Tuan, Yang mana satukah betul? Majlis Perasmian Penutup atau Majlis Perasmian Penutupan? | Frasa yang betul ialah Majlis Perasmian Penutupan. Penutupan ialah perihal menutup, penamatan, pengakhiran, penyudahan (majlis, acara, dll), manakala penutup ialah 1 alat yg digunakan utk menutup; penudung. 2 sesuatu yg digunakan utk mengakhiri sesuatu surat, syarahan dll. | Tatabahasa | 21.10.2010 |
salam. saya amat meminati dunia penulisan. saya pernah menghasilkan satu novel online. Tapi, daripada segi kualiti mungkin agak rendah kerana mungkin penggunaan struktur kata yang agak kurang bijak, tidak cukup puitis, kosa kata tidak meluas dan kadang-kadang pengakhiran cerita dapat diteka oleh pembaca. Saya betul-betul berminat untuk menjadi penulis dan menerbitkan buku. Saya berkehendakkan khidmat daripada DBP dalam memberi tunjuk ajar dan tips bagi menjadi seorang penulis. harap kepada respon. kerjasama tuan diucapkan terima kasih. | Salam. Tips untuk menjadi penulis, antara lain, saudara perlu banyak membaca karya orang lain terlebih dahulu. Jika saudara ingin menulis novel misalnya, maka bacalah novel yang temanya menjadi minat saudara, contohnya kisah cinta, penyiasatan, misteri dan sebagainya. Teliti cara penulis itu menulis karya mereka dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, seting, gaya, bahasa, teknik seperti monolog, dialog, saspens; pembahagian bab, dan apa-apa sahaja yang menjalin sesebuah cerita. Selain itu, saudara perlu mempunyai ilmu bantu yang merentas bidang seperti teori sastera, psikologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, kerana penulisan merupakan gambaran kehidupan, sama ada yang berlaku di alam realiti ataupun imaginasi semata-mata. Saudara juga disarankan agar memasuki mana-mana kursus atau bengkel penulisan yang banyak diadakan oleh badan-badan penerbit, atau orang perseorangan yang boleh menjadi mentor saudara. Pada masa ini juga, banyak buku panduan menulis boleh didapati di pasaran, yang dapat memberi banyak tips untuk saudara menulis. Dan akhir sekali, untuk menjadi penulis yang baik, maka mahu tidak mahu, ia terpulang juga kepada bakat semula jadi seseorang itu. Jika seseorang itu dianugerahi Allah, bakat semula jadi (alami), tanpa banyak belajar pun, dia akan menjadi penulis yang baik. Moga saudara menjadi seorang penulis yang berjaya pada suatu hari nanti, insya-Allah. Wassalam. | Lain-lain | 05.05.2010 |
Penggunaan perkataan 'Perasmian Penutupan' atau 'Perasmian Penutup' bagi sesuatu majlis. | Biasanya ungkapan yang digunakan ialah Majlis Penutupan. Ini bersesuaian dengan laras Majlis Perasmian yang bermakna sesuatu majlis dibuka dengan rasmi dan Majlis Penutupan bermakna pengakhiran sesuatu majlis. | Tatabahasa | 27.07.2011 |
saya inginkan kepastian tentang penggunaan perkataan 'perasmian penutupan' atau 'perasmian penutup' bagi sesuatu majlis. | Frasa yang betul ialah Majlis Perasmian Penutupan. Penutupan ialah perihal menutup, penamatan, pengakhiran, penyudahan (majlis, acara, dll), manakala penutup ialah: 1. alat yg digunakan utk menutup; penudung. 2. sesuatu yg digunakan utk mengakhiri sesuatu surat, syarahan dll. | Tatabahasa | 25.04.2011 |
Assalamualaikum.. Antara dua ayat berikut, yang manakah lebih betul dan tepat. 1. Lokman meniup lilin yang ada di atas kek hari jadinya 2. Lokman menghembus lilin yang ada di atas kek hari jadinya. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ketiga, meniup dan menghembus kedua-duanya boleh digunakan dalam ayat tersebut. Namun 'menghembus' lebih cenderung digunakan untuk perkara-perkara yang menjurus kepada pengakhiran sesuatu. Contohnya: menghembuskan nafas yang terakhir dsb. Sebaliknya 'meniup' pula lebih cenderung kepada perkara-perkara menghidupkan sesuatu seperti meniup seruling untuk mengeluarkan bunyi-bunyian, meniup semangat dll. | Lain-lain | 20.02.2011 |
Contoh ayat. 1. Amirul meniup / menghembus api pelita itu apabila bekalan elektrik telah pulih. Meniup dan menghembus manakah yang lebih tepat serta apakh ulasannya. 2. Sebatang tombak atau sebilah tombak 3. Rendang ayam itu sungguh lazat sekali. (betul atau salah) | 1. Meniup dan menghembus kedua-duanya boleh digunakan. Namun 'menghembus' lebih cenderung digunakan untuk perkara-perkara yang menjurus kepada pengakhiran sesuatu. Contohnya: menghembuskan nafas yang terakhir dsb. Sebaliknya 'meniup' pula lebih cenderung kepada perkara-perkara menghidupkan sesuatu seperti meniup seruling untuk mengeluarkan bunyi-bunyian, meniup semangat dll. 2. Sebatang tombak 3. Rendang ayam itu sungguh lazat sekali. - Betul. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 244-247. | Tatabahasa | 19.07.2009 |
1. Mana yang betul jika kita hendak menggunakan perkataan Majlis Penutup atau Majlis Penutupan dan Majlis Pembuka atau Majlis Pembukaan. 2. Jika pada poster/buku program/kain rentang perkataan mana yang sesuai ? 3. Atas dasar tatabahasa/fonetik/fonologi mengapakah ia dipilih ? Majlis Penutup atau Majlis Penutupan dan Majlis Pembuka/Majlis Pembukaan ? | Majlis Penutupan dan Majlis Pembukaan/Perasmian. Pemilihan ini disesuaikan dengan makna yang mendukung setiap kata tersebut, penutupan bermaksud perihal menutup (menutupi, menutupkan), penamatan, pengakhiran, penyudahan; manakala pembukaan bermaksud perihal atau perbuatan membuka, permulaan. | Tatabahasa | 17.05.2008 |