Apakah wujud perbezaan "panggung teater", "panggung wayang" dan "pawagam"? Sekiranya wujud, apakah frasa yang sesuai digunakan bagi maksud yang sama dalam sesebuah penulisan ilmiah. | Istilah "panggung wayang" dan "pawagam" merujuk kepada maksud yang sama. Manakalah, istilah "panggung teater" pula merujuk kepada tempat pementasan persembahan teater. | Lain-lain | 25.09.2019 |
Kemasukan perkataan “panggung” juga menyenaraikan kata terbitan “memanggung” yang membawa maksud “mengangkat”. Imbuhan yang mempunyai awalan “me” bermaksud “melakukan perbuatan”. Jika “mengangkat” itu dari kata dasar “angkat”, adakah “memanggung” itu dari kata dasar “panggung” yang juga bermaksud “angkat”? | Dari aspek semantik, kata terbitan "memanggung" hasil daripada kata "panggung" (sesuatu yang diangkat tinggi seperti pentas, tempat duduk, lantai dan sebagainya). Maka, perbuatan memanggung korpus menunjukkan kepala dagu dan sebagainya di angkat juga. | Makna | 30.01.2023 |
Benarkah perkataan 'pawagam' ialah akronim bagi panggung wayang gambar'? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat "pawagam" ialah akronim bagi panggung wayang gambar. | Istilah | 02.10.2015 |
Assalamualaikum, Sebagaimana yang saya sedia maklum, terjemahan Bahasa Melayu bagi istilah "box office" ialah "pecah panggung", tetapi bagaimana pula terjemahan Bahasa Melayu bagi "box office bomb" yang membawa maksud berlawanan dengan "box office" Sekian, terima kasih. | Frasa box office bomb belum ada dalam sumber rujukan kami. Cadangan terjemahan untuk box office bomb ialah gagal pecah panggung. | Istilah | 17.11.2011 |
saya serta gabungan empat persatuan telah bersetuju bergabung dan ingin mementaskan sebuah karya baru yang mengangkat seni warisan melayu silat khususnya. jadi dapatkah kiranya kerja sama dari pihak DBP dari segi panggung dan nasihat untuk merialisasikan perjuangan ini. | Untuk maklumat dan nasihat berkaitan dengan pementasan karya sastera, tuan boleh menghubungi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP. Pegawai yang boleh dihubungi ialah Puan Baidari Evadarweena binti Basri melalui nombor telefon 03-2147 9130 atau e-mel baidari@dbp.gov.my. | Lain-lain | 03.03.2014 |
SALAM,SAYA PERLU MEMBUAT CARIAN BAGAIMANA TEATER BOLEH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU.MUNGKIN PIHAK DBP BOLEH MEMBANTU DENGAN MEMBERI MAKLUMAT TENTANG DEFINISI TEATER MENURUT KAMUS DEWAN TERIMA KASIH. | Saudara, Yang berikut ialah makna teater seperti yang dimohon. i. Kamus Dewan Edisi Keempat 1. bangunan yg di dalamnya terdapat pentas tempat mempersembahkan drama, muzik, hiburan, dsb utk ditonton oleh orang ramai, panggung, pawagam; 2. seni pentas: mereka membicarakan perkembangan ~; ii. Kamus Inggeris Melayu Dewan 1. building for performance of plays, operas, etc, teater, panggung: the town has a small ~, di pekan itu ada sebuah teater kecil; we arrived late at the ~, kami sampai lewat di panggung itu; 2. hall, room used for lectures etc, dewan: lecture ~, dewan kuliah; 3. also operating theatre bilik bedah; 4. theatrical activities generally, bidang teater: she has been working in the ~ for years, sudah bertahun-tahun dia bekerja dlm bidang teater; 5. art of presentation, performance of plays, (seni) teater: a book about ancient Greek ~, buku ttg teater Yunani kuno; 6. arena, kancah, medan: the Middle East remains the ~ of war, Timur Tengah terus menjadi kancah peperangan; 7. (US & Austral) cinema, panggung wayang, pawagam. | Makna | 07.09.2009 |
Boleh saya tahu kata baru yang menggabungkan bahagian kata (Akronim) selain daripada Selembu (seladang + lembu), apa lagi ya? Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, perkataan "AKRONIM" bermaksud kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan. Contohnya ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Nasional), cerpen (cerita pendek), purata (pukul rata), pawagam (panggung wayang gambar) dan banyak lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkataan "AKRONIM", puan bolehlah merujuk buku Tatabahasa Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku Tatabahasa Dewan sangat berkesan untuk dijadikan panduan dalam pembelajaran tatabahasa Melayu. | Tatabahasa | 11.02.2021 |
Salam sejahtera, apakah padanan kata yg sesuai bagi kata "balcony"? Adakah "balkoni" atau "beranda"? Mohon jawapannya. Terima kasih. | Terdapat perbezaan makna bagi perkataan "balkoni" dan "beranda". Berikut merupakan definisi untuk perkataan-perkataan tersebut: BALKONI: Definisi : 1. anjung kecil pd tingkat atas rumah bertingkat (sbg tempat berangin); 2. tempat duduk di tingkat atas pd panggung wayang. (Kamus Dewan Edisi Keempat) BERANDA: Definisi : 1. ruang terbuka yg berbumbung dan berlantai di bahagian depan atau tepi rumah: kerusi dan meja telah teratur di ~ muka utk menerima tetamu; 2. ark sj bilik dlm perahu. (Kamus Dewan Edisi Keempat) Oleh itu, tuan boleh menggunakan perkataan-perkataan ini mengikut kesesuaian.
