Salam sejahtera, 1. Puan Lee pandai menganyam tikar daripada buluh. 2. Puan Lee pandai menganyam tikar dengan buluh. Ayat di atas yang manakah betul. Terima kasih.... | Ayat yang betul ialah Puan Lee pandai menganyam tikar daripada buluh. | Tatabahasa | 02.09.2013 |
1. Cikgu menyentuh tentang masalah disiplin murid. ( tentang diperlukan atau tidak?) 2. Bapa mengambil berat tentang pelajaran kami. ( tentang diperlukan atau tidak?) 2. Dia juga pandai/Dia pandai juga. | Ayat (1) dan (2) boleh menggunakan 'tentang' yang bermaksud mengenai atau berkaitan dengan. Manakala ayat (3), kedua-duanya boleh digunakan bergantung pada konteks ayat. | Tatabahasa | 20.08.2010 |
1)Walaupun Ali pandai,dia tidak pernah berlagak.(Ayat ini kena tambah "tetapi" atau tidak perlu?) 2)Dia teringat (pada/akan) ibunya.(perkataan "pada" atau "akan" yang tepat?Atau dua-dua pun betul?) | 1) Walaupun Ali pandai,dia tidak pernah berlagak. -sudah gramatis. Tidak perlu letak "tetapi'. 2)Dia teringat akan ibunya. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 07.09.2012 |
Mana ayat yang betul dan kenapa ? 1. Dia amat pandai sekali dalam kelas. 2. Dia amat pandai dalam kelas. Terima kasih. | Kata penguat bebas iaitu amat, sungguh dan sangat boleh diikuti oleh kata penguat belakang sekali. Hal ini demikian kerana kata penguat bebas tersebut tidak mendukung maksud darjah penghabisan. | Tatabahasa | 26.09.2012 |
1. Betulkah ayat ini? - Dia amat pandai sekali. 2. Betulkah penggunaan 'oleh kerana', 'oleh sebab', dan 'di kalangan'? | 1. Dia amat pandai sekali - ayat ini betul. 2. 'Oleh' merupakan kata sendi dan mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu, apabila digunakan dalam frasa atau ayat ia diikuti oleh kata nama. 'Kerana' juga merupakan kata sendi. 'Sebab' ialah kata nama. Oleh itu, frasa yang betul ialah 'oleh sebab' , bukan 'oleh kerana'. Di kalangan atau dalam kalangan, kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 28.07.2008 |
kekeliruan penggunakan kata nafi (bukan/tidak) 1. Dia bukan cantik tetapi pandai bergaya. 2. Dia tidak cantik tapi pandai bergaya. Manakah yang tepat. T. kasih. | Kata nafi bukan menjadi unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama. Kata nafi tidak ialah unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Walau bagaimanapun kata nafi bukan boleh hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud pertentangan maklumat, contohnya seperti dalam ayat yang diberikan: 1. Dia bukan cantik tetapi pandai bergaya. | Tatabahasa | 22.06.2011 |
Selamat sejahtera, 1. Bolehkah penjodoh bilangan "pucuk" digunakan untuk senapang? 2. Adakah frasa "paling terkenal" betul? 3. Bolehkah frasa "teramat pandai" digunakan? Terima kasih! =) | 1. Penjodoh bilangan untuk senapang ialah laras, selaras senapang. 2. Frasa paling terkenal betul, paling + kata adjektif (terkenal). 3. Frasa teramat pandai boleh digunakan, ter + amat + kata adjektif (pandai). Untuk maklumat lanjut soalan no. 2 dan 3, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 245. | Tatabahasa | 06.09.2011 |
Salam 1 Malaysia, saya sudah merujuk tatabahasa dewan seperti yang disarankan oleh pihak tuan, tetapi kemusykilan saya ialah 'ter' yang dinyatakan dalam contoh hanya merujuk kepada 'ter' yang bergabung dengan kata dasarnya kata adjektif sahaja yang tidak boleh menerima kata penguat darjah penghabisan (ter-, paling dan sekali) contonya * tercantik sekali, *paling pandai sekali. Pandai dan cantik memang kata adjektif namun perkataan 'nama' (Kata Nama), 'desak'(Kata Kerja), yang bergabung dengan imbuhan 'ter-' menjadi 'ternama' dan 'terdesak' tidak dijelaskan berhubung dengan hukum penggunaannya. Persoalannya, adakah 'ter' dalam kes ini berfungsi sebagai imbuhan dan bukannya kata penguat dan peranannya hanya menukar golongan