Wujudkah kata ganda untuk perkataan berikut: i) mak cik ii) pak cik Difahamkan kedua perkataan tersebut harus dieja seperti yang tertera di atas. Jika wujudnya kata ganda, adakah ia akan dicantumkan seperti contoh; makcik-makcik & pakcik-pakcik? Terima kasih. | Mak cik dan pak cik lazimnya ditemukan dalam wacana tidak rasmi kerana dalam bentuk rasmi penggunaan yang betul ialah ibu saudara dan bapa saudara. Walau bagaimanapun sekiranya ada keperluan untuk menggandakan perkataan tersebut, ejaan yang betul ialah pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik. | Ejaan | 10.03.2020 |
I Pohon telinga Nazmir cedera kerana terkena ranting pokok semasa dia bermain-main di kawasan itu. II Pak Leman berehat seketika di bawah pohon beringin selepas membajak sawahnya. III Puan Rosnani menyuruh anak-anaknya masuk ke dalam rumah apabila dia melihat pohon angin yang mendung. IV Dewan Bahasa dan Pustaka bertanggungjawab dalam menentukan pohon bahasa yang berkaitan dengan Bahasa Malaysia. berdasar makna di dalam kamus dewan bahasa edisi 3, semua makna tertera sepatutnya betul tetapi mengapakah soalan I adalah salah. kalau salah, apakah kesalahannya? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat antara rangkai kata yang dibentuk daripada perkataan pohon ialah pohon telinga yang bermaksud pangkal telinga. Harap saudara dapat berbincang lebih lanjut dengan pihak yang menyatakan penggunaan perkataan pohon dalam konteks pertama tidak betul. | Makna | 07.06.2008 |
1. Gambar menunjukkan sesorang tukang beca yang membawa penumpang dengan menunggang beca . A) Pak Ali seorang penunggang beca. B) Pak Ali seorang penarik beca. yang mana betul ? 2. Adakah terdapat kesalahan tatabahasa dalam ayat berikut ? i) Bunga mawar itu berbau sungguh harum. ii) Hujan agak lebat pagi tadi. | Yang betul ialah Pak Ali ialah penarik beca. 2. Bunga mawar itu sungguh harum. 3. Ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 23.07.2010 |
Assalamualaikum. Saya ingin kemukakan beberapa pertanyaan. Mohon dapatkan jawapan dan penjelasan. 1. Perbezaan frasa NAIK SELALU dan SELALU NAIK. 2. Tepat atau tidak penggunaan kata iaitu HASIL LAUT KERING bagi menggambarkan hasil-hasil tangkapan laut yang dikeringkan. 3. JERUK MADU PAK ALI. Betul atau tidak maksud ungkapan ini membawa dua makna iaitu: i. Jenama jeruk milik Pak Ali yang dikenali sebagai JERUK MADU ii. Hasil perniagaan jeruk ini dimiliki oleh isteri-isteri Pak Ali, kerana kehidupan bermadu oleh Pak Ali. Terima kasih atas bantuan yang diberi. Sekadar menambah pengetahuan kebahasaan. ISMAIL BIN HASHIM BALING KEDAH. | 1. Frasa NAIK SELALU dan SELALU NAIK sama maksudnya, perbezaan pada meletakkan kata adverba "selalu" selepas dan sebelum kata kerja. 2. Frasa HASIL LAUT KERING tidak dapat menerangkan maksud hasil-hasil tangkapan laut yang dikeringkan. Hal ini perlu diterangkan dalam frasa yang lebih jelas seperti hasil laut yang dikeringkan. 3. Frasa JERUK MADU PAK ALI menerangkan maksud jeruk madu milik Pak Ali. Mana mungkin frasa tersebut menerangkan maksud jeruk milik isteri-isteri Pak Ali kerana jika mengikut frasa "Jeruk Madu Pak Ali", Pak Ali yang bermadu (bersalahan dari aspek bahasa dan syarak). | Tatabahasa | 02.12.2014 |
Salam, Bagaimana bezakan penggunaan imbuhan i dan kan? misalnya menghadiahi dan menghadiahkan. Sekian, terima kasih. | Saudara, Fungsi apitan meN...kan dan meN...i menandakan kausatif dan lokatif. Contohnya: i. Pak Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad ii. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. Yntuk keterangan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, , halaman 207. | Tatabahasa | 28.12.2009 |
