Salam hormat. Saya memerlukan bantuan berhubung terjemahan istilah berkaitan bidang Automotif. Terdapat kekeliruan di antara: 1.Penghidup Arus Tinggi 2.Pemula Arus Tinggi. 3.Pengengkol Arus Tinggi. dari teks sumber: High Curent "Starter". Adakah penggunaan terjemahan istilah bersaling kait atau mengikut keadaan spesifik. | Salam hormat. Tiada istilah khusus bagi perkataan "High Curent Starter" dalam data PRPM. | Istilah | 09.05.2015 |
Dalam bidang kewangan, syarikat boleh mendapatkan modal dengan cara pengsekuritian aset. Cara yang digunakan ialah melalui special purpose vehicle (SPV) di mana originator akan tubuhkan SPV. Aset originator dipindahkan kepada SPV, SPV keluarkan bon kepada pelabur dan wang daripada bon diberi kepada originator. Apakah perkataan yang boleh digunakan bagi menggantikan originator dan SPV? | Saudara Joseph, Cadangan padanan bahasa Melayu bagi perkataan 'special purpose vehicle' dan 'originator' ialah 'kenderaan kegunaan khas' dan 'pemula'. | Istilah | 22.06.2009 |
Mohon terjemahan standard BM untuk berikut (yg dalam kurungan itu adalah tujuan saya) 1. Chick Starter Feed (pakan anak ayam permula) 2. Grower Finisher Feed (pakan ayam pedaging) 3. Grower Pullet Feed (pakan ayam dara penelur) 4. Finisher Pullet Feed (pakan Penamat --untuk ayam dara dan ayam pedaging peringkat akhir) 5. Layer Feed (pakan ayam penelur) Terima kasih | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu seperti yang berikut: 1. Chick Starter Feed = pakan pemula anak ayam 2. Grower Finisher Feed = pakan penamat ayam kecil 3. Pullet Feed = pakan ayam dara 4. Finisher Pullet Feed = pakan penamat ayam dara 5. Layer Feed = pakan ayam penelur | Istilah | 30.01.2019 |
saya seorang yang suka berkarya tetapi tidak berani menunjukkan bakat yang saya miliki...soalan,bagaimana saya boleh memberanikan diri untuk berdepan dengan pengkarya seperti saya ini????? | Pertamanya, saya ingin mengucapkan syabas kepada saudari kerana mempunyai keberanian untuk bertanya tentang bakat dan potensi diri kepada pihak kami. Sebagai seorang manusia, setiap daripada kita mempunyai bakat yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada setiap hamba-Nya untuk kita melalui perjalanan hidup ini di muka buminya. Justeru, seseorang itu harus mencari dan meneroka bakat ada ada pada diri sehingga seseorang itu tahu bahawa itulah potensi dirinya yang sebenar dan seterusnya memberikan fokus kepada bakat tersebut. bakat yang dimaksudkan di sini ialah pelbagai jenis kemahiran semula jadi seperti memasak, bertukang, menjahit, dan termasuklah menulis atau mengarang. Memang semua perkara tersebut boleh dipelajari, namun bakat semula yang ada pada seseorang itu akan menjadi sesebuah hasil itu lebih baik dan tinggi mutunya. Persoalan di sini sekarang ialah saudari merasakan diri seorang mempunyai bakat dan saudari juga telah menulis, tetapi yang menjadi masalah sekarang ialah ketidak beranian saudari untuk menonjolkan karya saudari itu di khalayak ramai atau pembaca. Bagi kami, langkah pemula yang harus saudari ambil ialah yakin bahawa saudari harus menghantar karya saudari itu kepada mana-mana pihak penerbit. Langkah kedua, saudari boleh menyertai mana-mana bengkel penulis atau kursus penulisan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Langkah ketiga, saudari boleh mengikuti mana-mana seminar yang berkaitan dengan kesusasteraan atau penulisan. Semua langkah yang diberi ini akan menambahkan keyakinan saudari terhadap diri sendiri dan bakat yang ada. Seterusnya, saudari juga harus berani bertemu atau menelefon mana-mana pihak penerbit untuk bertanya dan berbincang tentang karya yang saudari hasilkan itu sama ada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Jika saudari tidak melakukan, bakat dan potensi diri saudari itu akan terhakis sedikit demi sedikit. Oleh itu saudari harus memulakan. Semua bergantung kepada diri saudari sendiri. Bagi pihak DBP, kami mencadangakan saudari merujuk laman web DBP untuk mengetahui bengkel, kursus atau seminar yang dianjurkan oleh pihak kami. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.10.2009 |
Tuan, saya hendak menanyakan ayat songsang. Adakah ayat-ayat di bawah ini ialah ayat pasif susunan songsang? 1. Elok dibezakan penggunaan "baharu" dan "baru". 2. Dalam laman web rasmi ini, mesti digunakan bahasa bahasa Melayu. Adakah ayat-ayat di atas berpunca daripada ayat pasif susunan biasa seperti dalam ayat (3) dan ayat (4) di bawah? 3. Penggunaan "baharu" dan "baru" elok dibezakan. 4. Dalam laman web rasmi ini, bahasa Melayu mesti digunakan. Saya selalu melihat penulis suka menggunakan ayat pasif susunan songsang yang mengandung kata kerja berawalan di- ini seperti dalam ayat-ayat contoh di atas. Bagaimanakah pula dengan ayat di bawah ini? Adakah ayat (5) di bawah ini ayat pasif susunan songsang? 5. Dipersilakan saudara Ali untuk membaca doa. Ayat (5) selalu digunakan dalam majlis perhimpunan rasmi di sekolah saya. Adakah ayat (5) di atas berpunca daripada ayat pasif susunan biasa seperti dalam ayat (6) di bawah ini? 6. Saudara Ali dipersilakan untuk membaca doa. Sekadar ingin tahu. Terima kasih tuan! | Ayat aktif terdiri daripada: Frasa Nama + Frasa Nama Frasa Nama + Frasa Adjektif Frasa Nama + Frasa Kerja Frasa Nama + Frasa Sendi Nama Ayat pasif pula ialah ayat yang kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-. Ayat songsang pula apabila keempat-empat bentuk ayat aktif di atas diterbalikkan, iaitu Frasa Nama, Frasa Adjektif, Frasa Kerja dan Frasa Sendi Nama yang berperanan sebagai pradikat atau keterangan ayat menjadi pemula ayat atau dikehadapankan sebelum objek. Contoh: Ayat aktif: Anjing itu mengejar kucing. Ayat pasif: Kucing itu dikejar anjing. Ayat pasif songsang: Dikejar anjing kucing itu Contoh: Ayat aktif: Adik saya comel. Ayat pasif : (Ayat ini tidak boleh menjadi ayat pasif kerana ayat pasif hanya bagi ayat yang mengandungi kata kerja.) Ayat songsang: Comel adik saya. Bagi ayat pertama dan kedua, memang betul ayat tersebut ialah ayat pasif susunan songsang daripada contoh ayat ketiga dan keempat. Begitu juga dengan ayat lima merupakan ayat pasif susunan songsang daripada ayat keenam. Terima kasih. | Lain-lain | 25.11.2014 |