Tuan, Mohon semakan struktur ayat bagi tajuk program tersebut: SEMINAR HEP KEBANGSAAN KOLEJ KOMUNITI 2015, KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI PERASMIAN OLEH atau DIRASMIKAN OLEH? Sekian, terima kasih. | "SEMINAR HEP KEBANGSAAN KOLEJ KOMUNITI 2015, KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI, DIRASMIKAN OLEH..." | Tatabahasa | 06.10.2015 |
Saya ingin tanya berkenaan dengan bahasa rumi kepada Jawi untuk kegunaan di negeri-negeri yang memerlukan guna perkataan jawi. 1. HIGHER EDUCATION TOURS 2. JELAJAH PENDIDIKAN TINGGI | Dalam konteks tersebut, kami mencadangkan hanya "Jelajah Pendidikan Tinggi" dijawikan kepada جلاجه ڨنديديقن تيڠݢي . Penggunaan teks bahasa Inggeris Higher Eucation Tours boleh dikekalkan bersama dengan teks Rumi/Jawi tetapi kedudukannya di bawah teks Rumi/Jawi. | Ejaan | 10.06.2025 |
Terdapat Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang memohon untuk menjalankan program dengan nama Diploma Pengurusan Bisnes. Soalan saya, adakah perkataan 'bisnes' ini diiktiraf di dalam kamus Melayu? Sekiranya nama program tersebut diluluskan, adakah nama tersebut akan memberi kesan negatif kepada Bahasa Melayu? Sekian, terima kasih. | Padanan business dalam bahasa Melayu ialah perniagaan. Ini bermakna perkataan bisnes bukanlah bahasa yang standard, hanyalah digunakan dalam bahasa percakapan yang banyak dipengaruhi bahasa Inggeris. | Istilah | 15.01.2015 |
adakah boleh memulakan ayat dengan kata kera seperti berikut: FOKUS 1: PENYEDIAAN BAKAT TERBAIK NEGARA Memperkukuh peranannya sebagai “‘inkubator’” bakat melalui ekosistem pendidikan tinggi yang menyeluruh dan holistik, USIM memberi penekanan terhadap kurikulum responsif, bimbingan akademik yang berwibawa, serta pendekatan pembelajaran interaktif yang berasaskan teknologi, universiti ini menjadi platform penting dalam membentuk graduan yang berdaya saing, inovatif dan berintegriti. Pelbagai inisiatif pembangunan sahsiah dan nilai teras turut dilaksanakan bagi memastikan pelajar bersedia menyumbang di peringkat nasional dan antarabangsa. | Adakah maksud tuan penggunaan kata kerja "Memperkukuh"? Sekiranya betul, kami mencadangkan ayat tersebut dibetulkan menjadi: FOKUS 1: PENYEDIAAN BAKAT TERBAIK NEGARA, iaitu memperkukuh peranannya sebagai “inkubator” bakat melalui ekosistem pendidikan tinggi yang menyeluruh dan holistik. USIM memberi penekanan terhadap kurikulum responsif, bimbingan akademik yang berwibawa dan pendekatan pembelajaran interaktif yang berasaskan teknologi. Universiti ini menjadi platform penting dalam membentuk graduan yang berdaya saing, inovatif dan berintegriti. Pelbagai inisiatif pembangunan sahsiah dan nilai teras turut dilaksanakan bagi memastikan pelajar bersedia menyumbang idea/tenaga pada peringkat nasional dan antarabangsa. | Tatabahasa | 23.06.2025 |
Mengapa perkataan "mengkenselkan" digunakan dalam surat 'penyampaian notis niat ketua pendaftaran institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS)' dan bukannya perkataan "membatalkan"? | Terima kasih atas aduan yang telah pihak tuan berikan. Perkataan yang betul ialah "membatalkan". Pihak kami akan menghantar surat teguran kepada pihak yang berkenaan. Sekian. | Lain-lain | 04.07.2017 |
Assalamualaikum. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) adalah sebuah badan jaminan kualiti pendidikan tinggi tunggal di Malaysia. Terdapat nama-nama kursus pengajian yang dikemukakan IPT, agak unik dan belum digunakan dalam sektor pendidikan. Bagi memastikan penentuan nama kursus pengajian tepat, kami ingin mendapatkan pandangan pihak tuan tentang penggunaan perkataan 'opticianary'. Benarkah terjemahan perkataan ini dalam Bahasa Malaysia 'keoptikan'? Bolehkah perkataan tersebut dieja 'opticianari' jika diterjemah secara terus kepada Bahasa Malaysia? Pihak MQA berharap mendapat nasihat dan pandangan pihak DBP terhadap perkara ini. Terima kasih. | Istilah bahasa Melayu bagi "opticianry" ialah optisianri (bidang perubatan) | Istilah | 14.07.2009 |
