Tuan/Puan, Saya maklum tentang kata nafi iaitu 'tidak' & 'bukan' dan cara penggunaan mereka yg betul dalam ayat. Soalan saya, bolehkah kehadiran 'bukan' dalam ayat, 'Bukan harganya begitu' memberi penekanan kepada predikat? (Sepatutnya ayat ini ditulis, "Harganya bukan begitu"). Saya juga maklum tentang kata penegas (cth : akhiran -lah, pun, juga, hanya), iaitu kewujudan kata penegas memberi penegasan kepada predikat dalam ayat. Namun, sesetengah ayat dalam penulisan sengaja ditulis dalam susunan yang luar biasa dan ia memberi lebih impak kepada pembaca. Adakah susunan 'Bukan harganya begitu' juga ditulis bertujuan untuk memberi penekanan terhadap 'harga'? Terima kasih. | Frasa yang gramatis ialah "Harganya bukan begitu..." lebih tepat digunakan dan menunjukkan penegasan kepada harga. | Tatabahasa | 07.06.2014 |
Cikgu, saya ingin menanyakan bahawa adakah penggunaan -nya dalam merujuk objek tidak bernyawa adalah betul atau salah? Perhatikan contoh-contoh berikut: (-nya telah ditulis dengan semua huruf besar -NYA untuk memberikan penegasan) 1. Hadiah itu untuk ibu. HargaNYA mahal. 2. Apabila ejaan perkataan itu ditukarkan, maksudNYA juga akan bertukar. 3. (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 75) - Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaanNYA tetap terpisah. Pada pengetahuan saya, -nya hanya digunakan sebagai kata ganti nama ketiga untuk manusia. Apakah pandangan DBP? Saya memerlukan pandangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan dalam hal ini. Terima kasih DBP. | Dalam bahasa Melayu, tidak ada ejaan semua huruf besar perkataan ‘NYA’ untuk membawa penegasan. Bentuk –nya boleh hadir sebagai kata penekan dan kata pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh dalam ayat: Hadiah itu sesungguhnya sangat mahal. | Tatabahasa | 28.06.2014 |
Bagaimana mahu membezakan kata pembenda dengan kata penekan? | Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama misalnya lajunya, sakitnya, lantangnya, datangnya. Contoh ayat: Datangnya secara mendadak. Kata Penekan ialah kata yang memberikan penegasan kepada perkataan yang tergabung dengannya. Contohnya: -nya dalam Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. | Tatabahasa | 14.02.2014 |
Tuan, Kata sendi seperti demi untuk, dan kata hubung jika sekiranya memang tidak boleh digunakan serentak. Soalan saya bolehkah kita menggunakan kata sendirti 'hingga ke' atau 'hingga kepada' secara serentak untuk tujuan penegasan? Adakah ayat-ayat yang berikut gramatis? Ali masih belum bertaubat hingga ke hari ini. Nasib malangnya berlanjutkan hingga kepada anak isterinya. Sekian, terima kasih. Chan Soon Aun | Pengguna kata sendi nama "hingga ke" berbentuk lewah dan tidak boleh hadir secara berturutan. Sila gunakan salah satu sahaja. Sila ruku buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 267 dan 284 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 08.07.2010 |
Cikgu Dewan, Tatabahasa Dewan mengatakan bahawa kata sendi nama "kepada" boleh digunakan untuk makna menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Perhatikan bahawa unsur mujarad tidak dikecualikan untuk menjadi sasaran kepada sesuatu kata kerja. Jadi, mengapakah bentuk frasa "tertumpu pada pelajaran" betul, sedangkan kata sendi nama "kepada" digunakan untuk menyatakan sasaran unsur mujarad? Saya rasa bentuk frasa yang betul patutlah "tertumpu kepada pelajaran". Dalam frasa ini, kata nama "pelajaran" ialah unsur mujarad yang menjadi sasaran kepada