Mohon pengesahan. Ayat : Maklumat terperinci seperti di Rajah 1-1. 1) Penggunaan yang betul bagi ayat diatas : "Maklumat" atau "Penerangan" atau "Keterangan". 2) Penggunaan bagi merujuk rajah "di Rajah 1-1" atau "pada Rajah 1-1" atau "dalam Rajah 1-1" | 1) Merujuk Kamus Dewan maklumat sama maknanya dengan pemberitahuan, pengumuman dan keterangan, manakala penerangan bermaksud menerangkan atau menjelaskan sesuatu. Oleh itu, penggunaan perkataan tersebut berdasarkan makna yang hendak disampaikan. 2) Penggunaan yang betul ialah "pada Rajah 1-1" dan "dalam Rajah 1-1". | Tatabahasa | 21.08.2011 |
Sila semak pengertian Qada' dan Qadar pada mukasurat 1, buku teks Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, Pendidikan Islam Tahun 4, jilid 2...terima kasih. | Sebenarnya pengertian yang sedia ada di dalam buku tersebut adalah cadangan daripada pihak Kementerian Pelajaran sendiri (takrif Usuliyyin). Segala maklumat lanjut silalah berhubung terus dengan pihak Kementerian. | Makna | 12.06.2010 |
Ayat manakah yang betul: 1. Keputusan eksperimen selepas empat hari direkod dalam Jadual 1? 2. Keputusan eksperimen selepas empat hari direkod pada Jadual 1? 3. Keputusan eksperimen selepas emapt hari direkod di Jadual 1? | Ayat Keputusan eksperimen selepas empat hari direkod dalam Jadual 1 dan Keputusan eksperimen selepas empat hari direkod pada Jadual 1 betul. | Tatabahasa | 31.08.2012 |
Pada dasarnya 31.12.2000 ialah akhir alap kedua, ini bermakna pada 1.1.2001 bermulalah alap ketiga. Walau bagaimanapun ramai orang menyebut tahun 2001 hingga sekarang sebagai alap baru. Adakah kemungkinan manusia yang hidup alap ini akan hidup pada alap keempat iaitu 1.1.3001? Pakar-pakar bahasa, ahli-ahli politik sepatutnya berhati-hati menggunakan istilah-istilah baru kerana dikhuatiri akan menjadi ikutan generasi muda. Pada masa ini telah menjadi lumrah penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris dicampuradukan. Siapa harus dipersalahkan ? | saya bersetuju dengan pandangan tuan tersebut. Perkara seperti ini mungkin wujud disebabkan berlakunya salah faham dalam kalangan masyarakat kita pada masa kini. | Tatabahasa | 16.09.2007 |
Saya berasa musykil tentang diftong, vokal berganda, digraf dan konsonan berganda yang diajar dlm buku teks tahun 2 KSSR. Dan saya bukan orang pertama yang keliru dengan pendekatan dalam buku teks itu. Adakah wajar perkara yang mengelirukan itu diajar dengan sekadar touch n go kepada kanak-kanak yang baru hendak mengenal bahasa?Bukan itu sahaja, ayat majmuk dan ayat tunggal juga di ajar dengan hanya mewarnakan perkataan itu dengan harapan murid tahun dua dapat membezakannya. Sesuatu perlu dilakukan oleh DBP sebagai penasihat bahasa kebangsaan untuk mengubah isu/cara touch n go ini bagi terbitan buku teks seterusnya. | Untuk makluman puan, penyediaan bahan dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 2 SK tidaklah dibuat secara touch n go sahaja. KSSR pada Tahap 1 (Tahun 1-3) menitikberatkan kemahiran literasi dan aplikasi bahasa pada peringkat asas. Murid perlu menguasai asas kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis terlebih dahulu, manakala aspek seni bahasa dan tatabahasa menyokong bahan yang dipersembahkan. Pendekatan untuk mengenali konsep diftong, vokal berganding, digraf dan konsonan berganda dalam buku teks Tahun adalah merupakan pendekatan pembelajaran bahasa yang lebih santai dan secara didik hibur sesuai dengan tahap murid Tahun 2. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam halaman pendahuluan (iv-v). Murid hanya diminta mengenali perkataan yang berkaitan yang ada dlm buku teks dan buku aktiviti dengan kemahiran dengar dan sebut/tutur, misalnya hlm 2, Kemahiran Membaca hlm 3 dan kemahiran Menulis hlm 4. Murid tidak diberatkan dengan penghafalan set definisi konsep tetapi lebih kepada upaya menyebut, membaca dan menulis perkataan yang berkaitan. Aktiviti ini seupaya mungkin diaplikasikan dalam pengajaran dalam bilik darjah oleh guru. Perincian tentang definisi/konsep diftong, vokal berganding digraf dan konsonan berganda kerana hanya didedahkan atau diperincikan dalam buku Bahasa Malaysia Tahun 3. Begitu juga halnya dengan kaedah mengenal pasti ayat majmuk dan ayat tunggal. Murid Tahun 2 hanya menggunakan kemahiran membaca ayat misalnya hlm 7, tidak perlu menghafal definisi ayat tunggal atau ayat majmuk secara terperinci tetapi sekadar boleh menyebut, membaca dan menulis jenis ayat tersebut. Pemeringkatan kefahaman tentang ayat tunggal dan ayat majmuk dilaksanakan lebih mendalam dalam buku Bahasa Malaysia Tahun 3. Perhatian puan dalam hal ini didahului dengan ucapan terima kasih. | Tatabahasa | 15.05.2013 |
