SALAM. Bila nak keluarkan kamus dalam bidang teknologi maklumat? Banyak istilah2 yang tidak dialihbahasakan ke bahasa Melayu. KAMI pencinta BAHASA MELAYU ini,amat berharap, banyak buku2 ICT diterjemah ke bahasa MELAYU supaya bangsa kita MINAT mendalami bidang ini. Terima Kasih. | Saudara Fairuz, Terima kasih atas cadangan saudara. Untuk makluman saudara, Dewan Bahasa dan Pustaka ada menerbitkan Kamus Komputer dan buku Istilah komputer. Selain itu, saudara boleh juga mengakses istilah dalam bidang ini melaui Pusat Rujukan Persuratan Melayu dengan melayari laman sesawang DBP. | Lain-lain | 23.03.2010 |
Tuan/Puan, Bagaimanakah caranya untuk menghantar karya sajak nukilan saya sendiri untuk dinilai oleh pihak-pihak profesional? Saya seorang pencinta bahasa yang meminta pandangan jujur mengenai karya saya. Saya menyediakan dua buah sajak berbahasa Inggeris bertajuk I Am About To Die dan Drowned In Mind untuk penilaian tuan/puan. Terima kasih. Yang benar, Noor Ashyima 901120085810 | Untuk makluman saudara DBP menerbitkan buku dan majalah dalam bahasa Melayu (kecuali buku teks) dan semua karya yang terkandung dalamnya juga mestilah ditulis dalam bahasa Melayu. Oleh itu, karya saudara tidak sesuai untuk diserahkan kepada kami untuk dinilai atau diterbitkan. | Lain-lain | 09.02.2011 |
Saya perlukan definisi PENYAYANG yang ada kaitan dengan individu, masyarakat dan organisasi | Penyayang bermaksud orang yang kasih akan orang lain,pengasih, pencinta, bersifat belas kasihan. Setiap individu, anggota masyarakat dan organisasi memiliki sifat ini yang dapat membantu mwewujudkan antara lain keharmonian dalam sesuatu hubungan. | Makna | 19.03.2008 |
Takrif dan definisi BUDAYA PENYAYANG | Budaya penyayang bermaksud tamadun atau peradaban yang bersifat budaya dari segi akal budi berkenaan dengan rasa kasih akan orang lain; pengasih atau pencinta. Dalam konteks yang lebih luas, budaya penyayang ini boleh juga dikaitkan dengan objek selain manusia, seperti haiwan belaan, persekitaran dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk mewujudkan keadaan yang aman, tenteram dan selamat dalam kalangan masyarakat dan bernegara. Budaya ini wajar diterapkan dalam semua peringkat masyarakat dan dalam kalangan masyarakat majmuk. | Makna | 08.01.2008 |
maksud autonomi, penyayang & kerahsiaan | Saudara, Maksud autonomi ialah pemerintahan (pentadbiran, pengurusan) sendiri, hak mengurus pemerintahan (pentadbiran dsb) sendiri (tanpa penguasaan atau pengendalian oleh pihak lain); Maksud penyayang ialah orang yg kasih akan yg lain, pengasih, pencinta, bersifat belas kasihan Maksud kerahsian ialah perihal rahsia. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 27.12.2009 |
Cadangan: Di negara-negara Asia timur seperti Jepun,Korea,malahan di rantau Asia seperti China,Thailand,Loas,Vietnam,Filipina dsbnya meletakkan bahasa kebangsaan masing-masing di atas bahasa Inggeris,.Hal ini dapat dilihat pada singboard2 sama ada merujuk lokasi-lokasi mahupun iklan-iklan.Saya sebagai pencinta bahasa Melayu menyimpan hasrat dan cita-cita agar Malaysia mengorak langkah yang sama.hasrat kerajaaan memartabatkan bahasa Melayu boleh diambil melalui langkah tersebut.Oleh hal yang demikian, DBP diharap dapat memainkan peranan agar menjadi institusi yang lebih dinamik untuk merealisasikan cita-cita tersebut,sekian-matpapaya n geng | Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembangkan bakat sastera; mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan; membakukan ejaan dan sebutan; menggalakkkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas. Namun DBP belum diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan. Untuk itu DBP menggunakan kuasa yang sedia ada pada pihak berkuasa tempatan melalui undang-undang kecil