Salam 1Malaysia, 1. Maksud bilik prep (di asrama)? 2. Beda frasa STOK PENGHABISAN atau PENGHABISAN STOK? 3. Kata PENGISYTIHARAN --> mengisytiharkan (/) Kata PERISYTIHARAN --> berisytiharkan (X) Mohon pencerahan. Terima kasih. | 1. Tidak ada ‘bilik prep’ dalam bahasa Melayu. ‘prep’ ialah singkatan ‘preparatory’. Preparatory room boleh diterjemahkan kepada ‘bilik persediaan’. 2. Stok penghabisan ialah bekalan (biasanya barang yang dijual) yang paling akhir sekali manakala penghabisan stok ialah (biasanya jualan) untuk menghabiskan stok yang ada. 3. Mengikut data DBP, terdapat perkataan pengisytiharkan; mengisytiharkan; perisytiharan; namun tidak terdapat perkataan berisytiharkan. | Tatabahasa | 22.12.2014 |
Jualan Penghabisan Stok Stock Clearance Sales ????? Harga Serendah RM1 | Sila terjemahkan ayat "terms and coditions apply & while stock last" kepada "Tertakluk pada terma dan syarat. Sementara Stok masih ada". Untuk tujuan pengesahan iklan, hantarkan visual tersebut kepada "Khidmat Pengesahan Bahasa" (bukan Khidmat Nasihat Bahasa). | Lain-lain | 20.12.2011 |
apakah yang dikatakan dengan darjah penghabisan kata adjektif? | Dalam buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 244 menerangkan tentang penggunaan kata adjektif dalam ungkapan darjah penghabisan yang boleh dilakukan melalui enam cara, iaitu: i. se- + KA + gandaan + KN ii. ter- + KA iii. paling + KA iv. KA + sekali v. ter + amat/sangat + KA vi. amat/sangat/sungguh + KA + sekali Untuk maklumat lanjut, rujuk halaman berkenaan. | Tatabahasa | 10.03.2013 |
Salam sejahtera, Apakah perbezaan antara imbuhan awalan ter- dengan "paling" dalam penggunaan kata adjektif dari segi darjah penghabisan. | Tidak ada perbezaan antara imbuhan awalan ter- dengan kata penguat "paling" dalam penggunaan kata adjektif dari segi darjah penghabisan. Tuan/puan boleh memilih sama ada menggunakan awalan ter- + kata adjektif atau penguat paling + kata adjektif. Kedua-duanya bermaksud penanda darjah penghabisan. 1. Ali pelajar terpandai dalam kelas tersebut atau 2. Ali pelajar paling pandai dalam kelas tersebut. Kedua-dua ayat membawa maksud yang sama. | Tatabahasa | 03.11.2016 |
Salam sejahtera. Mohon penjelasan tuan perbezaan antara 'darjah paling' dengan 'darjah penghabisan'. Terima kasih | Saudari, Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga yang merupakan buku rujukan rasmi tentang tatabahasa bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, menjelaskan bahawa penggunaan kata adjektif dalam darjah penghabisan dapat dilakukan mengikut cara-cara berikut: i. se+kata adjektif + gandaan + kata nama - sepandai-pandai tupai, sekeras-keras batu ii. ter+ kata adjektif - terpandai,terbaik iii. paling+kata adjektif - paling lazat, paling cerdik iv. kata adjektif+ sekali - tinggi sekali, cantik sekali Binaan ter+kata adjektif tidak perlu diikuti oleh perkataan sekali, begitu juga dengan binaan paling+ kata adjektif kerana ter, paling dan sekali sudah membawa maksud darjah penghabisan. Awalan ter yang digabungkan dengan kata penguat bebas amat atau sangat dan hadir sebelum kata adjektif merupakan penanda darjah penghabisan. Binaan darjah penghabisan boleh juga menerima kata penguat belakang sekali dengan kata penguat bebas amat, sangat atau sungguh yang hadir sebelum kata adjektif. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244. | Tatabahasa | 04.08.2012 |
kata penguat "termasyhur sekali" "terkenal sekali" betul atau salah? Jawapan yang DBP bagi pada tahun 2015: Penanda darjah penghabisan ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan. Namun, saya terjumpa soalan ini yang ditanya pada tahun 2008: Dalam Bahasa Melayu, imbuhan ter- dan kata penguat sekali sudah menunjukkan darjah penghabisan. Justeru hanya salah satu sahaja boleh digunakan. Namun begitu, adakah istilah "terkenal" boleh diikuti dengan perkataan sekali sedangkan istilah terkenal tidak bermaksud paling? Jawapan yang DBP bagi pada tahun 2008: Imbuhan ter- dan kata penguat sekali boleh digunakan. Oleh itu terkenal sekali boleh digunakan. Nak tanya sebenarnya mana yang betul?TQ | Penanda darjah penghabisan ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan. | Tatabahasa | 16.02.2016 |
Cuaca pada hari ini terpanas sekali berbanding semalam. Jawapan saya:terpanas sekali tukar menjadi panas | Ungkapan darjah penghabisan dapat dilakukan dengan penggunaan imbuhan ter- seperti terhandal, tercantik dan terbaik. Oleh sebab perkataan tersebut telah mendukung maksud darjah penghabisan, maka kata penguat sekali tidak boleh mengikutinya. Ayat yang betul: Cuaca hari ini panas sekali berbanding dengan semalam atau Cuaca hari ini terpanas berbanding dengan semalam. | Tatabahasa | 15.10.2014 |
bagaimana hendak menentukan kata penguat yang boleh digunakan serentak? contohnya, adakah betul a. AMAT CANTIK SEKALI. b. CANTIK SEKALI. DLL | Cara penggunaan darjah penghabisan serentak adalah seperti yang berikut : amat cantik sekali, sungguh cantik sekali, sangat cantik sekali. Binaan paling + kata adjektif tidak perlu diikuti oleh sekali sebab binaan ter-, paling dan sekali masing-masing sudah membawa maksud darjah penghabisan. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 246. | Tatabahasa | 13.03.2008 |
bagaimanakah cara betul menulis nombor rujukan nota kaki (footnote) di penghabisan ayat? adakah nombor rujukan ditulis sebelum atau selepas titik noktah? | Nota kaki dicetak pada ruang di antara teks dengan jidar kaki. Bahan ini dipisahkan daripada teks oleh garis pemisah mendatar setebal 0.1 poin, berukuran 2.5 cm, dan ditulis santak kiri. Gaya penerbitan Dewan menggunakan Sistem Penulis-Tarikh untuk menulis nota kaki. Susunan maklumatnya adalah seperti yang berikut: Nama penulis (diikuti dengan tanda koma) Tahun terbit (diikuti dengan tanda noktah) Judul sumber (dicetak dalam huruf condong, diikuti dengan tanda noktah) Jilid (diikuti dengan tanda noktah) Edisi dan cetakan (diikuti dengan tanda noktah. Walau bagaimanapun sdr boleh merujuk secara terperinci buku Gaya Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP. | Lain-lain | 11.03.2008 |
Terpaling cantik? Betul atau tidak? | Jawapannya adalah SALAH. Penanda darjah penghabisan, iaitu ter-, paling dan sekali tidak dapat hadir serentak dalam satu binaan ayat. Contoh kesalahan lain: tercantik sekali, paling cantik sekali, terpaling cantik, paling tercantik. | Tatabahasa | 07.09.2014 |