Salam sejahtera! 1. Pada/Dalam era globalisasi, pengambilan makanan segera telah menjadi suatu kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam ayat ini, penggunaan pada/dalam yang sesuai? Bagaimana pula dengan pada/dalam zaman moden? Terima kasih! | 1. Pada era globalisasi, pengambilan makanan segera telah menjadi suatu kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan frasa sendi nama yang menunjukkan keterangan waktu. | Tatabahasa | 17.07.2012 |
Assalamualaikum. Saya ingin mendapat penjelasan berhubung format penulisan minit mesyuarat terkini. i. Benarkah agenda Perutusan Pengerusi tidak dinomborkan. ii. Penomboran ditulis mengikut nombor agenda (contoh: 1.1, 1.2, 2.1.2.2, dan seterusnya) atau secara kronologi (contoh: 1, 2, 3, dan seterusnya) iii. Mana yang betul : Mengesahkan minit mesyuarat atau Pengesahan minit mesyuarat. iv. Dalam mesyuarat jabatan, bolehkah ketua jabatan selaku pengerusi mesyuarat juga dilantik sebagai urus setia mesyuarat berkenaan. Harap mendapat perhatian daripada pihak tuan. Terima kasih. | i. Agenda perutusan/kata alu-aluan pengerusi diletakkan nombor. ii. Penomboran ditulis mengikut nombor agenda. Contohnya: 1. Kata Alu-aluan Pengerusi 1.1...................... 1.2........................ 2. Laporan Perkara Berbangkit 2.1.............................. 2.2................................ iii. Pengesahan Minit Mesyuarat/Mengesahkan Minit Mesyuarat, kedua-duanya boleh diterima pakai bergantung pada pola penggunaan ayat dalam minit mesyuarat tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Bahasa Laporan, oleh Asmah Haji Omar, terbitan DBP. iv. Pada lazimnya, ketua jabatan yang dilantik sebagai pengerusi mesyuarat akan bertindak selaku pengerusi mesyuarat sahaja. Contohnya, Pengarah Jabatan Bahasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan dengan peristilahan, urus setia mesyuarat ialah Bahagian Peristilahan. | Tatabahasa | 22.02.2010 |
Salam sejahtera, 1. Adakah perkataan 'teknik' dalam contohnya 'Sekolah Menengah Teknik Shah Alam' dan 'Institut Perguruan Teknik' dikelaskan sebagai kata nama? Jika ya, maka apakah terjemahan nama-nama tersebut ke dalam b.Inggeris? Adakah 'Shah Alam Technic Secondary School' dan 'Technic Teaching Institute'? 2. Kenapakah penggunaan 'teknikal' pula diguna dalam 'Universiti Teknikal Malaysia Melaka' dan bukannya 'Universiti Teknik Malaysia Melaka'? Adakah terjemahan ke bahasa Inggeris untuk UTeM ialah Technical University Malaysia Melaka yakni 'teknikal' bertugas menerangkan sifat universiti tersebut? 3) Kenapakah kata sifat 'teknikal' tidak digunakan dalam 'Sekolah Menengah Teknik Shah Alam' dan 'Institut Perguruan Teknik'? Terima kasih. | 1. Penggunaan teknik pada penamaan Sekolah Menengah Teknik Shah Alam dan Institut Perguruan Teknik (sekarang dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik) adalah betul. Cadangan terjemahannya pun betul. 2. Berhubung dengan penggunaan perkataan teknikal pada penamaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka, pihak kami mencadangkan agar saudara merujuk perkara ini kepada pihak pengurusan universiti tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut. 3. Sila rujuk jawapan pada soalan 1. | Tatabahasa | 10.05.2010 |
1)pada suatu hari,saya ke pasar. 2) di suatu hari,saya ke pasar. 3)pada satu hari, saya ke pasar. yang mana satu betul? | 1. Pada suatu hari, saya ke pasar. | Tatabahasa | 13.05.2011 |
Adakah wujud sebarang peraturan dalam menulis frasa nama yang menyatakan masa? Misalnya: 1. "pada Jumaat petang" atau "pada petang Jumaat"? 2. ataupun "pada waktu petang hari Jumaat"? | Frasa yang betul ialah "pada petang Jumaat" kerana kata sendi nama pada lazimnya digunakan untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, sama seperti pada hari Jumaat. | Tatabahasa | 02.04.2012 |