1. apakah perbezaan antara "antara...dengan" dan "antara...dan"? mana satu betul? 2. "terpengaruh dengan" atau "terpengaruh oleh" betul? | 1. pasangan kata sendi nama antara dan frasa sendi nama di antara ialah dengan bukan kata hubung dan. Kata hubung dan hanya dapat digunakan apabila kata sendi nama antara diikuti oleh lebih daripada du frasa. Contoh:- Antara Siti dengan Sarah, Sarahlah yang lebih pintar.- Satu pertemuan akan diadakan antara Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya, dan Menteri Pengangkutan pada Minggu ini. 2. Kedua-duanya betul kerana kata ‘dengan’ juga membawa maksud ‘oleh’ begitu juga sebaliknya. Sila rujuk KD4. | Makna | 19.10.2008 |
Ayat berikut yang mana betul 'dengan' atau 'pada'. 1. Bayi itu dijual dengan harga RM6,000 kepada pasangan... 2. Bayi itu dijual pada harga RM6,000 kepada pasangan... | Ayat yang betul ialah "Bayi itu dijual pada harga RM6,000 kepada pasangan ...". | Tatabahasa | 19.04.2012 |
Saya Nama Tohiroh Kipan belajar bahasa melayu dasar ingin bertanya tentang bahasa melayu. Apakah makna perempuan | Menurut data kami, maksud perempuan ialah 1. jenis manusia sebagai pasangan kepada lelaki; jenis manusia umumnya akan atau dapat melahirkan anak 2. teman hidup bagi lelaki; isteri. | Makna | 04.11.2015 |
Yang manakah penggunaan yang betul, "antara 1 dan 2" atau "antara 1 dengan 2" Apakah sebabnya? | Pasangan kata sendi nama yang betul ialah "antara 1 dengan 2" kerana menunjukkan perbandingan. | Tatabahasa | 01.09.2017 |
1. Ibu dan ayah (besar hati / lapang dada) apabila mendapat tahu bahawa anak bongsunya telah menjuarai kejohanan catur terbuka peringkat negeri baru-baru ini. 2. Mak Limah sedang (memercikkan) air mawar (pada) pasangan raja sehari itu sebaik-baik mereka bersanding di atas pelamin. 3. Pelajar-pelajar sekolah itu tercegat (oleh) kepetahan salah seorang peserta Program Pertukaran Pelajar berbangsa Jepun itu berbahasa Melayu. 4. Pegawai kesihatan itu menerangkan dengan terperinci (punca) merebaknya wabak denggi kepada penduduk Taman Bukit Serdang. 5. Setiap kali memikirkan masalah kewangan yang dihadapi, fikirannya menjadi (kental). 6. A Pak Mat memagarkan di sekeliling dusunnya dengan kawat berduri. B Pak Mat memagari sekeliling dusunnya dengan kawat berduri. (Salah) C Pak Mat memagarkan kawat berduri di sekeliling dusunnya. Adakah A dan C juga betul? Bagaimanakah pula bentuk ayat jika kata memagari digunakan? 7. Polis itu berjaya (memerangkap) penyeluk saku yang sedang (berkeliaran) di kawasan perhentian bas itu. 8. Raju (masih sedang) membaiki basikalnya yang (rosak) itu (sehingga) (terlupa untuk) makan tengah hari. 9. Syarikat itu tidak (memperakukan) laporan akhbar yang melemparkan tuduhan bahawa mereka memperoleh kontrak jual beli melalui saluran yang tidak sah. 10. Arif didenda oleh Cikgu Hoh kerana tidak (sarat) menjalankan tugas. | 1. Ibu dan ayah besar hati apabila mendapat tahu bahawa anak bongsunya telah menjuarai kejohanan catur terbuka peringkat negeri baru-baru ini. 2. Mak Limah sedang memercikkan air mawar kepada pasangan raja sehari itu sebaik-baik mereka bersanding di atas pelamin. 3. Pelajar-pelajar sekolah itu tercegat oleh kepetahan salah seorang peserta Program Pertukaran Pelajar berbangsa Jepun itu berbahasa Melayu. 4. Pegawai kesihatan itu menerangkan dengan terperinci punca merebaknya wabak denggi kepada penduduk Taman Bukit Serdang. 5. Setiap kali memikirkan masalah kewangan yang dihadapi, fikirannya menjadi (kental). - Penggunaan kata kental tidak sesuai dalam ayat ini. 6. (B) Pak Mat memagari sekeliling dusunnya dengan kawat berduri. (C) Pak Mat memagarkan kawat berduri di sekeliling dusunnya. Memagari bermaksud membuat atau mendirikan pagar pd (di sekeliling) dan meagarkan bermaksud menjadikan sesuatu sebagai pagar. 7. Polis itu berjaya menangkap penyeluk saku yang sedang berkeliaran di kawasan perhentian bas itu. 8. Raju sedang membaiki basikalnya yang rosak itu sehingga terlupa makan tengah hari. 9. Syarikat itu tidak (memperakukan) laporan akhbar yang melemparkan tuduhan bahawa mereka memperoleh kontrak jual beli melalui saluran yang tidak sah. - Memperakukan tidak sesuai dari aspek semantik dalam ayat ini. 10. Arif didenda oleh Cikgu Hoh kerana tidak (sarat) menjalankan tugas. - Perkataan sarat tidak sesuai dalam ayat ini. Untuk melihat adakah perkataan itu sesuai atau tidak dalam ayat, sila rujuk kamus atau layari www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 14.05.2012 |
