1. Adakah panggilan untuk Nenek ialah Nenda atau Nenenda? 2. Bagaimana pula panggilan untuk Datuk? Adakah Nenda juga atau Nenekanda atau panggilan lain? Terima kasih. | Nenda ialah kependekkan bagi nenenda merujuk panggilan kepada nenek dan datuk. Panggilan yg biasa dalam masyarakat ialah nenekanda, sementara nenenda dan nenda ialah bahasa halus utk nenek dan datuk yang biasanya digunakan dalam surat-menyurat. Sila rujuk kamus Dewan edisi Keempat ms 1076. | Makna | 08.01.2007 |
salam sejahtera, 1.Apa panggilan yang sesuai untuk isteri cikgu ? 2.Apa panggilan yang sesuai untuk suami cikgu ? Terima kasih. | Panggilan atau sapaan untuk isteri cikgu ialah Puan manakala untuk suami cikgu ialah Tuan. | Makna | 19.06.2017 |
Nama-nama panggilan dalam keluarga 1. Anak pertama - Abg Long /Kak Long 2. Anak Kedua - Abg Ngah/Kak Ngah 3. Anak Ketiga -- ? 4. Anak keeempat -- ? 5- Anak kelima -- ?? dan seterusnya. | Panggilan anak pertama (along) dan kedua (angah) adalah sama di banyak tempat, namun panggilan ketiga yang seterusnya tidak selaras dan dinyatakan panggilan yang ada dan turutan dalam keluarga teh (keenam/keempat), itam (ketujuh), andak (keempat/kelima), busu (bongsu), manakala panggilan anjang, uda hanya diberi makna panggilan dalam keluarga. | Lain-lain | 08.06.2008 |
Salam... adakah teks ini betul...ini adalah pengumuman di stesen keretapi " Panggilan untuk atau kepada?? Penumpang tren no# bla3.... dipersilakan ke platform # gate # untuk perlepasan. Tren akan berlepas atau membuat perjalanan??? Pada jam bla3... Terima kasih atas bantuan. | 1. Panggilan kepada... 2. Penumpang tren nombor....dipersilakan ke platform...pintu...untuk pelepasan. 3. Tren akan berlepas pada pukul... | Tatabahasa | 22.12.2015 |
Assalamualaikum, Saya keliru dengan panggilan gelaran. Manakah yang betul bagi panggilan gelaran berikut? 1. Tuan Haji Dr. Ahmad bin Ali atau 2. Dr. Haji Ahmad bin Ali atau 3. Tuan Dr. Haji Ahamd bin Ali Harap mendapat penjelasan daripada Khdimat Bahasa kerana kekeliruan sering dihadapi di organisasi saya apabila melibatkan gelaran tersebut. Terim akasih. | Encik Rosli, Dalam penggunaan gelaran amalan biasa adalah dengan meletakkan gelaran tertinggi di hadapan. Walau bagaimanapun, ada kalanya pihak individu memilih bentuk yang disenangi oleh mereka, biasanya yang melibatkan gelaran seperti Dr. Prof. dsb. Bagi contoh yang diberikan ketiga-tiga bentuk digunakan. | Lain-lain | 22.10.2010 |
Tuan, Dalam bahasa Inggeris, penggunaan Mrs Ali adalah untuk panggilan isteri kepada Tuan Ali yang bernama Muna. Soalannya: 1) Mengapa dalam bahasa Melayu tidak diguna pakai panggilan Puan Ali, sebaliknya kita memanggil dengan nama Puan Muna. 2) Adakah rujukan untuk panggilan hormat kepada seseorang. Terima kasih. | Assalammualaikum WM WBT. 1. Saudara, kata sapaan dalam bahasa Melayu mencorakkan ketinggian nilai dan akal budi masyarakat Melayu. Kata sapaan dalam bahasa Melayu jelas untuk membezakan jantina dan tersurat juga dalamnya nilai-nilai Islam yang amat berkait dengan budaya masyarakat Melayu. 2. Panggilan hormat kepada seseorang biasanya berdasarkan jantina, kedudukan dalam masyarakat, dan pangkat dalam perjawatan. Contohnya, tuan, puan, mak cik, pak cik, Yang Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Mulia dan sebagainya. | Lain-lain | 19.06.2014 |