| Penyemakan dan penterjemahan | 13.10.2019 |
Saya ingin bertanya adakah perkataan "konstruk" sama maksud dengan "dimensi"? Mohon pihak DBP untuk memberikan penjelasan tentang maksud sebenar dua perkataan ini dalam konteks kajian untuk membangunkan model/modul/ instrumen. | Maaf. Tiada kata dan makna/definisi dalam kamus dan istilah (PRPM) bagi kata konstruk, khususnya dalam konteks kajian untuk membangunkan model/modul/instrumen. Namun, terdapat rakaman makna bagi kata dimensi dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) seperti yang berikut: dimensi kata nama 1 ukuran saiz sst objek yang melibatkan ukuran panjang, lebar atau tinggi objek tersebut: Dalam rajah yang kamu lukis itu, tunjukkan dimensinya. 2 aspek atau sudut yang diberikan perhatian: Bidang seni boleh dijadikan dimensi baharu untuk menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan anak muda di negeri ini. kata adjektif 3 (berkenaan dengan foto, filem dan sebagainya) mempunyai sekurang-kurangnya dua ruang atau reka bentuk: Terdapat panggung yang tidak dilengkapi teknologi tayangan filem tiga dimensi. kata kerja transitif 4 lihat mendimensi; Makna yang diberikan adalah berdasarkan contoh penggunaan umum dalam bahasa Melayu. Pemerian makna kata/istilah dalam sesuatu bidang adalah lebih tepat dan bersesuaian dengan merujuk buku/glosari/kamus istilah dan sebagainya dalam bidang berkenaan. | Makna | 11.01.2024 |
Apakah penggunaan akronim yang betul untuk nama bahagian di bawah dalam versi bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI): Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat | Akronim ialah bentuk gabungan kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai suatu perkataan. Contohnya, RISDA, MARA, FELDA. Akronim boleh dieja sama ada dalam bentuk huruf besar ataupun huruf kecil bergantung pada beberapa ciri tertentu. Ada dua jenis akronim, iaitu akronim nama khas dan akronim umum. Kedua-duanya tidak menggunakan noktah. Akronim nama khas terbahagi kepada tiga bentuk, seperti yang berikut: - Akronim yang dibentuk dengan menggabungkan huruf awal sesuatu rangkai kata, contohnya ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).
- Akronim yang dibentuk dengan menggabungkan suku kata atau huruf awal sesuatu rangkai kata, contohnya, Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara).
- Akronim yang dibentuk dengan menggabungkan suku kata sesuatu rangkai kata, contohnya, Bernama (Berita Nasional Malaysia).
Akronim umum pula terbentuk melalui cantuman suku kata awal atau beberapa huruf suku kata awal perkataan. Kata akronim umum ditulis dalam huruf kecil. Contohnya, jentolak (jentera tolak), cerpen (cerita pendek), pawagam (panggung wayang gambar) dan tadika (taman didikan kanak-kanak). Singkatan pula berkaitan dengan bentuk ringkas bagi satu perkataan atau lebih, dan tidak bertaraf kata, contohnya, UPM (Universiti Putera Malaysia), KL (Kuala Lumpur), JKR (Jabatan Kerja Raya), PDRM (Polis Diraja Malaysia), PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru). Merujuk pada nama Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat yang diajukan oleh pihak tuan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak membuat penetapan, sama ada penggunaan singkatan atau akronim bagi nama tersebut. Tuan boleh menggunakan singkatan BDTM ataupun membentuk akronim berdasarkan kaedah/jenis akronim yang dinyatakan di atas. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 169 dan laman sesawang https://prpm.dbp.gov.my/ . | Tatabahasa | 13.06.2025 |