Mana satu yang betul: pengkelasan atau pengelasan? Adakah wujud perkataan: pengkelasan? Jika Ada, apakah makna 'Pengkelasan'? | Perkataan yang betul ialah pengelasan yang bermaksud perbuatan atau hal mengelaskan. Perkataan pengkelasan tidak wujud dalam pangkalan data kami. | Makna | 20.09.2017 |
Banyak perkara yang saya patut tahu lagi tentang no.pengkelasan..Bagaimana saya nak tahu no.pengkelasan dengan tepat?Saya berkhidmat hampir 7 tahun di Pusat Sumber.Tapi saya belum pernah diberi pendedahan atau kursus pengelolaan Pusat Sumber.Saya buat kerja berdasarkan pengalaman saya sebagai pengawas pss masa di sekolah dahulu. | Terima kasih atas soalan anda. Saudara boleh merujuk laman sesawang Perpustakaan Negara Malaysia yang ada menawarkan kursus dan bengkel mengenai pengkelasan. Saudara juga boleh merujuk senarai buku dibawah : Pengkatalogan dan Pengkelasan Bahan-bahan Pustaka oleh Siti Hasnah Simanjuntak (ITM, 1984) Pengkelasan dan Pengkatalogan oleh Zainori Abd Rahman (Pekan Ilmu, 2006) Senarai ringkas sistem Pengkelasan Perpuluhan Dewey untuk perpustakaan-perpustakaan sekolah di Malaysia (DBP, 1986). | Lain-lain | 07.01.2011 |
Salam Sejahtera, 1. Apa perbezaan 'pengelasan' dan 'pengkelasan'. 2. Di mana / ayat yang bagaimana sesuai untuk digunakan bagi kedua-dua perkataan tersebut. Sekian, terima kasih. | 1. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengelasan ialah perihal atau perbuatan mengelaskan, pembahagian (pengasingan) kepada kumpulan-kumpulan (golongan-golongan dll.) Tidak ada bentuk perkataan pengkelasan kerana kata dasar kelas apabila menerima imbuhan pe... dan an... menjadi pengelasan. 2. Perkataan yang betul dan gramatis ialah pengelasan. | Tatabahasa | 03.01.2012 |
Izinkan saya mengadu PRPM tidak memberi pengkelasan kata pada daftar masuk perkataan. Tidak dijelaskan sama ada sesuatu daftar masuk perkataan itu digolongkan dalam kata kerja atau kata nama atau kata tugas dan sebagainya. Semoga dapat berbuat demikian untuk kelangsungan bahasa Melayu yang kian hari kian melayu hidupnya. | Terima kasih atas cadangan saudara. Pihak kami amat menghargainya. Saudara juga boleh merujuk maklumat lanjut mengenai kelas kata melalui Kamus Dewan Perdana terbitan DBP yang terbaharu. Pembelian boleh dibuat secara dalam talian melalui dbpniaga.my. | Lain-lain | 19.05.2023 |
Kamus Dewan Perdana (KDP) menggolongkan "sebab" sebagai kata hubung. Adakah ini betul mengikut tatabahasa Melayu atau pengkelasan kata ini hanyalah satu perakaman mengikut bahasa pasar Melayu? Jawapan daripada Khidmat Nasihat yand tersedia juga mengelirukan. DBP perlu segera mengemas kini jawapan yang sudah tidak relevan. | 1. Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) memberikan dua kelas kata bagi kata "sebab", iaitu kata nama dan kata hubung mengikut pecahan makna masing-masing. Kamus ialah perakam penggunaan kata bagi sesuatu kata yang digunakan oleh masyarakat. Kamus bukanlah rujukan tatabahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan, khususnya dalam memberikan jawapan tepat dalam peperiksaan. 2. Jawapan Khidmat Nasihat sedang dikemas kini oleh DBP. Usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah, banyak kuantitinya, rencam sifatnya dan pelbagai kategorinya. Selain melibatkan sistem/program komputer, tugas ini juga melibatkan bilangan petugas, kemahiran, ketelitian, masa dan kos yang tertentu. | Lain-lain | 06.06.2024 |
saya ingin mendapat maklumat mengenai sistem waktu yang tepat dalam BM. Contohnya Pukul 2.30 pagi. Apakah pengkelasan kata bagi perkataan yan terlibat.? Adakah kata bilangan? apakah jenisnya? tentu atau tak tentu? adakah kategori lain bagi kata Bilangan BM? kalau kata bilangan PERTAMA, KEDUA, KETIGA... apakah jenis kata bilangan ini dalam BM? sekian terima kasih | Saudara, Perkataan pukul dan pagi ialah kata nama bukan kata bilangan. Kata bilangan 'pertama, kedua, ketiga ...' ialah kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya dan disebut bilangan kardinal. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 10.11.2009 |