kata nama (nama) menjadi kata adjektif (ternama) dan kata kerja (desak) menjadi kata adjektif (terdesak). Jika ini berlaku, maksudnya, 'ternama' dan 'terdesak' boleh menerima kata penguat paling dan sekali contohnya 'paling ternama' dan 'terdesak sekali'. Saya bertanyakan soalan ini kerana saya perlu menjelaskannya kepada pelajar saya. Terima kasih. | Lihat semula buku Tatabahasa Dewan, halaman 170, di bawah tajuk Awalan teR-. Jelas dinyatakan dalam halaman berkenaan ternama dan terdesak hasil gabungan awalan teR- dan kata nama/kata kerja, dan bukannya darjah penghabisan seperti tercantik. Lihat juga halaman 244 dan bezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. | Tatabahasa | 30.01.2013 |
mencari seerti perkataan : (1)Benci, (2)kandang kuda, (3)cerdik pandai, (4)sifar, (5)merajuk, (6)kena seksa. | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan seerti bagi perkataan-perkataan tersebut ialah; benci=tidak suka. Kandang kuda=bangsal kuda. Cerdik pandai= dapat mengerti dgn cepat, cerdik, pintar. Sifar=(angka) kosong. Merajuk= menunjukkan rasa tidak suka. Kena seksa= kesengsaraan (kesusahan, kesakitan, dll) atau kena dera. Untuk keterangan lanjut sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat dan untuk pengetahuan saudara/ saudari, kami tidak menjawab sebarang soalan yang berbentuk teka silang kata. Harap maklum. | Makna | 27.10.2007 |
tolong semak ayat saya... adakah ayat yang saya senaraikan ini mengandungi frasa kerja tak transitif? 1. lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu. 2. kelihatan di sedang menulis sesuatu di kertas iitu dan dihulurkan kepada lelaki itu. 3. lelaki itu membaca dan kemudian menggelengkan kepala. 4. perempuan itu merenung tajam ke arah lelaki itu. 5. dia diam seketika, sambil matanya terkelip-kelip memandang syiling wad yang kaku itu. 6. siang dan malam lelaki itu menunggu perempuan itu dengan tabah dan sabar. 7. anak di rumah, pandai-pandai sahaja unutk mengurus diri sendiri. 8. sambil tersenyum, dia menegurku mesra. 9. dia tidak sanggup meninggalkan isterinya tanpa ditemani walau sesaat pun. 10. dua belas tahun yang lalu di telah dibedah di Singapura. 11. aku sangat kagum dengan lelaki itu dan terkesan dengan kesabarannya melayani karenah isterinya yang pelbagai macam itu. 12. calang-calang suami tidak akan sanggup membelai isterinya yang terbujur di katil itu. 13. perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi di sisi katil isterinya. 14. saya gembira ibu melawat saya. 15. ketika akau melangkah pulang aku melihat bahawa dia masih tersenyum riang. 16. dia mencapai tanganku dan menciumnya. 17. hati kecilnya tidak putus-putus mendoakan semoga dia akan pulih. 18. kita janganlah lupa untuk terus beristighfar dan reda dengan apa-apa yang berlaku,. 19. aku terkesima dan kagum dengan ketabahan isterinya,. | Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap, namun unsur ini bukanlah dianggap sebagai objek (tidak boleh dipasifkan), sementara yang lainnya tidak perlu diikuti oleh pelengkap. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap: beransur (pulih), tinggal (di bandar), menjadi (guru), berbuat (baik), ada (keluarga) dan berbantalkan (lengan) Contoh kata kerja tak transitif tak berpelengkap: bangun, tumbang, pulang, menangis, menjerit, berkibaran, berjalan, tersenyum, terpegun, menguning, melancong dan meninggi. Sebagai seorang bakal guru saudara perlu lebih mengenali pelbagai aspek tatabahasa termasuklah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Merujuk ayat Lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu - menghulurkan ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap. Untuk ayat yang seterusnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 88-90 dan halaman 385-394. | Tatabahasa | 24.03.2011 |