iklan, peraturan dan garis panduan yang disediakan. DBP mengadakan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL bagi memastikan paparan di tempat awam menggunakan bahasa yang baik dan betul. DBP sentiasa berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan bergerak dalam ruang lingkup kuasa yang ada. Martabat bahasa kebangsaan lebih terserlah apabila digunakan dalam urusan kenegaraan untuk maksud rasmi dalam kalangan jabatan sektor awam, antara sektor awam dengan sektor swasta, dan antara sektor awam dengan orang awam. | Lain-lain | 04.06.2011 |
Salam sejahtera, 1) Apakah beza antara "pelahiran" dan "kelahiran" iaitu "labour" dan "delivery". 2) Adakah menterjemahkan "fatigue" sebagai lesu atau "letih" tepat. Jika pembaca sasaran golongan ibu berpendidikan saya kira lebih baik buat pinjaman, iaitu kekalkan menjadi fatig. Terima kasih. Selamat mengundi 5 Mei nanti. Orang DBP baik belaka. | 1. Pelahiran ialah perihal atau perbuatan melahirkan seperti ayat pelahiran golongan pencinta muzik tradisional dalam kalangan generasi muda ... dan kelahiran ialah perihal keluar dari kandungan ibu seperti ayat pada saat kelahiran anaknya itu, Ani menangis .... 2. Terjemahan fatig ada digunakan tetapi khusus dalam bidang perubatan, manakala dalam konteks umum fatigue diterjemahkan kepada penat, letih atau lesu. | Makna | 11.04.2013 |
Tuan, Saya telah menyemak maksud perkataan 'usah' dalam Kamus Dewan. Usah mendukung dua maksud [1] perlu dan [2] Jangan. Dalam ayat contoh yang dikemukakan Tak usah kita mengungkit-ungkitkan hal yang lalu. Soalnya, bolehkah saya menggunakan perkataan usah tanpa perkataan 'tak ' di depannya. Kita usah menjaga kebersihan badan sepanjang masa. [Kalaulah usah mendukung maksud perlu - adakah ayat ini gramatis?] Saya agak keliru kalau usah bermaksud perlu, mengapakah maksud yang kedua pula jangan - seolah-olah berkontradiksi. Cuba tuan berikan tunjuk ajar. Sekian terima kasih. Daripada, Pencinta Bahasa | Encik Chan, Dalam ayat pertama perkataan 'tak' perlu digunakan kerana tanpa perkataan tersebut membawa maksud yang lain, bukan bermaksud perlu atau jangan. Dalam ayat kedua perkataan 'usah' boleh digantikan dengan perkataan tetapi bukan perkataan 'jangan'. | Tatabahasa | 04.06.2010 |
Assalamualaikum. Mohon bantuan penggunaan istilah/perkataan yang betul atau lebih tepat: 1. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ataupun Pertubuhan Bangsa Bersatu. 2. Untuk tujuan penulisan, mana yang lebih sempurna: 'cuma' atau 'hanya'? 3. Adakah terdapat istilah bahasa Melayu (bukan pinjaman) selain daripada perkataan 'prosiding' dalam bahan terjemahan daripada 'proceedings'? 4. Yang mana satu terjemahan yang lebih sempurna: daripada 'English' kepada 'Inggeris' atau 'bahasa Inggeris'? 5. Bolehkah 'legal personality' diterjemahkan kepada 'perwatakan perundangan'. Jika tidak, apakah terjemahan yang tepat? Ribuan terima kasih. Semoga khidmat ini akan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pengguna dan pencinta bahasa Melayu. | i. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (nama khas) 2. Kedua-dua perkataan boleh digunakan. 3. Maksud proceeding ialah tindakan undang-undang, perjalanan(course of action), rekod. 4. bahasa Inggeris 5. keperibadian undang-undang | Lain-lain | 07.06.2008 |
