Apakah penulisan yang betul, Persidangan Pengerusi-Pengerusi Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia atau Persidangan Pengerusi-pengerusi Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia? Terima kasih | Penulisan yang betul ialah Persidangan Pengerusi-pengerusi Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia. | Ejaan | 10.03.2023 |
Di dalam penulisan minit mesyuarat, sekiranya dipengerusikan oleh perempuan, apakah gelaran yang harus ditulis? Adakah Puan Pengerusi atau Pengerusi sahaja. Contoh : Puan Pengerusi memaklumkan... atau Pengerusi memaklumkan | Dalam minit mesyuarat, perkataan yang digunakan ialah Pengerusi dan tidak perlu meletakkan "Tuan" atau "Puan" di hadapan perkataan "Pengerusi". | Tatabahasa | 19.05.2016 |
DALAM SENARAI NAMA AHLI JAWATANKUASA, NAIB PENGERUSI ATAU PENOLONG PENGERUSI YANG SESUAI UNTUK DIGUNAKAN? | Tidak ada perbezaan yang ketara dari segi bahasa bagi penggunaan perkataan “Naib Pengerusi” dan “Penolong Pengerusi”. “Naib Pengerusi” bermaksud pembantu kepada pengerusi. Perkataan “penolong” pula digunakan di hadapan nama jawatan untuk menunjukkan gred yang lebih rendah daripada jawatan yang dinyatakan. Contohnya, Penolong Setiausaha. Perkataan “penolong” juga membawa maksud orang yang membantu ketuanya. Contoh penggunaannya, penolong ketua pengawas. Perbezaan penggunaan nama jawatan dan hierarki jawatan tertakluk pada sesebuah organisasi atau pertubuhan yang menggunakannya. Walau bagaimanapun, perkataan “Naib Pengerusi” telah mantap penggunaannya dan digunakan secara meluas, namun penggunaannya haruslah bersesuaian dengan situasi dan hierarki, seperti yang dinyatakan di atas. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 1513 dan 2393. | Lain-lain | 09.06.2025 |
Salam tuan/puan, soalan saya bertarikh 20/10/14 masih belum dijawab. Salam, adakah huruf besar/kecil yang sesuai digandingkan dengan kata nama khas berikut? Apakah alasannya? 1. kelas/Kelas Tahun Lima Mawar 2. pantai/Pantai Batu Feringghi 3. pengerusi/Pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia 4.peperiksaan/Peperiksaan UPSR Terima kasih. Semoga tuan/puan dapat menjawab dengan segera kerana saya perlu membetulkan kesilapan sekiranya ada sebelum buku dicetak. Terima kasih. | 1. kelas Tahun Lima Mawar 2. Pantai Batu Feringghi= Huruf P pada perkataan Pantai Batu Feringgi dieja dengan huruf besar kerana pantai dan kata nama itu hadir sebagai satu kesatuan dan merupakan nama khas. 3. pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia 4. peperiksaan UPSR | Tatabahasa | 27.10.2014 |
Salam sejahtera, Perlukah tanda koma (,) digunakan selepas perkataan terima kasih? Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Dihormati Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Selasih, tuan-tuan dan puan-puan. Sekian, terima kasih. | Tidak perlu. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang Dihormati Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Selasih, tuan-tuan dan puan-puan. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 12.08.2015 |
Boleh perjelaskan mana yang betul? Dalam penulisan minit mesyuarat sekiranya Pengerusi adalah Datuk Seri Dr. Abu Bin Ahmad. Boleh ke disingkatkan sebagai YBhg. Pengerusi atau YBhg. Datuk Seri Dr. Pengerusi? Mana protokol yang betul? | Dalam penulisan minit mesyuarat, hanya ditulis YBhg. Datuk Seri Pengerusi bagi pengerusi mesyuarat seperti yang dinyatakan. | Tatabahasa | 19.03.2013 |
Assalamualaikum 1. Dalam minit mesyuarat ada agenda Perutusan Pengerusi. Dalam penulisan minit mesyuarat lazimnya bahagian Perutusan Pengerusi, kandungan perutusan apabila merujuk pengerusi yang ada gelaran Dato' dan sebagainya dicatatkan sebagai YBhg. Pengerusi. Adakah amalan ini betul dari segi penulisan minit mesyuarat? 2. Jika amalan itu boleh diterima, bagaimanakah jika Pengerusi mempunyai status PhD.... Bolehkah dicatat YBhg. Dr. Pengerusi? 3. Bolehkah dicatat YBrs. Dr dengan anggapan bahawa YBrs. bermaksud Yang Berusaha. Terima kasih. | Lazimnya dalam penulisan minit mesyuarat, gelaran yang digunakan ialah Pengerusi walau apapun anugerah yang diterima dan status individu tersebut. | Tatabahasa | 23.01.2017 |
Muncul juara (johan) atau muncul sebagai juara; dilantik pengerusi atau dilantik sebagai pengerusi? Mohon penjelasan. | Ayat yang betul ialah 'muncul sebagai juara' dan 'dilantik sebagai pengerusi'. | Tatabahasa | 26.05.2007 |
1) pengarah Majlis Bandaraya Petaling Jaya atau Pengarah Majlis Bandaraya Petaling Jaya 2) pengerusi Persatuan Sejarah atau Pengerusi Persatuan Sejarah | Ejaan yang betul ialah Pengarah Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pengerusi Persatuan Sejarah. | Ejaan | 06.06.2012 |
Selamat pagi, Apakah gelaran yang sesuai diberikan untuk pengerusi majlis? Adakah betul jika saya menggunakan 'Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis'? Atau penggunaan saudara/saudari adalah lebih tepat? Terima kasih. | Ungkapan yang lazim digunakan ialah Tuan Pengerusi Majlis (untuk lelaki) dan Puan Pengerusi Majlis (untuk perempuan). | Tatabahasa | 11.06.2013 |