soalan 1: 1. Saya nak ucap terima kasih juga kepada Setiausaha Agung yang rambutnya teristimewa sekarang ini.......Kesalahan yang terdapat pada ayat ini ialah "yang rambutnya teristimewa" sekarang ini...... (boleh jelaskan kenapa "yang rambutnya teristimewa salah") 2. Yang pertama, bahawa... Yang pentingnya,....kenapa perkataan "yang" tidak sesuai diguna pakai di awal ayat??? boleh tolong jelaskan? | Jawapan 1: Ayat yang lebih sesuai ialah "yang berambut "istimewa" sekarang ini...". Perlu ada tanda " " pada perkataan istimewa kerana istimewa di sini boleh menjelaskan pelbagai maksud. Mungkin juga berambut cantik, berambut pelik dan sebagainya. Jika hendak menggantikan ayat yang lebih sesuai ialah "yang rambutnya sangat istimewa atau yang rambutnya sangat luar biasa sekarang ini". Maksud "teristimewa" ialah "yang luar biasa, yang sangat khas, terkhusus"(Kamus Dewan Edisi Keempat).Jika ayat "yang rambutnya teristimewa" digunakan, maka ayat ini salah kerana ayat yang digunakan berbunyi" yang rambutnya yang luar biasa" . Penggunaan "yang" dua (2) kali berturut-turut dalam ayat bahasa Melayu adalah tidak sesuai dan hendaklah dielakkan. Jawapan 2: "yang" adalah kata hubung dalam bahasa Melayu. Kata hubung bermaksud menghubungkan satu perkataan dengan perkataan yang lain. Contohnya: Saya membeli baju yang berwarna hijau. Perkataan "yang" menghubungkan perkataan "baju" dan "berwarna". Perkataan "yang" hanya biasa digunakan dalam penulisan seperti slogan, puisi atau pantun dan seumpamanya sahaja. Contohnya: "Yang indah itu bahasa".
| Tatabahasa | 29.03.2013 |
Salam hormat. Saya ingin bertanyakan tentang istilah 'jakun'. Adakah maksud lain bagi istilah itu selain daripada 1. suku kaum orang asli (OA), 2. halkum (Mn). Mengapakah masyarakat sering menggunakan istilah itu untuk menunjukkan sesuatu yang pelik, kolot dan seumpamanya. Terima kasih. | Berdasarkan sumber rujukan kami hanya dua maksud yang tersebut membawa maksud jakun, berkemungkinan terdapat dialek di daerah tertentu memberikan peluasan makna kepada kata jakun untuk maksud yang lain lagi. | Makna | 08.12.2010 |
Salam. boleh berikan perbezaan bentuk dan makna antara satu, suatu, dan sesuatu. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, satu bermaksud 1. angka permulaan membilang bilangan (1), esa: 2. (bahasa percakapan) ganjil (dalam maksud mencemuh, marah, dan lain-lain), lain daripada yang lain, pelik 3. bersebati (menjadi satu) 4. = ~ hati bermuafakat benar, seia sekata; 5. duduk bersama (sebagai suami isteri) 6. (bahasa halus) melakukan hubungan jenis, bersetubuh, bersama; menyatukan . Suatu bermaksud 1. hanya satu, satu 2. (sastera lama) tiap-tiap satu 3. (sastera lama) pertama-tama, yang pertama. Sesuatu bermaksud perkara (hal, barang, dan lain-lain) yang kurang atau belum tentu. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 06.07.2014 |
Salah satu rangkai kata yang agak pelik dari segi tatabahasa ialah "membersihkan sampah". Rangkai kata ini biasa digunakan, tetapi kalau lihat dari maksud yang diberikan oleh kamus, membersihkan bermaksud menjadikan sesuatu bersih, dengan itu "membersihkan sampah" bermaksud "menjadikan sampah bersih". Kalaulah, rangkai kata ini dihukum sebagai salah, kecohlah seluruh masyarakat kerana sukar menerimanya. Dengan itu, bagaimana kita dapat menyampaikan maksud "membuang sampah di sesuatu kawasan supaya nampak bersih"? | membersihkan- merupakan kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek bagi menjelaskan maknanya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, membersihkan bermaksud menjadikan sesuatu bersih (dgn cara membasuh, menyapu, dll): <i>~ longkang; ~ sayur-sayuran sebelum dimasak;. Membersihkan sampah- menjadikan sesuatu menjadi bersih dengan cara menyapu atau membasuh sampah tersebut. sampah- boleh merujuk kepada kotoran, najis dan lain-lain. Rangkai kata tersebut tidak salah kerana sampah itu boleh dibersihkan. Contoh: membersihkan najis, membersihkan kotoran- iaitu menjadikan sesuatu itu bersih dengan mencuci atau membasuh najis / kotoran tersebut. 1. Ali membersihkan sampah itu. 2. Sampah itu dibersihkan oleh Ali. Berkenaan "membuang sampah di sesuatu kawasan supaya nampak bersih- boleh digunakan frasa ; membersihkan timbunan sampah/ rumah sampah. Ini menjelaskan perbuatan menjadikan sesuatu itu bersih dengan menyapu atau membasuh.i> | Tatabahasa | 08.09.2012 |