Apakah makna atau erti istilah SAYANG dan CINTA dan apakah beza antara kedua-dua perkataan ini. | Encik Kamal, Perkataan sayang bermaksud 1 menaruh rasa kasih atau rasa cinta: ~ benar dia kpd suaminya. 2 perasaan kasih atau cinta: Dr mana datangnya ~, dr mata turun ke hati. 3 menaruh perasaan belas atau kasihan; berasa kesal: ~ aku melihat pengemis tua itu. ~ sekali jika kamu tidak melanjutkan pelajaranmu. 4 panggilan utk orang yg dikasihi; buah hati: ~, mari ayah dukung. bersayang-sayangan saling berasa sayang; berkasih-kasihan. menyayangi 1 berasa sayang akan; mengasihi; mencintai: Dia sangat ~ anak dan isterinya. 2 berasa kesal terhadap sesuatu; menyesali: Apa gunanya ~ perkara yg telah berlaku? kesayangan 1 rasa kasih dan sayang; perasaan sayang; cinta kasih: ~nya terhadap cucunya itu amat mendalam. 2 apa-apa yg disayangi atau yg disukai: Dia terpaksa meninggalkan anak dan isteri ~nya utk melanjutkan pelajaran ke luar negara. penyayang (orang yg) bersifat sangat menyayangi sesuatu: ibu yg ~. Perkataan cinta bermaksud 1. perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd (negara, orang tua, kebebasan, dll): walaupun ~nya kpd keamanan amat kuat tetapi ia tetap mengangkat senjata kalau dicerobohi; 2. perasaan atau berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: ~ kpd suaminya masih tinggal bersarang dlm hati; barangkali kau masih ~ pd tunanganmu; 3. sl perasaan atau berperasaan dukacita (risau, bimbang, sedih, dll): tiada terperikan ~nya serta bercucuran air matanya; 4. perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu, rindu: putera raja itu amat sangat ~ akan burung yg dilihatnya itu; ~ berahi terlalu sangat cinta (asyik maksyuk); ~ kasih sangat cinta dan kasih (kasih sayang); ~ monyet cinta yg hanya sementara dan tidak serius, terutamanya di kalangan remaja; ~ pandang pertama cinta yg timbul terhadap seseorang walaupun baru pertama kali melihat atau bertemu dengannya; cintakan cinta akan, mencintai; bercinta 1. menaruh rasa cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: elakkan drpd ~ sebelum lulus pelajaran; 2. berasa rindu; 3. ki berat rasa hati utk melakukan sesuatu (kerana sesuatu sebab yg kurang menyenangkan): kami sangat ~ utk pergi ke bank memandangkan lalu lintas yg sangat sesak; bercintakan 1. menaruh cinta atau kasih kpd, berahi kpd: sbg laki-laki yg ~ seorang wanita, bagaimana jua pun setia wanita itu kepadanya, namun curiga hatinya akan timbul juga barang sedikit; 2. berperasaan rindu akan, ingin akan: ia ~ benda yg sukar diperoleh; 3. sl berdukacita akan sesuatu, berasa sedih (pilu) hati akan sesuatu: tujuh hari baginda tiada nobat ~ Bendahara Seri Wak Raja; janganlah kakang emas ~ permintaan Ratu Dewi Kesuma Indera itu; bercinta-cintaan 1. cinta-mencintai, berkasih-kasihan: baru hendak ~ dgn seorang perempuan, tiba-tiba ia diberi malu dan dihina; 2. bercengkerama atau bercumbu-cumbuan (antara lelaki dan perempuan): sebelum hari malam, dia ~ dgn tunangannya; mencinta 1. menaruh cinta atau kasih (kpd); 2. sl berdukacita (akan), bersedih hati, menyesal; mencintai 1. mengasihi, menaruh cinta pd: ia ingin ~ dan dicintai; 2. merindukan(hendak memperoleh sesuatu dll), mengharapharapkan, menginginkan: tidak ada orang yg tak ~ duit; tercinta (yg) dicintai (dikasihi, disayangi): engkau pisahkan aku dr anakku yg ~; kecintaan 1. perasaan cinta, kasih, kesayangan: yg mempertalikan hati suami dan isteri itu ialah ~ yg diikat oleh kesetiaan; seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh ~ kpd bahasa kebangsaan; 2. yg dicintai (dikasihi), kekasih: pemuda ~nya bekerja sbg wartawan; 3. sl kerinduan kesedihan, kebimbangan; 4. sl menanggung cinta (sedih dll); percintaan 1. perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang (antara laki-laki dan perempuan): kahwin itu ialah kemuncak ~;2. sl perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal, dll), kesedihan, kesusahan: maka oleh bonda baginda kedua anakanda baginda, kedua-dua anakanda baginda dipeluk dicium, maka ~ bonda baginda pun hilanglah; pencinta orang yg meminati dan mencintai sesuatu: ~ sastera; ~ buku. Daripada makna yang diberikan jelaslah bahawa kedua-dua perkataan ini bersinonim. | Kamus Dewan Edisi Empat | | |
| Makna | 13.06.2010 |