perbuatan kata kerja "tertumpu". Apakah pendapat DBP tentang soal bahasa ini? Contoh yang lain: 1. bergantung pada/kepada semangat ketabahan 2. memberikan penegasan pada/kepada bahagian itu dalam predikat 3. menumpukan perhatian pada/kepada bidang sintaksis 4. memberikan pengkhususan pada/kepada bidang morfologi Tolong tentukan penggunaan kata sendi nama yang tepat dalam keempat-empat ayat yang saya berikan. Saya memerlukan satu penjelasan tentang isu kata sendi nama ini. Terima kasih DBP! | Merujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 275, kata sendi nama "pada" antaranya berfungsi sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Maka, kata sendi nama yang sesuai dengan konteks ayat yang tersebut ialah: 1. bergantung pada semangat ketabahan 2. memberikan penegasan pada bahagian itu dalam predikat 3. menumpukan perhatian pada bidang sintaksis 4. memberikan pengkhususan pada bidang morfologi
| Tatabahasa | 20.07.2014 |
Assalamualaikum Adakah perkataan yang menggunakan partikel -lah, -kah, -tah tergolong dalam bentuk kata terbitan? Contohnya perkataan 'cukuplah'. Partikel -lah tidak merujuk kepada imbuhan. Mohon pencerahan.-Darayani. | Salam, Partikel -lah, -tah, -kah bertindak sebagai penegasan dalam ayat dan bukan membentuk kata terbitan. Terima kasih. | Lain-lain | 12.03.2015 |
bagi ayat dia berjalan terhoyong-hayang ke kiri dan kanan, perlu ke kata sendi ke sebelum perkataan kanan, maksudnya dia berjalan terhoyong-hayang ke kiri dan ke kanan, | Puan Jamisah Dalam ayat ini kata sedi ke memang perlu ada bagi tujuan penegasan. | Tatabahasa | 24.03.2010 |
saya maha siswa YIU ingin bertanya,apa nama ganti nama tak tentu serta contoh | Kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau untuk penegasan. Contohnya: apa-apa: Bawalah apa-apa yang ada. mana-mana: Ambillah mana-mana yang anda suka. siapa-siapa (sesiapa); Siapa-siapa pun boleh bersuara. | Lain-lain | 30.07.2010 |
Salam sejahtera, Tuan; Apakah perbezaan antara "apa-apa" dengan "mana-mana" dari segi maksud dan penggunaannya? Terima kasih. | kata ganti diri tanya ialah jenis kata nama yang berfungsi menanyakan hal benda, perkara, atau manusia. Terdapat tiga bentuk kata ganti nama diri tanya, iaitu siapa yang merujuk orang, apa yang merujuk benda atau perkara, dan mana yang merujuk benda atau orang. Kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau untuk penegasan. Contohnya: apa-apa: Bawalah apa-apa yang ada. mana-mana: Ambillah mana-mana yang anda suka. | Tatabahasa | 22.01.2013 |
Umum kita difahamkan bahawa Kata Pemeri 'adalah' digunakan di hadapan FS dan/atau FA. Jurubahasa ada juga menasihati dan melarang penggunaan 'adalah' di hadapan FK, walaupun tidak ada apa-apa penegasan rasmi dibuat di dalam buku teks tentang peraturan dan pertalian 'adalah' dengan FK. Harap beri pandangan DBP tentang penggunaan 'adalah' dalam ayat di bawah ini, dan huraikan sama ada 'ialah' boleh/ tidak boleh diganti dalam ayat di bawah serta beri sebab-sebab dari segi hukum tatabahasa: "Matlamat menyertai HK Filmart 2011 adalah mewujudkan dan industri media melain merancang strategi pasaran luar ...." (BH 15Sep11) | Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja dan frasa kata kerja. (Rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 264) Kata pemeri "adalah" tidak perlu hadir dalam ayat tersebut dan ayat tersebut perlu dilengkapkan kerana kata kerja "mewujudkan" tidak diikuti dengan objek untuk melengkapkan ayat. | Tatabahasa | 15.09.2011 |