bagaimanakah perubahan bahasa pengantar iaitu Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu?. | Bahasa pengantar sistem persekolahan di Malaysia ialah bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu untuk pendidikan tinggi dan berperanan pula sebagai bahasa kesusasteraan, kesenian, budaya, agama, falsafah, sains dan teknologi. Walau bagaimanapun pekeliling kerajaan tentang Pelaksanaan dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimulakan pada tahun 2003 memberi cabaran hebat terhadap fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Pelaksanaan dasar ini mendapat tentang banyak pihak dan setelah beberapa proses rundingan akhirnya kerajaan bersetuju memansuhkan PPSMI bermula pada tahun 2012. Untuk makluman saudara bahasa pengantar sistem pendidikan tidak pernah berubah dan masih mengekalkan bahasa kebangsaan. | Lain-lain | 05.06.2011 |
Selamat sejahtera. boleh saya tahu maksud bagi perkataan tertier. Sekian terima kasih. | Tertier merupakan padanan bahasa Melayu untuk perkataan bahasa Inggeris"tertiary". Dalam bidang Biologi, "tertier" mempunyai beberapa maksud, iaitu 1. Merujuk kepada zaman selepas Mesozoik dan sebelum Kuatener. 2. Jangka masa awal zaman Kaenozoik, Eosen hingga Pliosen epok. 3. Akar yang dihasilkan oleh akar sekundar. 4. Merujuk kepada dinding dalam beberapa serabut kayu. 5. Merujuk kepada bulu, iaitu tertial. 6. Merujuk kepada pengguna, iaitu haiwan karnivor yang makan karnivor yang lain. Dalam bidang perindustrian, "tertiary" merujuk kepada peringkat ketiga dan dalam bidang pendidikan merujuk kepada pendidikan tinggi. | Makna | 10.06.2016 |
Apakah maksud frasa berikut: 1.Rancangan pembangunan pendidikan. 2.Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. 3.Dasar Pendidikan Kebangsaan. 4.Rancangan Malaysia. 5.Pendidikan Tertiari. 6.Aspirasi negara. 7.Modal insan | Saudara boleh merujuk Jabatan Pelajaran, Kementerian Pendidikan atau kementerian-kementerian yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat berkenaan atau buku-buku yang berkaitan. 7. Modal insan bermaksud sumber intelek yang ada pada diri setiap manusia. Ia menunjukkan seseorang yang berkemahiran, berilmu, berpengetahuan dan mampu menyumbang kebaikan kepada dunia hari ini. Modal insan merupakan sumber yang penting dalam membangunkan sesebuah negara. Personaliti unggul pula bermaksud manusia yang berhemah tinggi, ilmu pengetahuan, pencapaian, ketokohan dan keintelektualan yang tinggi. Ciri-ciri orang yang mempunyai personaliti unggul ialah seperti yang berikut: 1.Mempunyai cita-cita, semangat dan wawasan yang jitu serta sentiasa berusaha ke arah mencapai kejayaan cemerlang, demi keagungan bangsa, agama dan negara. 2.Mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi, mampu memujuk, mengarah atau menggerakkan pasukan, selain berkemampuan mendengar pendapat (berlapang dada) dan membuat keputusan yang bijaksana. 3.Mahir berkomunikasi dan mempunyai pemikiran yang strategik. 4.Mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi serta bersemangat waja. | Lain-lain | 08.11.2011 |
1)PENGAJARAN GURU PENDIDIKAN ISLAM MENGINTEGRASIKAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) SEKOLAH MENENGAH 2)PENGAJARAN GURU PENDIDIKAN ISLAM DALAM MENGINTEGRASIKAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) SEKOLAH MENENGAH yang mana lebih tepat (perbezaan perkataan adalah DALAM) | Ganti DALAM kepada BAGI. Ayat yang betul: PENGAJARAN GURU PENDIDIKAN ISLAM BAGI MENGINTEGRASIKAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT) SEKOLAH MENENGAH. | Lain-lain | 02.03.2021 |