Pengawas hendaklah menyemak dokumen berikut pada hari peperiksaan: a) Kad pengenalan calon b) Kad pelajar c) ....... Soalan saya: Perlukah diletak perkataan 'yang' selepas perkataan 'dokumen' dalam ayat di atas? | Penggunaan yang betul ialah ... menyemak dokumen seperti yang berikut .... Yang perlu dimasukkan dan yang ialah kata hubungan pancangan relatif dan seperti ialah kata sendi nama, dan ...seperti yang berikut ... membentuk frasa nama yang lengkap. | Tatabahasa | 11.02.2010 |
slm.. penggunaan penjodoh bilangan untuk murid,pelajar,pengawas dan sebagainya..perlukah disertakan dengan orang di depannya seperti (beberapa orang pengawas/ beberapa orang murid) atau di tulis begini (beberapa murid,beberapa pengawas,beberapa pekerja) terima kasih | Penggunaan penjodoh bilangan bergantung pada konteks penggunaannya. Lihat perbezaannya dalam ayat berikut: Beberapa orang pengawas sedang bertugas di pintu sekolah dan Penggunaan alat bantu mengajar diharapkan dapat membantu mengatasi rasa bosan para pelajar. | Tatabahasa | 09.03.2012 |
Pengawas itu mencatat nama murid yang datang lewat ke sekolah. a) Murid yang datang lewat ke sekolah dicatat namanya oleh pengawas. b) Nama murid yang datang lewat ke sekolah dicatat oleh pengawas. Ayat aktif tukar ke ayat pasif, jawapan a atau b adalah betul ? | Bentuk ayat pasif - a. Murid yang datang lewat ke sekolah dicatat namanya oleh pengawas. | Tatabahasa | 19.06.2010 |
A - Pengawas yang dilantik hendaklah dari kalangan guru sekolah. B - Pengawas yang dilantik hendaklah daripada kalangan guru sekolah. Ayat A atau B betul? | Saudara, Ayat yang betul ialah " Pengawas yang dilantik hendaklah daripada kalangan guru sekolah. Kata sendi "dari" digunakan untuk arah, tempat dan masa. | Tatabahasa | 30.11.2010 |
Ketua Pengawas yang dilantik hendaklah dari / daripada kalangan guru sekolah kerajaan sahaja. Soalan : dari atau daripada? | Puan Azian, Kata sendi nama yang betul ialah daripada. Puan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut tentang penggunaan kata sendi nama. | Tatabahasa | 13.01.2010 |
1."Tahukah kamu siapa yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. 2."Tahukah kamu siapakah yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. Kemusykilan.... Mana yang lebih tepat penggunaan partikel 'lah' pada kata tanya dalam ayat? "Tolong letakkan barang itu di.............",tunjuk ibu kepada Salmah. A.mana B.sini C.sana D.situ Apakah jawapan yang tepat atau soalan yang dikemukakan tidak betul. | 1. Ayat yang paling tepat - "Tahukah kamu siapa yang bakal dipilih sebagai Ketua Pengawas?" tanya Faridah kepada Bakar. 2. Tolong letakkan barang itu di sini/sana/situ - ketiga-tiga perkataan tersebut boleh menjadi jawapan kepada ayat tersebut asalkan bersesuaian dengan tempat yang dimaksudkan oleh penuturnya. | Tatabahasa | 27.01.2011 |
Assalamualaikum tuan di talian, Penggunaan perkataan baharu atau baru yang manakah betul dalam ayat contoh di bawah. 1. a. Majlis pelantikan pengawas baharu akan diadakan pada minggu hadapan. atau b. Majlis pelantikan pengawas baru akan diadakan pada minggu hadapan. Sekian, terima kasih. | Perkataan baru dan baharu diberi makna yang sama dalam kamus. Walau bagaimanapun buku Tatabahasa Dewan, membezakan penggunaan kedua-dua kata tersebut. Dalam bentuk adjektif kata baharu yang digunakan seperti contoh ayat yang diberi Majlis pelantikan pengawas baharu akan diadakan pada minggu hadapan. Penggunaan baru lazimnya digunakan apabila berfungsi sebagai kata bantu seperti ayat Dia baru sampai dari Kuala Lumpur. | Tatabahasa | 25.05.2012 |
para pengawas sekolah hendaklah membudayakan amalan menyegerai tugasan yang dipertanggungjawabkan. tuan, buku kata tiada kesalahan dalam ayat ini. bagaimana pula dengan menyegerai? tq | Tidak ada contoh penggunaan kata menyegerai dalam pangkalan data kami. Ayat tersebut boleh digantikan dengan kata menyegerakan menjadi "Para pengawas sekolah hendaklah membudayakan amalan menyegerakan tugasan yang dipertanggungjawabkan". | Tatabahasa | 24.07.2011 |
Yang manakah betul? 1. Seorang pengawas ( meneguri / menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju / dan menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (prestasi / persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal ( dengan / bersama-sama ) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan / prestasi) peserta yang berpidato di atas pentas. | 1. Seorang pengawas (menegur) Ahmad yang membuang sampah di lantai kantin. 2. Siti menatang semangkuk mi sup (menuju) ke meja makan. 3. Beberapa orang hakim sedang berbincang tentang (persembahan) peserta pidato. 4. Aminah berkongsi bekal (bersama-sama) rakan-rakannya. 5. Para penonton menyaksikan (persembahan) peserta yang berpidato di atas pentas. | Tatabahasa | 20.11.2013 |
1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang condong. Perkataan (condong) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi (rendah) akibat proses pembangunan. Perkataan (rendah) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh (menahan) kemurnian budaya timur. (menelan) Betul? 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang (mengira-gira) terhadapnya. (tidak terkira) Betul? 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian (semasa) para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. Apakah perkataan yang patut menggantikan (semasa) 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan (semasa) anak-anaknya berjawatan tinggi. (sedangkan) Betul? 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan (amat sangat) berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. (Penggunaan amat sangat dibenarkan atau tidak?) | 1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang tidak lurus/bengkok/lengkung. 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi gondol akibat proses pembangunan. 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh menjejaskan/menghapuskan kemurnian budaya timur. 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang tidak terkira terhadapnya. 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan sedangkan anak-anaknya berjawatan tinggi. 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan amat/sangat berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. Untuk menyemak penggunaan perkataan yang sesuai, sila rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak dicari. Untuk memastikan penggunaan kata penguat yang betul seperti dalam soalan ketujuh (7) rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 259. | Tatabahasa | 21.10.2011 |