Salam, bagaimanakah menentukan pecahan suku kata berikut: 1. paip - pa/ip atau paip? 2. seluar - se/luar atau se/lu/ar? 3. seorang - se/o/rang atau seo/rang? 4. berada - ber/a/da atau be/ra/da? 5. keadaan - ke/a/da/an atau kea/daan atau ke/a/daan? 6. mempunyai - mem/pu/nyai atau mem/pu/nya/i? Boleh tolong huraikan kenapa berlaku pecahan sebegitu? Terima kasih! | Pecahan suku kata yang betul ialah: 1. [paip] 2. [se.luar] 3. [se.0.rang] 4. [be.ra.da] / [ber.a.da] 5. [ke.a.da.an] 6. [mem.pu.nya.i] | Tokoh | 24.05.2012 |
Salam, Bagaimanakah menentukan pecahan suku kata berikut: 1. paip - pa/ip atau paip? 2. seluar - se/luar atau se/lu/ar? 3. seorang - se/o/rang atau seo/rang? 4. berada - ber/a/da atau be/ra/da? 5. keadaan - ke/a/da/an atau kea/daan atau ke/a/daan? 6. mempunyai - mem/pu/nyai atau mem/pu/nya/i? Boleh tolong huraikan kenapa berlaku pecahan sebegitu? Terima kasih! | Pecahan suku kata yang betul ialah pa.ip; se.lu.ar; se.o.rang; ber.a.da; ke.a.da.an; dan mem.pu.nya.i. Pecahan ini berdasarkan kaedah pemenggalan suku kata ejaan dalam sistem ejaan bahasa Melayu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi. | Tatabahasa | 11.05.2012 |
1. Ahli bomba memadamkan api dengan air. 2. Ahli bomba memadamkan api dengan hos. 3. Ahli bomba memadamkan api dengan saluran paip air. Adakah penggunaan "hos" dan "saluran paip air" boleh digunakan untuk ayat di atas. Mengikut kamus, hos bererti tiub untuk mengalirkan air dari paipnya. Adakah saluran yang digunakan oleh ahli bomba untuk memadamkan api ialah hos? | Tiub merujuk tiub yang dibuat daripada getah dan sebagainya untuk menyalurkan cecair atau gas; manakala saluran ialah sesuatu (seperti paip) yang digunakan untuk mengalirkan benda-benda cair. Merujuk maksud perkataan hos dan saluran tersebut ketiga-tiga contoh ayat tersebut boleh diterima. | Tatabahasa | 14.04.2010 |
1. Tiap-tiap petang, abang mengambil upah memotong rumput.Betulkah struktur ayat ini? 2. Ahli bomba memadamkan api dengan paip air. Atau Ahli bomba memadamkan api dengan air paip. 3. Penggunaan alat moden dalam pertanian memerlukan modal yang besar dan tidak mampu dibiayai oleh petani kebiasan di negara ini.Betulkah penggunaan imbuhan kebiasan dalam ayat ini ? 4. Mayat yang dijumpai terapung di tasik itu kembang perutnya.Apakah kata yang sesuai untuk menggantikan kata kembang? | Ayat sdr yang telah disemak dan disahkan penggunaan bahasa Melayu betul adalah seperti yang berikut: 1. Tiap-tiap petang abang mengambil upah memotong rumput. atau: Abang mengambil upah memotong rumput pada setiap petang. 2. Ahli bomba memadamkan api dengan air paip. 3. Penggunaan alat moden dalam pertanian memerlukan modal yang besar dan tidak mampu dibiayai oleh petani yang miskin di negara ini. (Nota: Kata "kebiasaan" membawa makna hal yang biasa dilakukan oleh seseorang. Oleh itu, kata kebiasaan ini tidak merujuk taraf petani tersebut. Justeru, frasa yang tepat ialah petani yang miskin yang tidak mempunyai kemampuan untuk membeli peralatan moden seperti jentera untuk bertani.) 4. Mayat yang dijumpai terapung di tasik itu kembung perutnya. (Nota: kata kembung menunjukkan perut mayat tersebut membesar akibat dimasuki air dan udara, manakala kata kembang merujuk keadaan sesuatu benda yang terbuka atau terbentang luas. Misalnya, bunga yang telah kembang itu terbuka luas. Begitu juga kata kembang merujuk perasaan seseorang. Contohnya, hidungnya kembang apabila dipuji oleh ketuanya ). | Tatabahasa | 09.04.2009 |
1. Ali mengucapkan terima kasih (dan/sambil/lalu) membayar wang kepada tukang paip. 2. Ahli sukarelawan itu menulis laporan (serta/dan) memulangkan peralatan. soalan: kata hubung manakah yang boleh digunakan dalam kedua-dua ayat di atas? Terima kasih... | Dari segi tatabahasa, kedua-dua kata hubung "dan" dan "sambil" boleh digunakan dalam ayat yang diberikan. (Ali mengucapkan terima kasih sambil membayar wang kepada tukang paip./Ali mengucapkan terima kasih dan membayar wang kepada tukang paip.) Kedua-dua kata hubung "dan" dan "serta" juga boleh digunakan dalam ayat kedua.(Ahli sukarelawan itu menulis laporan serta memulangkan peralatan./Ahli sukarelawan itu menulis laporan dan memulangkan peralatan.) | Tatabahasa | 19.04.2012 |
