Tuan/Puan Apakah perbezaan perkataan BAHARU dan BARU? Sebagai contoh:- Pelajar baharu atau pelajar baru Silabus baharu atau silabus baru Skim Pemarkahan baharu atau Skim Pemarkahan baru Terima kasih di atas perhatian tuan/puan | Kamus Dewan memberi makna baharu sama dengan baru. Buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Baharu ialah kata adjektif yang lazim kita temui dalam ayat rumah baharu dan pelajar baharu, manakala baru ialah kata bantu seperti dalam ayat dia baru sampai dari Terengganu. Untuk golongan pelajar, kami nasihatkan mengambil panduan yang ditetapkan dalam buku Tatabahasa Dewan kerana Kamus Dewan lebih kepada mengungkapkan makna sesuatu kata bukannya panduan dalam berbahasa. | Tatabahasa | 29.01.2013 |
Salam mohon beri jawapan yang betul berserta rumus-rumusnya. a. Skema pemarkahan atau skema permarkahan b. Yang mana satukah yang betul/ Yang manakah satu yang betul | a. Skema pemarkahan atau skema permarkahan Skema pemarkahan.-tepat Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar tertentu, membentuk kata nama yang membawa maksud hal keadaan yang terkandung dalam kata dasar tersebut. sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. b. Yang mana satukah yang betul/ Yang manakah satu yang betul Yang manakah satu yang betul- tepat mana-merupakan kata tanya dan disertai dengan partikel -kah. -kah- partikel atau kata tugas yg merupakan penegas utk mementingkan predikat dlm ayat tanya: Bukan~ hari ini hari ulang tahunnya?. Guru~ orang itu?
| Tatabahasa | 28.08.2012 |
Bolehkah saya mendapatkan sumber untuk mendapatkan skema pemarkahan Bahasa Melayu untuk UPSR yang terkini? Terima kasih. | Skema pemarkahan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia bukan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Lain-lain | 11.01.2009 |
Assalamualaikum, Saya ingin memohon bantuan DBP untuk membina frasa yang sesuai dan tepat bagi tugas PENYELARAS MARK SHEET.Penyelaras "Mark Sheet" berperanan menyalaraskan markah peperiksaan pelajar sama ada ujian bulanan mahupun peperiksaan.Saya berpendapat PENYALARAS MARK SHEET boleh ditukar ke bahasa Melayu terutama maksud "mark sheet" itu sendiri.Sesuai tak kalau disebut Penyelaras Helaian Pemarkahan atau Penyalaras Pemarkahan? Terima kasih. | Frasa yang tepat ialah Penyelaras Pemarkahan. | Istilah | 28.07.2009 |
Salam mesra, Apakah terjemahan yang sesuai bagi "Falls Somewhat Short"? Ayat ini digunakan dalam pemarkahan kaji selidik. Mohon bantuan DBP. Terima kasih. | Seperti biasa, sila berikan konteks ayat atau lebih baik ayat penuh seperti pertanyaan-pertanyaan puan sebelum ini. Dalam buku Kamus Dewan, fall short membawa pengertian berkurang atau menurun; manakala somewhat membawa pengertian sangat-sangat atau agak. Daripada pengertian makna kamus (tanpa konteks ini) kami hanya boleh mencadangkan padanan seperti yang berikut: 1. sangat-sangat berkurang 2. sangat-sangat menurun 3. agak berkurang 4. agak menurun | Istilah | 06.05.2014 |
i wld like to know if the sentence "saya melihat menggunakan mata" is acceptable and will be given full mark in the exam. | Ayat ini boleh diterima. Walau bagaimanapun dari segi pemarkahan bergantung pada skema jawapan dan markah yang ditentukan dalm peperiksaan berkenaan. | Tatabahasa | 27.02.2008 |
salam sejahtera: adakah sesuai jika saya menggunakan kosa kata yang baru dikeluarkan untuk disematkan dalam teks forum pasukan sekolah kami? untuk makluman tuan, pasukan kami telah menjuarai pertandingan forum remaja peringkat bahagian dan saya mendapati bahawa masih ada kekurangan dalam teks yang saya olah...tajuk: keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar dan remaja,di mana penyelesaiannya? saya ingin mendapatkan tips daripada tuan dan saya berharap ada tips yang berguna untuk kami supaya dapat menjuarai sekali lagi pertandingan forum remaja peringkat negeri sarawak pada tahun ini.. salam hormat, frederick.. | Pihak panel penilai semasa mengadili pertandingan sentiasa mematuhi peraturan pemarkahan dari setiap aspek yang ditetapkan pihak penganjur. Penggunaan kosa kata yang betul semasa bertanding akan diambil kira dalam pemberian markah. Pihak tuan digalakkkan banyak merujuk Kamus Dewan dan buku Tatabahasa Dewan untuk memastikan ketepatan sesuatu perkataan dan ayat. | Istilah | 29.04.2009 |
Sila semak karang berikut, markah penuh ialah 30. Tajuk : Aku sebatang pen Aku merupakan sebatang pen. Nama aku Pilot. Aku dibuat di sebuah kilang yang diletakkan di Shah Alam. Setelah siap diperbuat, aku dan kawan-kawan dihantar ke sebuah kedai buku. Aku dan kawan-kawan dihantar ke sana dengan sebuah lori. Pekerja kedai buku meletakkan aku di sebuah almari yang bercermin. Aku juga berkenal banyak kawan yang lain di situ. Pada suatu hari, seorang wanita membawa anak lelakinya datang ke kedai buku untuk membeli alat menulis. Anak lelaki wanita itu telah tertarik pada aku. Anak lelaki iut membelek-belek aku dan meminta ibunya membeli aku. Wanita itu telah membeli aku dengan harga RM1.50. Aku dibawa balik ke rumah mereka. Rupa-rupanya, tuan aku ialah seorang murid sekolah rendah dan bernama Beng Hung. Tuanku menggunakan aku untuk membuat kerja rumah di sekolah. Tuan aku menjaga aku dengan berhati-hati semasa menggunakan aku. Aku bersyukur kerana mempunyai seorang tuan yang baik. Aku berharap aku boleh bekhimat tuanku selama-lamanya. | Untuk makluman, soalan puan adalah di luar skop perkhidmatan kami. Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) membantu pengguna menyelesaikan pelbagai masalah penggunaan bahasa Melayu seperti ejaan Rumi dan Jawi, perkataan dan istilah serta penyemakan bahasa. KNDBP juga turut melayan pertanyaan yang berkaitan dengan aktiviti sastera, penerbitan dan korporat. Untuk semakan dan pemarkahan karangan sila rujuk guru bahasa Malaysia di sekolah puan. Dan untuk semakan sendiri sila rujuk buku Tatabahasa Dewan kerana banyak ditemukan kesalahan dalam ayat tersebut termasuklah penggunaan kata terbitan yang tepat dan ejaan. | Tatabahasa | 06.04.2013 |