assalamualaikum.. saya ingin bertanya mengenai beza biblingualisme dengan diglosia dan apakah domain-domain kedwibahasaan | Saudara Nursyazwani, Perkataan bilingualisme bermaksud 1. pemakaian dua bahasa oleh seseorang atau sesebuah masyarakat, kedwibahasaan; 2. kefasihan bertutur dlm dua bahasa, kedwibahasaan. Perkataan diglosia bermaksud (Lin) kewujudan dua variasi bahasa dlm sesuatu bahasa mengikut situasi, yg satu lebih tinggi statusnya apabila berada dlm situasi formal berbanding dgn yg satu lagi dlm situasi tidak formal Daripada makna yang dinyatakan jelas terdapat perbezaan antara kedua-dua perkataan ini. Bilingualisme adalah berkaitan dengan pemakaian dua bahasa manakala diglosia adalah berkaitan dengan kewujudan dua variasi bahasadalam sesuatu bahasa. Untuk maklumat lanjut saudara bolehlah merujuk buku atau membuat kajian tentang perkara ini yang ada di perpustakaan di tempat saudara. | Lain-lain | 03.09.2009 |
apakah definisi retorik | retorik membawa maksud, 1.kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan; 2. seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar/ seni berpidato; 3. pertuturan atau tulisan yang menggunakan bahasa atau kata-kata yang indah atau muluk-muluk untuk mempengaruhi pemikiran pendengar. | Istilah | 09.02.2011 |
Adakah kedua-dua perkataan "ujud" dan "wujud" boleh digunakan? Ada perbezaan makna atau pemakaian? | Ujud merupakan perkataan Minangkabau yang dikehendaki, maksud atau tujuan. Wujud bermaksud: 1 adanya (sesuatu); sedia ada. 2 sesuatu yang berupa dan dpt dilihat, diraba dan lain-lain. 3 benda yang nyata (bukan roh dan lain-lain). | Makna | 28.11.2017 |
Cikgu, apakah beza maksud antara kata "lebih" dengan kata terbitan "berlebihan"? Adakah dua kata ini sama makna, dan cara pemakaian dua kata dalam ayat juga sama? Jadi, ayat di sebelah yang manakah betul? 1. Akhiran-kan dalam kata "membasmikan" imbuhan yang lebih. 2. Akhiran-kan dalam kata "membasmikan" imbuhan yang berlebihan. | Lebih bermaksud melampaui had yang sepatutnya atau bertambah daripada dahulu, manakala berlebihan bermaksud terlalu atau sangat banyak. Untuk melihat lebih jelas perbezaan makna antara kedua-dua perkataan ini, sila rujuk kamus dan lihat konteks penggunaannya. Dalam Tatabahasa Dewan tidak ada peraturan imbuhan yang lebih atau imbuhan yang berlebihan, malah dari aspek binaan kata terbitan tidak ada kata membasmikan. Sila rujuk guru anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.