Terima kasih atas bantuan. Seterusnya saya ingin kepastian tentang jawapan bagi soalan-soalan yang berikut: 1. Abu berasa _____ apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. A kaget B takjub C kagum D pelik 2. Masih ada ____ pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. A kekelituan B kegusaran C perselisihan D perbandingan 3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. A AMAT TERINDAH B SUNGGUH AMAT INDAH C AMAT SUNGGUH TERINDAH 4. Biasiswa itu DIBERI KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka. A DIBERI KEPADA PELAJAR B DIBERIKAN PADA PELAJAR C DIBERI UNTUK PELAJAR Terima kasih | 1. Abu berasa kaget apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. 2. Masih ada perselisihan pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. 3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. 4. Biasiswa itu DIBERIKAN KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka. | Tatabahasa | 19.10.2010 |
para penonton diminta duduk supaya tidak kelihatan sumbang. (tuan, sumbang adalah salah dan patut digantikan dengan perkataan apa? tq | Untuk makluman, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan sumbang bermaksud 1. tidak sedap didengar atau dilihat (bkn bunyi, perbuatan dll); janggal 2. tidak betul perbuatannya; salah; silap 3. tidak mengikut adat kesopanan atau tidak mengikut adat kebiasaan (spt melakukan zina dll). Perkataan sumbang boleh digantikan dengan perkataan lain, misalnya janggal, pelik, dan sebagainya, bergantung pada konteks penggunaannya. | Makna | 09.09.2011 |
Shafini Latif Jun 13th, 7:16pm Assalamualaikum, mohon pencerahan daripada pihak tuan, baru2 ini saya telah ditegur kerana menggunakan perkataan 'Jakun' dianggap tidak menjaga sensitiviti, kononnya jakun hanya khusus untuk orang asli tidak lagi boleh dipakai untuk membawa maksud lain. saya tidak tahu ada perubahan begitu. kerana padakali terakhir saya menyemak kamus Jakun membawa 3 maksud termasuk 'sangat mudah kehairanan apabila ternampak sesuatu yang baru kerana belum pernah melihatnya dahulu'. adakah benar salah jika menggunakan perkataan jakun bagi membawa maksud lain? ada akta ke? | Ini data korpus berkaitan kosa kata jakun. Jakun penduduk asli Semenanjung Malaysia (yg diam di hutan-hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Pelajar Edisi Kedua Jakun II penduduk asli Semenanjung Malaysia drpd suku kaum Melayu-Proto yg tinggal di selatan Semenanjung (hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Dewan Edisi Keempat jakun I perkataan Minangkabau yang bermaksud halkum - Kamus Dewan Edisi Keempat Jakun penduduk asli Semenanjung Malaysia (yg diam di hutan-hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Pelajar Selain itu, berdasarkan sumber rujukan kami hanya dua maksud yang tersebut membawa maksud jakun, berkemungkinan terdapat dialek di daerah tertentu memberikan peluasan makna kepada kata jakun untuk maksud yang lain lagi. Perkataan yang sesuai ialah kolot. Kolot (adjektif) yang bersinonim dengan kuno: mundur, terkebelakang, primitif, konservatif, ortodoks, tidak maju, cara lama, cara purbakala, dan juga bersinonim dengan jumud: kaku, beku, Antara perkataan lain yang sesuai ialah hairan, iaitu 1. berasa pelik atau ganjil ketika melihat atau mendengar sesuatu, takjub, kagum: ~ saya melihat orang-orang buta di situ menganyam bakul dgn berbagai-bagai bentuk dan corak; 2. aneh, ajaib, pelik, ganjil: ~ sungguh, mesin itu dapat memberi jawaban kpd masalah itu dgn begitu pantas; ~ bin ajaib aneh sekali, sungguh aneh; menghairani berasa hairan terhadap, mengagumi: sekali lagi ia ~ segala apa yg hendak diajar oleh ayahanda saudaranya itu seolah-olah telah diketahuinya terlebih dahulu; menghairankan menimbulkan rasa hairan (pelik, aneh, ganjil): kepintaran perompak itu melepaskan diri di tengah-tengah orang ramai sangatlah ~; keganjilan kelakuan laki-laki itu sungguh-sungguh ~; terhairan-hairan berasa sungguh hairan, tercengang-cengang (kerana hairan): berdirilah dia di situ ~; kehairanan 1. = kehairan-hairanan dlm keadaan hairan, sangat hairan: dia tercengang-cengang ~ melihat kejadian yg tidak disangka-sangka itu; dia berdiri dlm ~ di hadapan mereka; 2. keanehan, kepelikan, keganjilan: ~ kelakuannya itu tidak dihiraukan orang lagi apabila diketahui bahawa dia gila. Untuk maklumat lanjut boleh menggunakan perkhidmatan percuma yang disediakan oleh DBP, iaitu http://prpm.dbp.gov.my | Istilah | 13.06.2015 |