1. Adakah selepas penggunaan tanda garis miring (/), perlu diselang atau disambung dengan ayat. Cth: a. buku/baju -sambung terus b. buku/ baju-ada jarak selepas tanda Mohon pengesahan penggunaan a atau b yang betul. 2. Bagaimanakah penggunaan perkataan pengelasan atau pengkelasan yang betul. | 1. Tanda garis miring (/) dibubuh di antara dua kata atau frasa tanpa jarak di kiri dan kanannya, sama dengan kedudukan tanda baca sisipan lain, iaitu tanda sempang dan tandang pisah. Cara penulisan garis miring yang betul pada contoh a. buku/baju. 2. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengelasan ialah perihal atau perbuatan mengelaskan, pembahagian (pengasingan) kepada kumpulan-kumpulan (golongan-golongan dan lain-lain). Tidak ada bentuk perkataan pengkelasan kerana kata dasar kelas apabila menerima imbuhan pe-...-an menjadi pengelasan. | | Tatabahasa | 17.04.2017 |
Adakah wujud perkataan ‘pengkumur’ untuk menggantikan perkataan ‘mouthwash’? Saya terpanggil untuk menyemak setelah melihat penggunaan perkataan ini dalam satu iklan ubat kumur di media massa. Untuk imbuhan peng, apakah hukum (rules) imbuhan secara umum? Mengikut pemahaman saya, untuk perkataan bermula dengan k, huruf k digugurkan apabila imbuhan peng ditambah (prefix). Eg: kawal - pengawal. Adakah huruf k dikekalkan hanya untuk kata pinjaman? Eg: katalog - pengkatalogan. Bagaimana pula dengan perkataan kelas yang merupakan kata pinjaman inggeris ‘class’ namun menjadi pengelasan dan bukannya pengkelasan. Adakah terdapat faktor tambahan dalam kes ini? | 1. Kata pengkumur masih belum terakam dalam kamus terbitan DBP. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. Berdasarkan korpus, kata pengkumur mulut untuk ‘mouthwash’ adalah lebih tinggi kekerapannya berbanding pengumur. Dari segi semantik jika menggunakan perkataan pengumur, makna pertama yang muncul dalam minda masyarakat ialah perkaitan makna dengan kata akar umur, berbanding apabila menggunakan pengkumur, masyarakat akan terus mengaitkan makna bagi kata akar kumur. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 109, huruf p, t, k, s pertama pada kata dasar yang bercantum dengan awalan peN-, huruf pertama tersebut akan luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya dengan bunyi pertama pada kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut. Contoh: pemukul (pukul), penahan (tahan), pengarang (karang) dan penyelam (selam). 2. Huruf pertama pada kata dasar yang bercantum dengan apitan peN-…-an tidak akan luluh untuk kata pinjaman seperti penkatalogan. Contoh lain: pemprosesan (proses), pengkateran (kater), dan pemvetoan (veto). (rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 107-111) 3. Walau bagaimanapun, kata asing yang telah terserap dalam bahasa Melayu, huruf pertama kata dasarnya akan luluh apabila menerima imbuhan apitan peN-…-an. Contoh: penyeteman (setem), pengelasan (kelas), penelefon (telefon). | Tatabahasa | 08.06.2024 |
apakah perbezaan P.U. (A) dan P.U. (A) i untuk Pemberitahu Undangan ? apakah pula maksud nombor selepas '296' sebagai contoh PU (A) 296? | Salam sejahtera, Terma undang-undang P.U (A) adalah Pemberitahu Undangan dan kurungan A bermaksud kuasa tersebut diambil daripada Akta Ibu. Ia merupakan perundangan subsidiari kepada Akta Ibu tersebut dan dirujuk sebagai peraturan. Berkenaan dengan P.U (A) i, berkemungkinan huruf/nombor roman itu membawa maksud jilid kepada peraturan tersebut. Namun begitu, fakta ini tidak dapat dipastikan kesahihannya. Untuk mendapatkan kepastian, boleh dirujuk persoalan ini kepada Jabatan Peguam Negara. Maksud kepada nombor selepas daripada huruf P.U (A) tersebut membawa maksud bidang/pengkelasan undang-undang sebagai contoh P.U (A) 296 adalah berkenaan dengan Peraturan Pembangunan Perumahan (Pengawalan dan Pelesenan) (Pengecualian). Pembangunan perumahan itu adalah bidang undang-undang yang dibincangkan dalam peraturan tersebut. Namun begitu, Tuan/Puan disarankan untuk merujuk kembali persoalan ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan maklumat yang lebih lengkap dan tepat. Sekian.
| Lain-lain | 27.04.2021 |