| Bentuk pasif yang betul ialah "Batu itu saya tersepak." Untuk maklumat lanjut tentang awalan "ter-", sila rujuk buku Tatabahasa Dewan muka surat 170 - 175. Itu ialah jawapan tuan tentang bentuk kata kerja pasif dalam binaan ayat apabila menggunakan kata ganti nama diri orang pertama. Dalam Tatabahasa Dewan m/s 170-175 tiada penerangan khusus tentang penggunaan 'saya' dalam ayat pasif dengan kata kerja pasif 'ter'. Untuk pengetahuan tuan, jawapan tuan tidak konsisten. Pada masa yang lain tuan jawab begini Frasa "tidak terlawan oleh saya" betul, kata kerja pasif dengan awalan ter- + oleh + kata ganti nama diri pertama. Yang tidak gramatis islah kata kerja pasif dengan awalan di- + oleh + kata ganti nama diri pertama. (21.09.2012). Adakah adanya kata nafi 'tidak' membenarkan alasan jawapan tuan? Masalah utamanya ialah PRPM ruangan Khidmat Nasihat sering menjadi rujukan pelajar dan pengguna bahasa tentang pelbagai masalah bahasa dan jawapan tuan menjadi pegangan mereka. Jawapan yang tidak konsisten menyukarkan guru-guru untuk menjelaskan masalah kebahasaan seperti yang saya nyatakan. Sebanarnya yang mana jawapan yang betul? | Kami memohon maaf atas kekeliruan yang timbul. Setelah berbincang dengan munsyi dewan, ayat yang betul ialah "Batu itu tersepak oleh saya." Kekeliruan timbul apabila melibatkan ayat pasif dengan kata ganti nama diri orang pertama iaitu saya. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif di-. Ayat pasif dengan kata kerja di- digunakan hanya dengan frasa nama objek orang ketiga. Untuk ayat pasif dengan kata kerja pasif ter-, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, muka surat 490. | Tatabahasa | 09.09.2013 |
| betulkah penggunaan baharu dan baru telah berubah? bagaimanakah penggunaan kata penguat 'sekali' digunakan? setahu saya , tidak boleh ada dua kata penguat dalam satu frasa adjektif tetapi ada pula orang yang kata sesetengah kata penguat boleh menggunakan sekali di hujungnya. sekian, terima kasih. | Perkataan baru atau baharu adalah sama. Yang membezakan perkataan ini ialah baru merujuk kepada 'just'. Misalnya baru sampai. Baharu merujuk kepada 'new'. Penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara berikut; 1. se + kata adjektif + gandaan + kata nama. 2. ter + kata adjektif. 3. paling + kata adjektif. 4. kata adjektif + sekali. 5. ter + amat, sangat + adjektif. 6. amat, sungguh, sangat + kata adjektif + sekali. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Baharu muka surat 245. | Tatabahasa | 12.10.2008 |