ape maksud pembunuhan | Pembunuhan bermaksud perbuatan membunuh. | Makna | 09.10.2010 |
Assalamualaikum. Saya inginkan pencerahan berkaitan cara menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif. Berikut merupakan soalan contoh bagi soalan yang telah saya ajukan. 1. Pihak polis sedang menyiasat kes pembunuhan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jawapan 1. Kes pembunuhan itu sedang disiasat oleh pihak polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 2. Kes pembunuhan itu sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh pihak polis. Soalan saya, apakah jawapan yang paling tepat? Adakah unsur keterangan " di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan" boleh diletakkan pada bahagian tengah ayat? | Kedua-dua ayat pasif ini betul. Perbezaannya kata sendi nama "oleh" boleh digugurkan dalam ayat pertama, tetapi dalam ayat kedua kata sendi nama "oleh" tidak boleh digugurkan. | Tatabahasa | 27.10.2015 |
Salam sejahtera. Tuan/Puan, Saya mendapati bahawa terdapat frasa "pembunuh massal" dalam bahasa Indonesia, sebab itu saya tertanya-tanya sekiranya terdapat frasa yang hampir sama dalam bahasa Melayu, iaitu "pembunuh massa". Contoh konteks ialah: "Pihak polis akan menangkap pembunuh massa itu." Adakah frasa "pembunuh massa" sesuai dalam ayat tersebut? Saya pernah melihat "pembunuh beramai-ramai" digunakan, tetapi saya juga tidak pasti sekiranya ia adalah betul. Diharapkan Tuan/Puan boleh membantu. Terima kasih. | Salam Sejahtera. Istilah "pembunuhan massal" dalam bahasa Melayu ialah "pembunuhan beramai-ramai". Umumnya, pembunuhan cara ini dilakukan bukan oleh seorang tetapi secara berkumpulan. Ayat contoh, "Pihak polis akan menangkap mereka yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai itu". | Istilah | 13.07.2015 |
bolehkah perkataan terharu digunakan untuk perkara yang sedih? contohnya, terharu dengan pembunuhan itu. kerana kebiasaannya ia digunakan untuk perkara yang menyentuh hati tapi menggembirakan berbanding perkataan terkilan. | Terharu bermaksud berasa hiba (kasihan, rawan hati, dan sebagainya) seperti ia memandang ayahnya yang sedang terbaring itu dengan hati yang amat terharu dan terharu tidak menggambarkan perasaan gembira. | Tatabahasa | 11.06.2012 |
salam sejahtera, apakah padanan terjemahan bagi ayat ini "first degree homicide"? Adakah ia boleh diterjemahkan sebagai pembunuhan kelas pertama? | Untuk makluman, tidak terdapat istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "first degree homicide" dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, terdapat istilah "homicide" yang padanan bahasa Melayunya ialah homisid. Oleh itu, padanan bahasa Melayu yang dicadangkan ialah homisid darjah pertama. | Istilah | 03.05.2013 |
Bagaimana mengenali 18 pola keselarasan vokal dalam cerpen? Adakah ia diambil dalam kata dasar sahaja atau boleh diambil dalam perkataan yang mempunyai imbuhan? Sebagai contohnya, u-u = bunuh (kata dasar) atau pembunuhan (bersama imubuhan). Walaupun perkataan yang mempunyai imbuhan boleh dikira sebagai pola keselarasan vokal? terima kasih | Pola keselarasan vokal boleh ditemukan dalam kata dasar dua suku kata atau dua suku kata terakhir. Berdasarkan contoh yang saudara berikan pola keselarasan vokal boleh dilihat dalam perkataan bunuh dan imbuh. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 20.02.2013 |