mohon untuk semak penggunaan bahasa. | 1. Rapatkan tanda palang ( /) dengan perkataan "CUKAI" SUDAHKAH ANDA MENJELASKAN CUKAI TAKSIRAN/CUKAI PINTU? 2. Sila betulkan seperti yang berikut: Pembayaran Awal CUKAI TAKSIRAN Mengelakkan Anda daripada Tindakan yang Berikut: - DIDENDA - HARTA DISITA - HARTA DILELONG
| Tatabahasa | 12.09.2012 |
Tuan,mohon penjelasan tuan tentang penggunaan kata , " demi dan untuk", "agar dan supaya", " tentang dan mengenai". Sekian terima kasih. | 1. Kata sendi nama "demi" bertugas membawa makna tujuan dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Contohnya, Rakyat Malaysia Mesti bersatu demi kestabilan Negara. Manakala kata sendi nama "untuk" dan "bagi" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contohnya, Asrama untuk/bagi penuntut-penuntut Sabah sedang dibina. 2. Agar dan supaya boleh bertukar ganti penggunaannya. 3. Kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud "rujukan" sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad, iaitu kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi "hal" yang diperlakukan atau dibicarakan. Contohnya: Mereka berbincang "tentang" masalah negara. Contoh kedua, Kami berbual tentang kejadian rompakan itu. Selain itu, sebagai makluman saudara juga, kata sendi nama tentang juga sering digantikan penggunaannya dengan bentuk mengenai dan mengenai dengan. Perlu diingat bahawa perkataan mengenai sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud "kena pada". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut : Tembakan peluru itu mengenai sasarannya. Contoh kedua : Bola yang ditendangnya mengenai palang gol. | Tatabahasa | 23.05.2013 |
Apakah perbezaan antara perkataan 'tentang', 'mengenai' dan 'terhadap' serta penggunaannya dalam konteks ayat? Contoh : Pegawai itu memberi taklimat mengenai / tentang pengambilan makanan seimbang. Penggunaan perkataan manakah yang paling sesuai, tentang atau mengenai? | 1. Kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Contohnya: i. Mereka berbincang tentang masalah negara. ii. Kami berbual tentang kejadian rompakan itu. 3. Pegawai itu memberi taklimat tentang pengambilan makanan seimbang. 2. Perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut: 1. Tembakan pemburu itu mengenai sasarannya. ii. Bola yang ditendangnya mengenai palang gol. 3. Kata sendi nama "terhadap" biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contohnya: i. Seorang ketua harus bersikap adil terhdap anak buahnya. ii. Tanamilah rasa belas kasihan terhadap binatang. iii. Air bersifat lengai terhadap logam adi. | Tatabahasa | 15.09.2012 |