Assalamualaikum. Tuan, dalam kertas mesyuarat saya pernah terjumpa frasa PERINGATAN MESYUARAT. Adakah maksudnya sama dengan MINIT MESYUARAT? Mana lebih tepat antara keduanya mengikut pandangan DBP?Adakah menjadi satu kesalahan gaya penulisan Minit mengikut stail tersendiri?Contohnya mengikut sistem penomboran contohnya Perkara 1 ada pecahan 1.2 atau dipecahkan lagi 1.2.1 dan sebagainya, atau mengikut turutan seperti sistem Jabatan Pelajaran dengan melabelkan Perkara I,II,III,IV sehingga seterusnya. Terima kasih Ismail Hashim-Baling Kedah | Peringatan Mesyuarat sama maksudnya dengan Minit Mesyuarat. Walau bagaimanapun Minit mesyuarat lebih tepat penggunaannya kerana minit merupakan catatan tentang apa yang telah diperkatakan (dibincangkan) atau dipersetujui (dlm mesyuarat, perundingan, dan sebagainya). Gaya penulisan Minit tidak semestinya sama antara semua organisasi. Minit mesyuarat DBP tidak sama 100 peratus dengan minit mesyuarat Kementerian Pelajaran, Intan ataupun Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun, minit mesyuarat yang baik hendaklah mematuhi ciri-ciri berikut: format yang betul (tajuk, maklumat mesyuarat, kehadiran), fakta betul, catatan yang ringkas, bahasa yang mudah difahami (tatabahasa yang betul). | Tatabahasa | 10.04.2011 |
Salam, Bagaimanakah menentukan pecahan suku kata berikut: 1. paip - pa/ip atau paip? 2. seluar - se/luar atau se/lu/ar? 3. seorang - se/o/rang atau seo/rang? 4. berada - ber/a/da atau be/ra/da? 5. keadaan - ke/a/da/an atau kea/daan atau ke/a/daan? 6. mempunyai - mem/pu/nyai atau mem/pu/nya/i? Boleh tolong huraikan kenapa berlaku pecahan sebegitu? Terima kasih! | Pecahan suku kata yang betul ialah pa.ip; se.lu.ar; se.o.rang; ber.a.da; ke.a.da.an; dan mem.pu.nya.i. Pecahan ini berdasarkan kaedah pemenggalan suku kata ejaan dalam sistem ejaan bahasa Melayu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi. | Tatabahasa | 11.05.2012 |
Salam, bagaimanakah menentukan pecahan suku kata berikut: 1. paip - pa/ip atau paip? 2. seluar - se/luar atau se/lu/ar? 3. seorang - se/o/rang atau seo/rang? 4. berada - ber/a/da atau be/ra/da? 5. keadaan - ke/a/da/an atau kea/daan atau ke/a/daan? 6. mempunyai - mem/pu/nyai atau mem/pu/nya/i? Boleh tolong huraikan kenapa berlaku pecahan sebegitu? Terima kasih! | Pecahan suku kata yang betul ialah: 1. [paip] 2. [se.luar] 3. [se.0.rang] 4. [be.ra.da] / [ber.a.da] 5. [ke.a.da.an] 6. [mem.pu.nya.i] | Tokoh | 24.05.2012 |
Tuan, saya ingin semak pecahan suka kata untuk perkataan mengizinkan. 1 me- ngi- zin- kan- 2 meng- i- zin- kan- terima kasih. | Pemisahan suku kata yang betul ialah meng-i-zin-kan. | Ejaan | 26.05.2012 |
APAKAH MAKSUD NISBAH? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, nisbah bermaksud 1. perbandingan, perimbangan, kadar: tujuh peratus ditulis 7% menunjukkan ~ 7:100 dan boleh digambarkan dgn pecahan ; apabila asid dicampur dgn larutan alkali dgn ~nya yg tertentu, larutan yg terjadi itu menunjukkan sifat-sifat yg berlainan drpd asid atau alkali. 2. Ar nama yg menyatakan seketurunan (al-Attas, al-Habsyi, dll), perhubungan keluarga. | Makna | 30.09.2010 |
