Ayat A - Sila rujuk Jadual Pengendalian Peperiksaan. Ayat B - Sila rujuk kepada Jadual Pengendalian Peperiksaan. Ayat manakah yang betul? | Ayat A betul, iaitu Sila rujuk Jadual Pengendalian Peperiksaan. | Tatabahasa | 12.01.2010 |
Ayat A - Pihak tuan hendaklah menyediakan Buku Rekod Pengawasan disetiap pusat peperiksaan bawah pengendalian tuan. Ayat B - Pihak tuan hendaklah menyediakan Buku Rekod Pengawasan disetiap pusat peperiksaan di bawah pengendalian tuan. Ayat mana yang betul? Perlukah ayat ini diperbaiki? Kalau perlu, bagaimana? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah Pihak tuan hendaklah menyediakan Buku Rekod Pengawasan di setiap pusat peperiksaan di bawah pengendalian tuan. (frasa disetiap hendaklah dijarakkan = di setiap). | Tatabahasa | 12.01.2010 |
Salam sejahtera, Adakah terdapat terjemahan bagi "Bootloader"? Maksud: Bootloader adalah kod yang digunakan dalam sistem pengendalian Linux(contohnya). Terima kasih. | Dalam data rujukan kami, padanan bahasa Melayu bagi boot ialah but yang bermaksud proses memulakan atau menghidupkan kembali pengendalian komputer. Cadangan kami bagi boot loader ialah pemuat but jika bersesuaian. | Penyemakan dan penterjemahan | 25.12.2019 |
Saya sering keliru dengan pengendalian perkataan Bahasa Inggeris dalam penulisan Bahasa Melayu terutamanya dalam surat rasmi. Sekiranya saya perlu menulis sesuatu ayat seperti contohnya 1. Saya telah berhubung dengan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Bodies) pada 1.12020. ataupun 1a. Saya telah berhubung dengan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Bodies-italic) Mana satu ayat yang betul? Ayat kedua 2. Saya telah menjalankan audit trail (italic) pada 1.1.2020 Mohon pandangan bagaimana menulis kata nama khas dalam Bahasa Inggeris ke dalam penulisan Bahasa Melayu? Adakah perlu dikurung dan dicondongkan dalam kurungan tersebut? Atau hanya dicondongkan tanpa kurungan? | Penggunaan bahasa asing yang yang mesti diitalikkan ialah jika dalam satu baris ayat itu terdapat percampuran penggunaan bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan bahasa lain. Dalam keadaan tertentu juga jika ada bahasa Melayunya maka hendaklah kita menggunakan bahasa Melayunya dan jangan pula diitalikkan perkataan bahasa asingnya tanpa terlebih dahulu berusaha mencari padanannya dalam bahasa Melayu. Ayat yang betul seperti contoh yang diberikan ialah 1. Saya telah berhubung dengan Badan Pengurusan Bersama pada 1.1.2020 2. Saya telah menjalankan jejak audit pada 1.1.2020 Merujuk Gaya Dewan halaman 83, terdapat beberapa keadaan yang membolehkan penggunaan italik. Antaranya, judul karya seni dan penerbitan, nama sains, karya undang-undang kata atau ayat dalam bahasa asing, singkatan judul katalog karya yang diterbitkan, kenyataan sambungan bahan penulisan, nama khas objek khusus dan arahan pentas atau drama. Penggunaan italik hanya digunakan apabila perkataan tersebut tiada terjemahkan dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 10.07.2020 |
untuk memudahkan penggunaan dan pengendalian mesin cetakan dan mesin fax | Mohon perjelaskan pertanyaan puan. Ejaan yang betul ialah "faks" bukannya fax. | Tatabahasa | 20.02.2014 |
Apakah terjemahan atau terma yang sesuai bagi menggantikan istilah 'executive talk'? Bagi kegunaan rasmi dan pengendalian majlis, apakah terma yang sesuai bagi menerangkan sesi dialog yang melibatkan interaksi dua hala? Terma tersebut ingin saya masukkan dalam atur cara program/majlis. Terima kasih. | Istilah executive talk tidak ada dalam pangkalan data kami. Padanan istilah bahasa Melayu untuk talk ialah wacana atau ceramah. Cadangan istilah untuk executive talk ialah wacana eksekutif. Dalam Kamus Dewan, wacana bermaksud perbincangan atau pertukaran idea secara lisan. Dialog pula bermaksud perbincangan atau perundingan antara dua pihak yang bertelingkah kepentingannya. | Istilah | 18.03.2011 |
Apa peranan DBP Cawangan Sarawak? | Sejak penubuhannya, DBP Cawangan Sarawak memainkan peranan yang penting dalam pengendalian hal-hal yang berkaitan dengan bahasa dan sastera di negeri ini. Antara peranan yang penting ialah: 1. Melaksanakan kegiatan yang mengarah kepada peluasan, peningkatan penggunaan dan kejayaan pelaksanaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi tunggal. 2. Melaksanakan kegiatan-kegiatan kesusasteraan yang membantu ke arah: Membina bakat penulisan dan memupuk minat serta penghayatan sastera kebangsaan di Sarawak. Memperbanyak hasil dan bahan untuk diterbitkan dalam bahasa kebangsaan serta meningkatkan mutu sastera kebangsaan di Sarawak. 3. Mendapatkan bahan-bahan penerbitan dalam Bahasa Melayu daripada sumber budaya Sarawak yang sesuai untuk diterbitkan. | Lain-lain | 12.11.2007 |
apakah maksud substruktur ekonomi? | Secara umum substruktur ekonomi bermaksud struktur yang mendasari atau menyokong sistem pengendalian sumber kekayaan. | Makna | 13.01.2010 |
Apa terjemahan yang tepat bagi SOP atau Standard Operating Procedures dalam Bahasa Melayu? | Untuk makluman, istilah bahasa Melayu yang terdapat dalam pangkalan data kami untuk Standard Operating Procedure ialah Tatacara Pengendalian Piawai (Ekonomi) dan Tatacara Operasi Standard (Sains Politik). Walau bagaimanapun, terdapat juga istilah procedure diberi padanan prosedur dalam bahasa Melayu. Oleh itu, istilah ini boleh juga diterjemahkan sebagai Prosedur Pengendalian Standard. | Penyemakan dan penterjemahan | 01.08.2018 |
maksud bagi kuasa autonomi,hidrogen&krimer | Kuasa autonomi ialah kuasa atau hak mengurus pemerintahan (pentadbiran dsb) sendiri (tanpa penguasaan atau pengendalian oleh pihak lain). Hidrogen ialah gas paling ringan, tidak berwarna, tidak berbau, mudah terbakar, dan apabila berpadu dgn oksigen menjadi air. Krimer ialah serbuk atau cecair berwarna putih yang menggantikan susu dalam minuman teh, kopi dan sebagainya. | Makna | 17.03.2007 |