Adakah penggunaan kata bahasa yang betul PEKERJA BINAAN MAHIR 1 Pemasang Konkrit Pratuang 2 Pemasang Sistem Acuan 3 Pemasang Sistem Blok 4 Pemasang Kekuda Bumbung 5 Jurulepa 6 Pemasang jubin 7 Penerap Bata 8 Jurubengkok Besi Tetulang 9 Tukang Kayu 10 Tukang Konkrit 11 Pemasang Dinding 12 Pemasang Siling 13 Tukang Cat 14 Operator Jentera 15 Pemasang Perencah 16 Operator Kren 17 Juruambin dan Jurutali 18 Tukang Paip 19 Penjaga Jentera 20 Penyambung Kabel 21 Pendawai 22 Jurukimpal 23 Jurugegas Petrokimia 24 Jurubagas & Jurucat 25 Juru Penyaman Udara & Pengudaraan Mekanikal 26 Penyiasat Tanah? | Sila berikan istilah bahasa Inggeris untuk kami memastikan sama ada padanan bahasa Melayu yang diberikan adalah betul. Hal ini kerana kebanyakan istilah yang diberikan tidak terdapat dalam pangkalan data istilah DBP. | Istilah | 22.11.2016 |
1.“Pusat sumber, buku cerita, cerita rakyat, telur ayam, papan kenyataan, kacang tanah, ayam telur, kalau begitu, sudah tentu, sahabat karib,alat bantu, corong minyak, salur gas, sangkar telur, kotak tin, tin susu, kitar semula, batang paip, bongkah polistirena, ping pong, kit telefonik, guru inovatif, sekolah rendah, reka bentuk.” Sila berikan petunjuk kata manakah yang merupakan ayat majmuk rangkai kata bebas? Terima kasih. 2.Ali meminjam buku di/dari/daripada perpustakaan. Kata sendi nama apa yang sesuai dalam konteks ayat ini? | 1. Sila perincikan pertanyaan tuan. Senarai yang diberikan bukan ayat majmuk. 1"> 2. Ali meminjam buku daripada perpustakaan. | Tatabahasa | 07.12.2014 |
Salam sejahtera. Mohon khidmat nasihat tentang penggunaan dari dan daripada, yang mana satukah yang tepat - 1) Saya, pelajar dari kelas 2 Anggerik, ingin membuat aduan mengenai pemandu bas yang kurang bertanggungjawab. 2) Saya, pelajar daripada kelas 2 Anggerik, ingin membuat aduan mengenai pemandu bas yang kurang bertanggungjawab. | Berdasarkan contoh ayat yang diberikan maklumat yang diperlukan adalah berkaitan penggunaan kata sendi dari dan daripada. Untuk makluman, kata sendi dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu, seperti ayat Pelajar itu datang dari Universiti Malaya; manakala kata sendi daripada digunakan di hadapan kata nama yang menyatakan punca, sumber, perbezaan dan perbandingan seperti ayat Asap itu keluar daripada paip ekzos. Penggunaan "dari" lebih sesuai bagi ayat berikut. | Tatabahasa | 25.01.2016 |
Salam tuan di talian, Saya ingin memastikan bahawa penggunaan kata sendi nama dari adalah tepat dalam ayat di bawah. 1. Apakah kejayaan yang dicapai oleh sekumpulan penyelidik dari USM? atau Apakah kejayaan yang dicapai oleh sekumpulan penyelidik daripada USM? | Berdasarkan contoh ayat yang diberikan maklumat yang diperlukan adalah berkaitan penggunaan kata sendi dari dan daripada. Untuk makluman, kata sendi dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu, seperti ayat Pelajar itu datang dari Universiti Malaya; manakala kata sendi daripada digunakan di hadapan kata nama yang menyatakan punca, sumber, perbezaan dan perbandingan seperti ayat Asap itu keluar daripada paip ekzos. USM- tempat. Apakah kejayaan yang dicapai oleh sekumpulan penyelidik dari USM? - TEPAT. | Tatabahasa | 02.08.2012 |
Salam sejahtera tuan/puan. Sukacita sekiranya pihak tuan/puan dapat memberikan terjemahan bagi istilah berikut: 1. Tilt in Space Wheelchair 2. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Pipe Reclaim Conveyor 3.Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Tube Conveyor 4.Clay Mining Bulk Handling Gantry Crane 5.Clay Mining Bulk Handling Grab Barge Unloader 6.Clay Mining Bulk Handling Grab Ship Unloader 7.Clay Mining Bulk Handling Grizzly Feeder Sekian, terima kasih. | Padanan bahasa Melayu yang dicadangkan adalah seperti yang berikut: 1. Tilt in Space Wheelchair - Kerusi Roda Ruang Boleh Condong 2. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Pipe Reclaim Conveyor - Konveyor Pulih Guna Paip Sawat Boleh Lentur Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 3. Clay Mining Bulk Handling Flexible Belt Tube Conveyor - Konveyor Tiub Sawat Boleh Lentur Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 4. Clay Mining Bulk Handling Gantry Crane - Kren Gantri Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 5. Clay Mining Bulk Handling Grab Barge Unloader - Pemunggah Barj Cekam Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 6. Clay Mining Bulk Handling Grab Ship Unloader - Pemunggah Kapal Cekam Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat 7. Clay Mining Bulk Handling Grizzly Feeder - Penyuap Grizli Kendalian Pukal Pelombongan Tanah Liat
| Istilah | 09.05.2016 |