apakah definisi nisbah? Tarikh jawapan dikehendaki: 01/10/2010 | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, nisbah bermaksud 1. perbandingan, perimbangan, kadar: tujuh peratus ditulis 7% menunjukkan ~ 7:100 dan boleh digambarkan dgn pecahan ; apabila asid dicampur dgn larutan alkali dgn ~nya yg tertentu, larutan yg terjadi itu menunjukkan sifat-sifat yg berlainan drpd asid atau alkali. 2. Ar nama yg menyatakan seketurunan (al-Attas, al-Habsyi, dll), perhubungan keluarga. | Makna | 30.09.2010 |
Dalam ayat, penggunaan nombor satu (1) hingga sembilan (9) dieja penuh,iaitu satu, dua hingga sembilan. bagaiman pula dalam ayat matematik? contoh: Situasi berikut menunjukkan satu contoh kegunaan pecahan dalam kehidupan seharian. 3 orang sahabat berkongsi secara adil 1 biji kek. ‘Satu pertiga’ ditulis sebagai, 1 mewakili bahagian yang diberi kepada setiap orang. 3 mewakili bahagian yang sama rata daripada keseluruhan kek. tq | Dalam ayat nombor satu hingga sembilan dieja sepenuhnya. Walau bagaimanapun peraturan ini ditekankan dalam ayat matematik. Ayat matematik ditulis unitnya (1, 2 dan seterusnya) agar tidak mengelirukan pembaca/pelajar. | Tatabahasa | 26.01.2011 |
1. Tolong senaraikan jenis kata bilangan. 2. Adakah kata bilangan tingkat merupakan satu jenis kata bilangan? | Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa terebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu a) kata bilangan menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Tidak ada kata bilangan tingkat, termasuk dalam kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal.
| Tatabahasa | 03.04.2013 |
1. tertarik oleh / kepada keindahan .penggunaan oleh atau kepada yang betul serta ulasannya. 2. Sebatang anak panah atau sebilah anak panah. 3. Kejayaan itu kami peroleh berkat usaha gigih. Adakah betul kata peroleh dalam ayat itu. 4. Mengapa kata sendi oleh tidak menerima akhiran"i" berikan ulasan. 5. Buku di dalam perpustakaan itu tebal-tebal belaka. Adakah betul "tebal-tebal belaka" | Saudara Zam, i. Kata sendi nama 'oleh' digunakan untuk menunjukkan hubungan pembuat dalam ayat pasif dan juga untuk menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab. Kata sendi nama 'kepada' digunakan untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan perubahan keadaan. Oleh yang demikian, berdasarkan keterangan di atas, kedua-dua kata sendi nama betul dan boleh digunakan dalam frasa tersebut. ii. Yang betul sebatang anak panah. iii. Perkataan yang betul ialah 'peroleh' daripada bentuk kata kerja transitif 'memperoleh' bukan 'memperolehi'. iv. Ayat 'Buku di perpustakaan tebal-tebal belaka' betul. Ayat ini bermaksud semua buku di perpustakaan tebal. | Tatabahasa | 06.08.2009 |
1. Apakah beza antara kata hubung 'akan' dengan kata sendi nama 'akan'? 2. Apakah beza antara 'terhadap' dengan 'kepada'? 3. Kata 'lagi' tergolong dalam golongan kata apa? | Kata 'akan' sebagai kata bantu (aspek) hadir sebelum frasaialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, iaitu dengan menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam. Kata sendi nama 'akan' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Kata sendi nama terhadap biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda.Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran , menyatakan pecahan dan perubahan keadaan. Kata lagi tergolong dalam kata penegas. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 18.03.2008 |