1) Adakah perkataan'bergu' yang bermaksud pasangan masih diterima? kerana perkataan ini tidak lagi wujud dalam kamus. 2) Adakah rangkai kata 'mereneh sup' sudah dimansuhkan? Kerana perkataan mereneh dalam kamus dewan telah merujuki maksud yang lain dan tidak lagi memberi contoh penggunaan yang bermaksud 'mendidih'. | 1. Perkataan yang diterima ialah"beregu" yang merujuk berpasangan. 2. Rangkai kata "mereneh sup" tidak dimansuhkan dan bermaksud "mendidih". | Tatabahasa | 10.08.2014 |
Salam sejahtera, saya ingin bertanya tentang pertukaran ayat biasa kepada ayat songsang. Jika soalan saya berbunyi (1) Sazali terpakasa menangguhkan perkahwinannya kerana menghadapi masalah kewangan. (2) Pasangan penggantin diraja duduk di atas peterana sebaik-baik sahaja diarak oleh pasukan kompang. (3) Dia menonton bola sepak di Stadium. Apakah jawapan yang betul bagi ketiga-tiga soalan di atas? Soalan saya yang kedua ialah adakah Ayat Susunan Songsang tidak mempunyai makna? atau sebahagiannya mungkin tidak ada makna? Soalan saya yang ketiga ialah pernah pihak DBP menjawab soalan saya yang berbunyi menukarkan ayat pasif (Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormat) kepada ayat pasif (Pahlawan itu dianugerahi bintang kehormat oleh baginda). Jika mengikut hukum objek tepat dan objek sipi, bagaimanakah jawapan yang diberikan oleh DBP bagi soalan "Saya menghadiahi Ali sebuah basikal" akan menjadi Sebuah basikal dihadiahi saya? Bukan ke bagi orang pertama formula atau penyusunan binaan ayat pasif mesti "Kata ganti nama pertama atau kedua diikuti kata kerja"? Bukan ke jawapan yang sebenarnya harus berbunyi "Ali saya hadiahi sebuah basikal" yang sememangnya ikut hukum tatabahasa (objek tepat dan objek sipi serta hukum binaan ayat pasif bagi pelaku I dan II? Sekian, terima kasih. | Saudara, 1. Kerana menghadapi masalah kewangan Sazali terpaksa menangguhkan perkahwinannya. 2. Sebaik-baik sahaja diarak oleh pasukan kompang pasangan pengantin diraja duduk di atas peterana. 3. Di stadium dia menonton bola sepak . Susunan yang betul ialah ' Ali saya hadiahi sebuah basikal'. Mungkin jawapan yang diberikan oleh petugas sebelum ini tidak lengkap. Maaf atas kesulitan yang berlaku. | Tatabahasa | 13.08.2010 |
1) Apakah kata ganti nama diri yang paling sesuai bagi tempat kosong di bawah?kamu atau kalian? "Saya mahu apabila kamu semua keluar dari sekolah ini, ______________ akan menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat," kata Cikgu Mohamad kepada pelajar-pelajarnya. 2) Apakah perumpamaan yang sesuai bagi pernyataan di bawah? Seperti cincin dengan permata atau seperti isi dengan kuku? Pasangan suami isteri iaitu Cikgu Hamdi dan Ustazah Zarifah boleh dianggap sebagai pasangan yang sangat secocok kerana semenjak mendirikan rumah tangga sepuluh tahun yang lalu, mereka hidup rukun damai dan tidah berselisih faham. | 1. Kalian lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan yang bermaksud kamu. Oleh itu, kata ganti nama yang baku ialah kamu. 2. Peribahasa yang sesuai ialah seperti cincin dengan permata. | Tatabahasa | 05.06.2013 |
definisi budaya berpasangan | Merujuk Kamus Dewan, budaya ialah 1. tamadun, peradaban: ~ Islam; 2. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan, dsb): ~ kuning; 3. bersifat budaya, yg mengenai kebudayaan, (yg) sudah maju (akal budi): antropologi ~; ~ kuning budaya Barat yg dianggap mempunyai unsur-unsur buruk atau negatif; ~ rakyat cerita, adat, pakaian, tingkah laku dsb yg diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa; Berpasangan pula ialah 1. merupakan pasangan kpd: gelas ini ~ dgn yg itu; 2. = berpasang-pasangan berpasang, berdua-dua (sepasang-sepasang): para tamu sama ~ mengikuti irama muzik. Walau bagaimanapun,budaya tersebut boleh didefinasikan mengikut konteks yang bersesuaian. | Lain-lain | 01.09.2010 |
Dalam pasangan ayat yang berikut, perkataan bergaris yang manakah yang tergolong sebagai adjektif dan adverba? Berikan alasan anda. 1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. 1(b) Burung helang itu terbang tinggi. 2(a) Lelaki itu orang kuat. 2(b) Dia bercakap kuat. | 1(a) Bangunan tinggi itu bangunan KLCC. - adjektif dalam frasa nama bangunan tinggi. 1(b) Burung helang itu terbang tinggi. - adverba kerana menerangkan kata kerja terbang. 2(a) Lelaki itu orang kuat. - adjektif dalam frasa nama orang kuat. 2(b) Dia bercakap kuat. - adverba kerana menerangkan kata kerja bercakap. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 14.11.2012 |