Adakah terdapat istilah pengilhakan? Perkataan ini sering digunakan untuk merujuk kepada aneksasi. | Dalam data kami, istilah pengilhakan ada digunakan sebagai padanan untuk perkataan annexation of territory yang membawa maksud tindakan sesebuah negara menjadikan wilayah negara lain sebagai wilayahnya secara rasmi setelah negara berkenaan (negara pengilhak) menguasai wilayah tersebut secara penaklukan. Oleh itu, perkataan pengilhakan sinonim dengan perkataan aneksasi. | Istilah | 17.07.2020 |
Selamat petang tuan. Moga-moga tuan gembira melunaskan amanah yang terpikul. Tuan, apakah sendi nama yang tepat bagi masa: "pada" atau "dalam"? Pada pendapat saya, ungkapan "pada zaman Melaka" dan "dalam zaman Melaka" berbeda atau senjang. "Pada" menunjukkan waktu tertentu, iaitu berpaku pada satu waktu sahaja, tidak melibatkan jangka waktu. "Dalam" pula menunjukkan jangka waktu, iaitu dari satu waktu ke satu waktu, dari waktu bermula sampai waktu tamat. Jadi "pada zaman Melaka" bermaksud tepat-tepat pada zaman Melaka itu sahaja, bukan zaman lain seperti zaman Abbasiyah, zaman penaklukan Jepun, zaman penjajahan British. "Dalam zaman Melaka" pula bermaksud jangka masa dari masa bangkitnya zaman Melaka hingga lenyapnya zaman ini. Jadi, dapat saya simpulkan bahawa sebenarnya kedua-dua sendi "pada" dan "dalam" boleh digunakan untuk masa, hanya maksud yang timbul senjang (berbeda). Sorotan lanjut ada dalam WordPad yang terlampir. Isi WordPad ini sebenarnya surat saya terhadap Dr. Awang Sariyan, namun saya memohon pandangan tuan juga. Harap tuan menjelaskan perkara ini. Terima kasih. | Dalam buku Tatabahasa Dewan, jelas diterangkan kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan waktu dan tempat. Kami menerima ayat "pada zaman Melaka" ini betul kerana selari dengan prinsip Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 01.12.2016 |