| Salam sejahtera, saya ada pertanyaan untuk perkataan libat (perbuatan melibatkan diri). Sekiranya ada imbuhan di hadapan perkataan ini, adakah perkataan ini menjadi pelibatan atau penglibatan? Sekian, terima kasih di atas perhatian pihak DBP. | Kata terbitan pelibatan/penglibatan dan pelihatan/penglihatan wujud dan membawa makna yang sama antara kedua-duanya. Pembentukan yang betul ialah melibatkan - pelibatan, melihat - pelihatan. Berdasarkan korpus, penglibatan dan penglihatan banyak digunakan dan sama situasinya dengan pelibatan dan pelihatan. | Tatabahasa | 17.08.2020 |
| Tuan, Baru-baru ini, pihak sekolah telah menerima surat pekeliling kononnya perkataan 'penglibatan' 'penglihatan' yang selama ini kita gunakan sudah tidak wujud sebaliknya perkataan yang tepat ialah 'pelihatan' dan 'pelibatan' kerana kedua-dua perkataan tersebut berasal daripada perkataan melihat atau melibatkan diri. Akan tetapi, apabila saya menyemak Kamus Dewan memang ada perkataan penglihatan dan penglibatan. Bolehkah tuan tolong berikan sedikit tunjuk ajar? Sekian, terima kasih. | Encik Chan, Setakat yang kami tahu tidak ada pekeliling seperti yang dinyatakan. Harap berikan penjelasan dari mana tuan mendapat pekeling tersebut. | Ejaan | 09.06.2010 |
| Kemusyikilan 1: Kamus Pelajar: menambahkan asid pd bes. Penerangan DBP: menambah gula dalam air kopi. Kamus Pelajar: menambah bilangan penuntutnya Penerangan DBP: menambahkan produktiviti Persoalannya, yang manakah yang betul? Kemusykilan 2: Mempertambah bermaksud memperbanyak, memperbesar, memperluas Persoalannya, kalau kata "tambah" bukan kata adjektif, apakah jenis golongan kata? Dan, bolehkah 'tambah' menerima awalan rangkap memper-, dan adakah kata adjektif "banyak", "lebar" dan "luas" mengungkapkan maksud "tambah"? Kemusykilan 3: Tatabahasa Dewan: ... membaca karangan yang terbaik kepada murid-muridnya. membacakan = membaca sst untuk sso. mengambilkan = mengambil sst untuk sso. Mengapakah Tatabahasa Dewan menggunakan kata sendi "kepada" dalam ayat tersebut? Kemusykilan 4: Pertanyaan kewujudan kata nama terbitan "pelibatan" dan "pelihatan" belum dijawab lagi. Sekian. | 1. Tidak nampak perbezaan yang nyata (hampir sama) antara makna menambah dan menambahkan. Oleh itu ayat menambahkan asid pd bes, menambah gula dalam air kopi, menambahkan produktiviti, semuanya betul. 2. Tambah ialah Kata Kerja, mempertambah bermaksud memperbanyak, memperbesar, memperluas. Walau bagaimanapun dalam entri banyak, lebar, luas tidak mengungkapkan maksud tambah. Kata tambah boleh menerima awalan memper... untuk membentuk kata terbitan mempertambah. 3. Ayat, membaca karangan yang terbaik kepada murid-muridnya, betul dan kata sendi nama kepada hadir di hadapan kata nama/frasa nama yang menjadi sasaran. 4. Kata terbitan pelibatan/penglibatan dan pelihatan/penglihatan wujud dan membawa makna yang sama antara kedua-duanya. Walaupun melibatkan - pelibatan, melihat - pelihatan, berdasarkan korpus penglibatan dan penglihatan banyak digunakan dan sama situasinya dengan pelibatan dan pelihatan. Sekian. | Tatabahasa | 19.07.2008 |
| (a) Adakah kata kerja "menangani" boleh membawa maksud "mengatasi", misalnya dalam konteks menangani gejala sosial? Berpandukan Kamus Dewan, kata tersebut yang bermaksud "mengatasi" tidak diungkapkan. Dan, adakah kata ini terjemahan daripada kata bahasa Inggeris "to handle" (the social problem)? (b) Kata nama terbitan bagi "berhijrah" ialah "penghijrahan", "melibatkan" ialah "penglibatan", dan "melihat" ialah "penglihatan" Mengapakah kata nama terbitannya bukan "perhijrahan", "pelibatan", dan "pelihatan"? | Maksud pertama menangani ialah mengerjakan (sendiri), membuat sendiri, mengusahakan, seperti contoh: pekerjaan yg berat-berat pun ditanganinya; masih belum ada sesiapa pun antara kita yg menangani bidang ini secara bersungguh-sungguh. Berpandukan keterangan itu, frasa menangani gejala sosial, adalah betul, menangani di situ bemaksud mengusahakan (sama seperti contoh ayat dalam Kamus Dewan) dan terjemahan ini boleh digunakan untuk to handle the social problem. Kata terbitan perhijrahan juga ada dan membawa maksud perbuatan atau perihal berhijrah, perpindahan. Sekian. | Tatabahasa | 27.06.2008 |
| 4. Mengapakah pusat membeli - belah tidak boleh digunakan LAGI? 5. Jika ditinjau secara mendalam, kata dasar / akar yang bermula dengan huruf L akan mengalami perubahan yang berikut apabila diberi imbuhan yang pe-......-an / pe-........ [a] lari--- pelarian [b] lompat --- pelompat [c] layar --- pelayaran Soalan saya mengapakah 'lihat' dan 'libat' mengalami perubahan yang berikut ? lihat --- penglihatan libat --- penglibatan Adakah kedua- dua diksi di atas salah atau betul ? 6. Apakah perbezaan antara kata yang bercirikan homofon, polisemi, dan homograf ? 7. Dalam frasa " Jika diperhalusi dari perspektif yang bahana" kata diperhalusi serta bahana salah atau betul ? 8. Saya kerap menggunakan satu ungkapan yang berikut dalam karangan saya ketika mencerakinkan isi dalam karangan tentang sikap mementingkan diri sendiri. Ungkapan tersebut ialah ' ala nafsi - nafsi siapa lu siapa gua' aDAKAH UNHKAPAN SAYA YANG INI SALAH ? 9. Bolehkah saudara menyarankan kepada saya beberapa sumber ilmiah untuk mendalami lautan Bahasa Malaysia yang sesuai sebagai pelajar berusia 16 tahun? 10. Saya masih samar - samar tentang BAHASA MALAYSIA atau BAHASA MELAYU? | 4. Jawapan yang betul ialah pusat beli-belah. Membeli-belah ialah kata kerja. 5. Mengikut tatabahasa, yang betulnya ialah 'pelibatan' dan 'pelihatan', namun disebabkan kecederungan masyarakat menggunakan 'penglibatan' dan 'penglihatan', jadi ia diterima dan tidak menjadi kesalahan. kedua-duanya adalah betul dalam bahasa Melayu. 6. Homofon ialah perkataan yg sama bunyi dgn perkataan lain tetapi berbeza maknanya. Polisemi pula ialah sesuatu bentuk kata, ungkapan, dsb yg mempunyai lebih drpd satu makna yg bertalian rapat antara satu sama lain. Homograf bermaksud perkataan yg sama ejaannya dgn perkataan lain tetapi berbeza maknanya. Soalan 7 dan 8 tidak lengkap. 9. Sila rujuk Tatabahasa DEwan untuk keterangan. 10. Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN) da keputusan jemaah menteri, istilah bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Malaysia. Terima kasih. | Tatabahasa | 19.04.2008 |