya boleh dilihat pada konteks ayat yang digunakan. | Tatabahasa | 31.05.2012 |
adakah banyak boleh menggantikan ramai untuk orang contoh ayat: banyak orang banyak murid banyak ibu bapa | Perkataan ramai membawa maksud terdiri daripada jumlah yang banyak (berkenaan orang), manakala banyak bermaksud besar jumlahnya atau bilangannya. Frasa ramai orang dan banyak orang kedua-duanya betul dan penggunaannya disesuaikan mengikut konteks ayat. Kebiasaanya ramai orang merujuk suasana (keadaan) orang yang ramai di sesuatu tempat, manakala banyak orang merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan, seperti banyak ibu bapa merujuk bilangan ibu bapa yang besar jumlahnya. | Tatabahasa | 12.02.2018 |
ramai orang atau banyak orang. mana lebih tepat untuk digunakan. | Ramai orang dan banyak orang, kedua-duanya betul. Lazimnya ramai orang merujuk kepada suasana seperti Ramai orang membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada musim raya, dan banyak orang merujuk kepada bilangan seperti Banyak orang tidak setuju dengan keputusan tersebut. | Tatabahasa | 18.08.2011 |
terangkan apakah maksud ummah? | Ummah merupakan sebutan dalam bahasa Arab. Biasanya kita menyebutkannya sebagai umat yang bermaksud 1. Para pemeluk atau penganut sesuatu agama (biasanya dimaksudkan umat Islam). 2. Seluruh rakyat atau orang banyak. 3. Segolongan manusia atau bangsa. | Makna | 04.10.2002 |
Boleh saya dapatkan istilah tepat bagi 'scarecrow'. Adakah orang-orang atau orang-orangan? Kedua, bolehkah saya gunakan orang-orang sebagai penanda jamak bagi perkataan orang. Terima kasih | Kedua-dua "orang-orang" dan "orang-orangan" adalah betul dan boleh digunakan sebagai padanan bahasa Melayu untuk scarecrow. Dalam data rujukan banyak digunakan perkataan orang-orang bagi menunjukkan jamak. Walau bagaimanapun, tidak salah jika kita menggunakan orang, lebih-lebih lagi kecenderungan penulis kini yang mementingkan nilai ekonomi dalam berbahasa. | Istilah | 27.07.2016 |
Banyak orang/Ramai orang suka akan waklil rakyat yang prihatin dan peramah itu. ramai orang betul atau banyak orang betul? atau kedua-duanya betul? apa rasionalnya? | Banyak/ramai orang suka akan waklil rakyat yang prihatin dan peramah itu. Banyak dan ramai kedua-duanya boleh digunakan dalam ayat tersebut. Dalam Kamus Dewan, banyak sama makna dengan bukan sedikit, tidak sedikit seperti orang dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.09.2008 |
Salam sejahtera, saya ingin mengetahui tentang penggunaan perkataan banyak dan ramai. Contoh; 1) ... banyak orang; atau 2) ... ramai orang. Sekian, terima kasih. | Ramai orang dan banyak orang, kedua-duanya betul. Lazimnya ramai orang merujuk kepada suasana seperti Ramai orang membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada musim raya, dan banyak orang merujuk kepada bilangan seperti Banyak orang tidak setuju dengan keputusan tersebut. | Tatabahasa | 26.02.2017 |
Perbezaan perkataan banyak dengan ramai | Ramai terdiri daripada jumlah yang banyak (berkenaan orang), manakala banyak bermaksud besar jumlahnya atau bilangannya. Kebiasaanya ramai orang merujuk suasana (keadaan) orang yang ramai di sesuatu tempat, manakala banyak orang orang merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan. | Tatabahasa | 21.05.2013 |
assalamualaikum. saya ingin bertanya mengenai beberapa perkara: 1. Saya keliru dengan penggunaan perkataan banyak dan ramai, boleh tolong jelaskan? 2. Adakah penggunaan perkataan 'secocok' diterima pakai dalam penulisan atau penyampaian rasmi bahasa Melayu? harap maklum. | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat kata banyak bermaksud 1. bukan sedikit, tidak sedikit 2. bilangan, jumlah 3. sangat, sungguh. Sila rujuk halaman 127. Kata ramai bermaksud 1. riuh-rendah,hiruk-pikuk 2. sangat,hebat,dahsyat 3. sangat gembira,sangat meriah 4. aktif,giat,sibuk 5. banyak penghuninya 6. banyak(orang),orang banyak,umum. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1275. Kata secocok ada digunakan dalam penulisan rasmi. | Tatabahasa | 24.01.2008 |