Surat rasmi kepada Pensyarah kanan universiti yang bergelar Dr. 1. Apakah gelaran yg patut digunakan untuk kata panggilan surat? Tuan / Puan @ Dr.? 2. Jika kata panggilan surat Dr. bagaimana kata panggilan di dalam isi surat.? Sekian Terima Kasih. | Gelaran bagi Dr. untuk surat ialah tuan/puan termasuk dalam isi surat. | Tatabahasa | 04.12.2009 |
Assalamualaikum, mohon pencerahan berkaitan panduan penulisan surat rasmi Panggilan Hormat Penerima atau Kata Sapaan (Surat yang ditujukan kepada agensi kerajaan). Kata sapaan dengan gelaran kebesaran atau dimulakan dengan ‘Tuan’. Contoh 1: Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri TERENGGANU. Contoh 2: Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri TERENGGANU. Contoh 3: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Contoh 4: Sahibus Samahah Dato’ Mufti Negeri TERENGGANU. Contoh 5: Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Kepada K.D.Y.M.M. Sultan TERENGGANU. Di atas kerjasama dan perhatian yang bersegera tuan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.Sekian. | Panggilan hormat ialah bentuk sapaan atau rujukan kepada orang tertentu mengikut gelar dan jawatannya. Bagi orang yang bergelar tetapi tidak memegang jawatan dalam kerajaan, maka panggilan hormat kepadanya berdasarkan pada gelar yang dimilikinya, sebagaimana yang ditetapkan oleh Bahagian Adat Istiadat Perdana Menteri. Sebagai contoh, orang yang bergelar Dato’ tetapi tidak memegang jawatan kerajaan dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berbahagia. Orang yang berjawatan pula, katakanlah ia menteri, maka sama ada ia bergelar atau tidak ia dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berhormat. Jika ia bergelar, contohnya gelar Dato’, maka gelar itu tidak mempengaruhi panggilan hormat yang didasarkan pada jawatannya. Beliau tetap dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berhormat. | Lain-lain | 20.02.2019 |
Saya ada dua soalan 1. Mana satukah antara kedua-dua ayat di bawah ini betul dan kenapa? a. Perkara di atas adalah dirujuk b. Perkara di atas dirujuk 2. Adakah sistem panggilan "puan"hanya layak bagi wanita yang telah berkahwin sahaja? Betul atau tidak jika saya mengatakan bahawa panggilan "puan" itu rasmi untuk semua wanita sama ada berkahwin mahupun tidak sementara panggilan "cik" kedudukannya sedikit rendah dari panggilan "puan" mengikut kedudukan mereka pada pandangan masyarakat. Sila tuan, beri penjelasan. Terima kasih. | 1. Ayat yang betul ialah "Perkara di atas dirujuk". 2. Dalam urusan rasmi panggilan "puan" yang digunakan sama ada bagi perempuan yang sudah berkahwin atau belum berkahwin. Walau bagaimanapun dalam situasi tidak rasmi kita bebas menggunakan sapaan apa pun jua asalkan sopan pada pandangan masyarakat dan tidak menimbulkan rasa kurang senang pada yang disapa. | Tatabahasa | 03.03.2011 |
Mohon tuan beri pendapat tentang penterjemahan bagi perkataan "forward" dalam ayat berikut: 1) Forward call to another number. (Majukan panggilan ke nombor lain.) 2) Forward message to email. (Majukan mesej ke email. ATAU Kirim semula mesej ke email.) Konteksnya berkenaan dengan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna saling membuat panggilan serta menghantar mesej. | Terjemahan forward call dan forward message belum ada dalam sumber rujukan kami. Kami mencadangkan forward call to another number ialah majukan panggilan ke nombor lain atau seterusnya dan forward message to e-mail ialah memanjangkan mesej ke e-mel. | Makna | 22.09.2016 |