| Tatabahasa | 22.02.2015 |
Anak saya akan menyertai pertunjukan fesyen pakaian pengantin, jadi bolehkah pihak tuan memberi maklumat atau penerangan secara jelas tentang pakaian tersebut ( dari segi sejarah pemakaian dan aksesorinya)? | Puan boleh merujuk buku seperti di bawah : 1. Pakaian Melayu sepanjang zaman Abbas Alias Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2003. 2. Pakaian cara Melayu Siti Zainon Ismail Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia 2006. 3. koleksi pakaianku Mohammad Jalal Ahmad Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2001. 4. Adat perkahwinan dan tatarias pengantin Melayu Tengku Luckman Sinar, SH 2001 | Lain-lain | 18.10.2007 |
1.apakah maksud onamasilogis, semasiologis, morfologis dan fonologis? 2. ada berapa jenis retorik dan bagaimana cara untuk membezakan jenis-jenis retorik tersebut? | Onamasilogi bermaksud kajian tentang hubungan makna antara lambang bahasa dengan objek yang dilambangkan, mis kajian tentang sinonimi danpolisemi. Morfologi bermaksud kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan dan pemajmukan. Fonologi bermaksud kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa. Retorik bermaksud kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan atau seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar.Jenis retorik bergantung pada atau mengikut bahasa retorik yang digunakan dalam pelbagai bidang berkenaan seperti dalam politik, kominikasi dll.. | Makna | 20.02.2008 |
1)Apa perbezaan antara laras bahasa dan gaya bahasa? 2)Berikan kategorinya dan contohnya sekali. | Laras Bahasa ialah variasi bahasa berdasarkan penggunaannya. Laras terdiri daripada pelbagai bidang seperti laras undang-undang, laras sejarah, laras kimia, laras sains, laras agama dan sebagainya. Contohnya ialah : Teknologi terbaharu "X" telah menghasilkan tilam yang sempurna. - Laras iklan- Menurut Kamus Dewan, Gaya bahasa pula ialah cara pemakaian bahasa. Gaya bahasa terdiri dalam pelbagai kategori seperti personifikasi, metafora, simile, aliterasi dan sebagainya. Contoh gaya bahasa ialah - Api pelita meliuk-lintuk apabila dihembus angin. (Gaya bahasa personifikasi)-iaitu sikap manusia (meliuk-lintuk) yang diberikan kepada benda tidak bernyawa. Gaya bahasa sering digunakan dalam karya-karya sastera seperti sajak. | Lain-lain | 03.07.2006 |
Salam sejahtera Tuan, 1. Penggunaan yang betul ialah (a) Daerah ini di bawah kuasa kerajaan pusat. atau (b) Daerah ini di bawah penguasaan kerajaan pusat. ? 2. Adakah penggunaan "di bawah" dalam konteks ayat (a) dan (b) di atas tepat? Sekian, terima kasih. | Dalam bentuk kata umum, frasa 'di bawah' digunakan apabila merujuk: i. di kawasan sekeliling rumah dan sebagainya yang bertangga; ii. di ruang kosong di antara tiang rumah atau kaki meja (kerusi dan sebagainya); iii. yang terletak pada baris (ruang dan sebagainya); iv. kurang daripada; v. berada dalam atau tertakluk pada (peraturan, undang-undang, bimbingan, arahan, kuasa, dan sebagainya). Pemakaian bahasa dalam bidang undang-undang kadangkala tidak persis dalam penulisan umum. Bahasa dalam undang-undang mempunyai larasnya tersendiri dan penggunaannya terhad dalam bidang tersebut | Tatabahasa | 26.09.2013 |
apakah perbezaan penggunaan dan kegunaan? apakah perbezaan mempersona dan mempersonakan? bolehkah kita guna"sampai ke" harap beliau beri penjelasan dan satu contoh | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat penggunaan bermaksud 1.perihal(perbuatan,kegiatandll.) menggunakan sesuatu.2. Pemakaian (barang-barang, hasil perusahaan, bahan makanan,dll.). Kegunaan bermaksud 1.faedah,guna.2. yang digunakan. Mempesona bermaksud 1. memikat (menarik) hati, sangat menarik perhatian.Mempesonakan bermaksud mengenakan pesona.(sihir). Kata sendi nama sampai digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat. penggunaannya tidak diikuti dengan ke. Contoh: Pegawai itu berjaga sampai pagi. Anaknya belajar sampai peringkat universiti. | Makna | 01.08.2008 |
Saya ingin bertanya sama ada penggunaan ayat ini betul atau salah. "Kad Kredit dan Kepenggunaannya" | Untuk makluman 'kepenggunaan' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud segala hal mengenai pengguna (barang-barang dll). Penggunaan pula bermaksud 1. perihal (perbuatan, kegiatan dll), menggunakan sesuatu 2. pemakaian (barang-barang, hasil perusahaan, bahan makanan dll). Dalam konteks ini, kami berpendapat maksudnya merujuk kepada penggunaan kad kredit tersebut. Oleh itu, frasa yang betul ialah Kad Kredit dan Penggunaannya. | Makna | 02.11.2011 |