Pada masa ini kebanyakan orang menyebut perkataan bertaraf dunia. Adakah orang lain tidak tinggal tinggal di dunia? 2. Kebanyakan orang menyebut pasca sebagai paska. Apa pendapat DBP? | Bertaraf dunia bermaksud mempunyai taraf peringkat dunia, satu peringkat yang meluas, tinggi dan menyeluruh. Kata pasca disebut pasca, bukan paska. Kebanyakan orang menyebutnya sebagai paska kerana terikat dengan sebutan dalam bahasa Inggeris, c dilafazkan sebagai k. | Lain-lain | 08.09.2007 |
Assalamualaikum, Tuan, Dalam sesebuah kajian, antara kaedah yang digunakan iala Ujian Pra dan Ujian Pasca. Apakah pandangan DBP tentang penggunaan frasa Ujian Pra dan Ujian Pasca dari segi binaan morfologi? | Ejaan yang betul ialah praujian dan pascaujian. Awalan asing "pra" dan "pasca" yang digabungkan dengan kata nama am hendaklah dieja bercantum dengan perkataan yang mengikutinya. Contoh lain ialah prasiswazah dan pascasiswazah. | Ejaan | 22.05.2013 |
Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanya tentang kaedah yang tepat menulis imbuhan pra dan pasca. Pengguna Bahasa Malaysia menulis imbuhan ini sama ada dijarakkan, ada sempang atau didekatkan dengan perkataan yang hendak diimbuhkan. Mana satukah cara penulisan yang betul? i. praijazah dan pascaijazah ii. pra-ijazah dan pasca-ijazah iii. pra ijazah dan pasca ijazah Terima kasih. | Awalan asing (pra-, pasca-, maha- dan sebagainya) apabila digabungkan dengan kata nama am hendaklah dieja dengan satu perkataan seperti praijazah, pascaijazah. Walau bagaimanapun ejaan ini berubah apabila awalan tersebut digabungkan dengan kata nama khas, seperti pra-Malaysia (bukan pramalaysia/praMalaysia). | Tatabahasa | 16.06.2009 |
Boleh tak imbuhan pinjaman seperti ' pra' dan 'pasca' bertindak sebagai morfem bebas seperti' anti', 'pro' dan 'kontra'? | Awalan asing (pra-, pasca-, maha- dan sebagainya) apabila digabungkan dengan kata nama am hendaklah dieja dengan satu perkataan seperti prasiswazah, pascasiswazah. Walau bagaimanapun ejaan ini berubah apabila awalan tersebut digabungkan dengan kata nama khas, seperti pra-Malaysia (bukan pramalaysia/praMalaysia). Awalan 'pra-' ialah awalan yang produktif yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Awalan 'pasca' ialah bentuk imbuhan yang menerbitkan kata nama untuk membawa pengertian sesudah. | Tatabahasa | 01.03.2011 |
Manakah antara berikut adalah betul? (a) Praujian atau ujian pra? (b) Pascaujian atau ujian pasca? Banyak tesis masih menggunakan ujian pra dan ujian pasca walaupun DBP menggunakan praujian dan pascaujian. | Yang betul ialah praujian dan pascaujian. | Tatabahasa | 14.10.2010 |
1. Mohon pengesahan ejaan perkataan-perkataan yang dimulakan dengan: 1. Pra 2. anti 3. tata 4. Dwi 5. Pasca 6. Pro Adakah dieja satu perkataan atau dua perkataan. 2. Kenapakah perkataan antidadah dieja satu perkataan dan anti Malaysia dieja dua perkataan? 3. Mohon penjelasan tentang penggunaan 'oleh kerana dan oleh sebab'. | Pra, anti, tata, dwi, pasca dan pro dianggap sebagai awalan asing dan dieja sebagai satu perkataan dengan perkataan yang bergabung dengannya. Namun begitu awalan asing yang bergabung dengan kata nama khas hendaklah dieja dengan tanda sempang di tengah-tengahnya seperti anti-Israel. | Tatabahasa | 09.12.2011 |
Saudara, Soalan 1) Apakah bezanya 'analisa' denagn 'analisis'? Sila berikan contoh penggunaannya. Soalan 2) Yang manakah yang betul : a] koperasi' atau 'kooperasi', b] 'soalan post', 'soalan post' atau 'soalan pasca'? Sekian. Terima kasih. Salam hormat, Lim Khan San | Perkataan yang betul ialah analisis (daripada perkataan analysis) dan koperasi. Pasca ialah awalan asing dan tidak boleh berdiri sendiri. Lazimnya perkataan yang terbentuk ialah pascasiswazah, pascamoden dan pascasoalan. | Tatabahasa | 29.03.2012 |
apakah maksud pascataklimat?? | Pasca ialah awalan asing sesudah, selepas, setelah. Maksud bagi perkataan pascataklimat ialah berkenaan keadaan sesuatu selepas taklimat. | Makna | 04.02.2010 |
SAYA KELIRU DENGAN SEBUTAN UNTUK PERKATAAN PASCA..ADAKAH BUNYI 'C' AYAU 'K'?? TERIMA KASIH | Sebutan berdasarkan fonem /c/ dan bunyi fonetiknya ialah [pas.ca] dan bukan fonem /k/ dan bunyi fonetiknya [pas.ka]. | Lain-lain | 16.04.2008 |
apakah perbezaan di antara komsas pra dan pasca tahun 2000? | Saudara, Memang ada perbezaan antara sebelum dan selepas pelaksanaan KOMSAS, walaupun unsur sastera telah diperkenalkan secara formal dalam mata pelajaran bahasa Melayu dari tingkatan 1 hingga 5, sejak tahun 1987, namun teks sastera tidak dijadikan komponen wajib yang perlu dipelajari oleh semua pelajar, dan diajar dalam konteks unsur sastera yang asas sehingga keberkesanan dan pelaksanaannya tidaklah mantap seperti yang diharapkan. Kurikulum bahasa Melayu telah disemak semula dan seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani maka diperkenalkan KOMSAS bermula Mac tahun 2000, secara berperingkat-peringkat bermula tingkatan 1 dan 5 dan diwajibkan kepada semua pelajar bermula tahun 2002. Melalui KOMSAS mata pelajaran bahasa Melayu mengandungi dua komponen, iaitu komponen bahasa dan komponen sastera. karya-karya sastera yang bermutu dan sesuai dengan tahap pembaca telah dipilih dan dijadikan teks wajib yang perlu dipelajari oleh para pelajar. KOMSAS lebih berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran ilmu kesusasteraan dan diajar secara sistematik. Pelaksanaan Kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Malayu juga dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang aspek-aspek asas dalam memahami genre sastera antaranya: - mengenal genre cerpen, novel, drama dan prosa tradisional - mengenal puisi moden dan puisi tradisional - memahami istilah kesusasteraan bagi karya prosa dan puisi - memahami binaan dan teknik plot - menilai dan mengulas mesej, pengajaran, nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan - menaakul tema dan pemikiran, mesej dan pengajaran, serta nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan - menilai dan mengulas gaya bahasa, unsur bunyi dan nada. | Sastera | 28.05.2011 |