Kedaifan penduduk-penduduk yang mendiami kawasan itu mendapat perhatian daripada wakil rakyat. Saya berpendapat 'penduduk-penduduk' betul. Apa pendapat tuan? | Penduduk bermaksud orang yg menduduki sesuatu daerah (tempat, negeri, dll). Oleh itu, perkataan penduduk dalam ayat tersebut tidak perlu digandakan. Ayat yang betul ialah 'Kedaifan penduduk yang mendiami kawasan itu mendapat perhatian daripada wakil rakyat.' | Tatabahasa | 30.08.2007 |
Penduduk-penduduk kampung bekerjasama membaiki bumbung. Bolehkah ' bumbung' menggunakan kata kerja'membaiki'? Terima kasih. | Penduduk-penduduk kampung bekerjasama membaiki bumbung. Ayat ini betul, bumbung menjadi objek kepada kerja membaiki. | Tatabahasa | 14.08.2014 |
Adakah ayat berikut tepat dan gramtis? (a) Ali makan pada petang tadi dengan gelojoh di ruang tamu. (b) Gambar pemain bola yang kacak itu digantungkan oleh Abu pada dinding rumah petang tadi. (c) Penipu itu terbongkar rahsia oleh penduduk-penduduk. Untuk Ayat (c), ayat aktif berikut yang manakah tepat? (i) Penduduk-penduduk terbongkar rahsia penipu itu. (ii) Penduduk-penduduk membongkar rahsia penipu itu. | Ayat yang gramatis ialah: (a) Ali makan dengan gelojoh pada petang tadi di ruang tamu. (b) Gambar pemain bola yang kacak itu digantung oleh Abu pada dinding rumah petang tadi. (c) Rahsia penipu itu dibongkar oleh penduduk. (d) Penduduk membongkar rahsia penipu itu. | Tatabahasa | 30.10.2015 |
Soalan 1: A ) meningkatkan sumber kewangan B) menambahkan sumber kewangan Manakah penggunaan kata lebih tepat ? A atau B ? Soalan 2: A)Semua penduduk kampung B) Seluruh penduduk kampung C) Penduduk-penduduk kampung ? Manakah penggunaan kata lebih tepat ? A atau B atau C ? Soalan 3: "Seorang penduduk kampung sedang mengecat dinding pondok itu." Betulkah penggunaan seorang penduduk kampung? Terima kasih. | 1. (B) menambahkan sumber kewangan 2. (A)Semua penduduk kampong, (B) Seluruh penduduk kampung 3. Frasa "seorang penduduk kampong" boleh digunakan. | Tatabahasa | 10.06.2014 |
Tuan, Adalah frasa di bawah betul atau salah? 1. Para penduduk bekerjasama membersihkan taman. 2. Penduduk-penduduk bekerjasama membersihkan taman. Adakah penduduk sudah bermaksud jamak? para juga bermaksud jamak? Terima kasih. | Untuk makluman, penduduk sudah menujukkan maksud jamak. Sehubungan dengan itu, kedua-dua ayat contoh yang diberikan tidak tepat. | Tatabahasa | 29.06.2016 |
Adakah kata 'penduduk' kata jamak? bagaimana dgn frasa 'semua penduduk'? Betul atau salah. Bagaimana mahu menyatakan 'seorang penduduk' atau 'seorang rakyat'. Betul atau salah.tolong jelaskan | Mengikut buku Kamus Dewan, penduduk bermaksud orang yang menduduki sesuatu daerah, tempat, negeri dan lain-lain. Maka, bagi menandakan jamak, frasa ‘semua penduduk’ atau ‘penduduk-penduduk’ boleh digunakan. Sama ada ‘seorang penduduk’ atau ‘seorang rakyat’ bergantung pada konteks daerah atau negeri. | Tatabahasa | 20.06.2014 |
Berpuluh-puluh penduduk / berpuluh-puluh orang penduduk / berpuluh orang penduduk. Yang manakah betul? | jawapan yang sesuai ialah berpuluh-puluh penduduk dan berpuluh-puluh orang penduduk | Tatabahasa | 15.09.2012 |
1. Sebilangan orang penduduk... 2. Sebilangan penduduk... Mana satu betul? Apakah sebabnya? | Frasa yang betul ialah ‘sebilangan penduduk’ kerana kata ‘penduduk’ ialah orang yang menduduki sesuatu daerah, tempat, negeri dan lain-lain. | Tatabahasa | 16.01.2015 |
SOALAN PERTAMA Ayat 1 Murid-murid bermain bola dengan gembira di padang. Ayat 2 Murid-murid bermain bola di padang dengan gembira. Bolehkah saya tanya adakah Ayat 1 atau Ayat 2 yang betul? SOALAN KEDUA Ayat 3 Penduduk kampung sedang membersihkan kawasan kampung. Ayat 4 Penduduk-penduduk kampung sedang membersihkan kampung. Ayat 3 atau Ayat 4 betul? SOALAN KETIGA Adakah saya harus menulis "mengulangkaji" atau "mengulang kaji" ? SOALAN KEEMPAT Ayat 5 Emak membeli ikan, sayur, buah-buahan, dan ayam. Ayat 6 Emak membeli ikan, sayur, buah-buahan dan ayam. Ayat 5 atau Ayat 6 betul ? Terima kasih | 1. Ayat 2 yang betul : Murid-murid bermain bola di padang dengan gembira. Tetapi sekiranya dibuang kata keterangan "dengan gembira" ayat anda menjadi lebih elok kerana dari segi logiknya orang yang bermain bola itu tidak ada yang sedih. 2. Ayat 3 Penduduk kampung sedang membersihkan kawasan kampung. Tambahkan kata "mereka" di akhir ayat. 3. "mengulang kaji" 4. Ayat 5 yang betul: Emak membeli ikan, sayur, buah-buahan, dan ayam. | Lain-lain | 15.03.2009 |
1. yang mana betul - seluruh penduduk kampung atau penduduk kampung. 2. ayat pasif yang mana betul- tulisannya yang cakar ayam itu tidak terbaca gurunya atau tulisannya yang cakar ayam itu tidak terbaca oleh gurunya. 3. yang manakah unsur keterangan dalam ayat ini - kementerian perpaduan negara dan pembangunan masyarakat banyak menerima laporan mengenai kes penderaan kanak-kanak. terima kasih | 1. Seluruh penduduk kampung merujuk kepada semua penduduk kampung. Manakala penduduk kampung pula merujuk kepada sebahagian penduduk kampung atau penduduk kampung yang tertentu sahaja. 2. Tulisannya yang cakar ayam itu tidak terbaca oleh gurunya. 3. Keterangan ayat ini ialah "banyak menerima laporan mengenai kes penderaan kanak-kanak. | Tatabahasa | 03.03.2009 |