1. Ayat yang manakah yang betul? I semasa mesyuarat itu, Fauzi mempertajam percakapannya. II pembacaan dapat mempertajam pemikiran. III Pak Ramli mempertajam parangnya. IV Raziah mempertajam telinganya di dalam bilik. 2. perkataan yang manakah yang tepat? kita perlu minum untuk menggantikan/mengganti air yang keluar dari/ daripada badan. | Ayat yang betul ialah, "Pembacaan dapat mempertajam pemikiran" dan "kita perlu minum untuk menggantikan air yang keluar daripada badan" | Tatabahasa | 31.10.2007 |
i. Makluman yang diberi oleh saksi kepada panel-panel hakim adalah bercanggah. ii. Ibu selalu mengata-ngata nama abang belakangan ini kerana ibu sangat rindukan abang. iii. Pak Sudin mengangguk apabila dinyatakan prosedur penggunaan pencukur elektrik itu. iv.Sejenis spesis baru cendawan yang terbesar di dunia telah ditemui di Mexico baru-baru ini Apakah kesalahan istilah atau kesalahan imbuhan di atas ? | i. Rujuk perkataan diberi. Perkataan yang betul ialah diberikan. ii. Rujuk perkataan mengata-ngata. Perkataan yang betul ialah menyebut-nyebut. iii. Rujuk perkataan dinyatakan. Perkataan yang betul ialah diterangkan. iv. Rujuk perkataan baru. Perkataan yang betul ialah baharu. | Tatabahasa | 16.01.2021 |
APAKAH JAWAPAN BAGI SOALAN SAYA?:BAGAIMANA HENDAK MEMBEZAKAN ...i DAN ...kan?TERIMA KASIH | Fungsi apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, dibahagikan kepada tiga: (i) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad. b. Pak osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (ii) Bagi kata kerja tertentu, perbezaan penggunaan apitan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (ii)b sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i tetapi telah digugurkan i. (iii) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: a. Ali membaiki kereta yang rosak. b. Ali membaikkan kereta yang rosak. Harap maklum. | Tatabahasa | 13.09.2006 |
Mohon pihak tuan untuk membetulkan ayat di bawah: i) Mesyuarat dimaklumkan slip gaji diperlukan bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran tuntutan ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut digiliri. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut Pohon pihak tuan supaya dapat menerangkan struktur ayat 'di.....i' dan 'di......kan', 'me/meng/mem....i' dan ' me/mem/meng....kan' kerana terdapat kekeliruan dalam penggunaan kata imbuhan tersebut. Sekian, terima kasih. | i) Mesyuarat dimaklumkan bahawa slip gaji diperlukan bagi mempercepat dan memudahkan proses pembayaran tuntutan. Kata adjektif cepat apabila menerima imbuhan memper... menjadi mempercepat bukan mempercepatkan. ii) Mesyuarat mencadangkan supaya kehadiran anggota ke perjumpaan tersebut dilakukan secara bergilir. iii) Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Cik Munira atau Cik Munira telah mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut. Kedua-dua ayat terebut betul. Fungsi apitan meN-...i -kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Untuk maklumat lanjut, lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 207. 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) | Tatabahasa | 21.11.2013 |
Pilih ayat yang betul A. Basikal berwarna perak itu tidak milik saya. B. Beberapa orang pemuda berakit ke muara sungai. C. Salmah memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang lepas. D. Ayah menyambut dan berbual dengan para-para tetamu yang hadir. Pilih ayat yang betul I. Mereka melayari internet di kafe siber. Ii. Suraya membeli jeruk mempelam di gerai Pak Kasim. Iii.Kaki tangan di Jabatan Pengangkutan Jalan itu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan telus. A. 1 dan iii B.1 dan IV C. II dan III D. III dan I | 1. Ayat yang betul: B. Beberapa orang pemuda berakit ke muara sungai. 2. Ayat-ayat ini betul: I. Mereka melayari internet di kafe siber. II. Suraya membeli jeruk mempelam di gerai Pak Kasim. III. Kaki tangan di Jabatan Pengangkutan Jalan itu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan telus. Ayat IV tidak dikemukakan. | Tatabahasa | 23.06.2015 |