'Penubuhan institusi di dalam dan di luar negara' atau 'Penubuhan institusi di dalam negara dan di luar negara'. Mohon pencerahan ayat yang lebih tepat. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah “Penubuhan institusi di dalam negara dan luar negara” kerana perkataan “dalam negara” dan “luar negara” merupakan kata majmuk. Sehubungan dengan itu, perkataan “negara” yang pertama tidak boleh digugurkan. | Tatabahasa | 04.01.2021 |
Untuk melindungi harta intelek, kerajaan sanggup mengambil pelbagai langkah termasuk penubuhan Mahkamah Harta Intelek. Munsyi, apakah perkataan yang sesuai digantikan penubuhan kerana mengikut buku, jawaban yang salah ialah penubuhan. TK | Perkataan menubuhkan sesuai dalam konteks ayat tersebut. Sila rujuk kamus untuk mengenal pasti perkataan yang tepat dalam konteks sesuatu ayat.
| Tatabahasa | 04.07.2012 |
apakah tatacara penubuhan syarikat di malaysia? apakah peluang-peluang perniagaan secara online di malaysia? | Sila rujuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mendapatkan keterangan lanjut. | Lain-lain | 23.02.2008 |
Bolehkah berikan sejarah penubuhan DBP? | Sila rujuk laman web DBP untuk mendapatkan maklumat berkenaan penubuhan DBP. Berikut disenaraikan bahan untuk maklumat tambahan berkenaan DBP.: 1. Peranan DBP lebih tegas dan jelas oleh Awang Sariyan [diwawancara oleh Adnan Abd. Majid] Dewan Masyarakat 01/07/2004 . 2. Permasalahan dalam pembangunan bahasa Melayu sebagai asas pembangunan negara bangsa Malaysia oleh Ismail Dahaman Dewan Bahasa 01/07/2001 . 3. DBP akan terus mainkan peranan Utusan Malaysia 06/01/1988 4. DBP kembangkan peranannya oleh Nor Sedek Ismail Utusan Malaysia 11/11/1994 . 5. Peranan DBP sebagai penasihat bahasa AGHA Utusan Malaysia 01/03/1996 6. Citra : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia = Citra : Institute of Language and Literature Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2003 . 7. CITRA : Dewan Bahasa dan Pustaka Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2002 . 8. Citra DBP 40 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan 1996). | Lain-lain | 21.11.2008 |
Latar belakang penubuhan DBP dan peranan DBP dalam pembentukan peristilahan di Malaysia. | Untuk mengetahui latar belakang penubuhan DBP, sila rujuk buku atau makalah yang berkaitan di perpustakaan berdekatan dan Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Peranan DBP dalam pembentukan istilah antaranya ialah mengadakan pertemuan dengan pelbagai agensi seperti univeristi yang melibatkan pakar-pakar bidang untuk membentuk sesuatu istilah. Di samping itu juga, DBP berperanan untuk mencetak dan menyebarkan sesuatu istilah kepada masyarakat. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku yang berkaitan. Harap maklum. | Lain-lain | 31.07.2008 |
siapakah pengasas utama dewan bahasa dan pustaka? | Penubuhan DBP dicetus melaui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III. Tokoh yang mencadangkan penubuhan sebuah badan yang menjaga dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara ialah Zainal Abidin Ahmad (Za'ba). Berdasarkan resolusi kongres tersebut ditubuhkan Balai Pustaka pada 22 Jun 1956 yang kini dikenali sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Untuk mendapatkan ketrangan lanjut sila layari laman rasmi DBP, www.dbp.gov.my. | Lain-lain | 18.10.2010 |
apakah fungsi dewan bahasa dan pustaka semenjak ia ditubuhkan sehingga sekarang?bagaimana sejarah penubuhan dan perkembangannya sehingga kini?saya juga ingin mengetahui misi dan visi dbp. | Saudari boleh merujuk laman web DBP di http://www.dbp.gov.my untuk semua soalan yang dikemukakan dan maklumat-maklunat lain yang diperlukan. Sejarah penubuhan DBP termasuk objektif penubuhan, visi dan visi boleh didapati di bawah tajuk Organisasi di seksyen pengenalan/profil. Bagaimanapun bersama ini disertakan juga maklumat yang diperlukan untuk makluman. Terima kasih. | Lain-lain | 19.02.2008 |
faktor dewan bahasa dan pustaka di tubuhkan | Saudari boleh merujuk laman web DBP di http://www.dbp.gov.my untuk soalan yang dikemukakan dan maklumat-maklunat lain yang diperlukan. Sejarah penubuhan DBP termasuk objektif penubuhan, visi dan visi boleh didapati di bawah tajuk Organisasi di seksyen pengenalan/profil. Bagaimanapun bersama ini disertakan juga maklumat yang diperlukan untuk makluman. Terima kasih. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bharu, Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Penubuhan DBP adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Di peringkat awal itu, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bharu.
Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16 - 21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu juga, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.
Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.
Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu i) menggubal dasarnya yang khusus; ii) menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan iii) menjalankan kegiatan penerbitan dan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.
Pada 31 Januari 1962, DBP telah berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa). Pada tahun 1977, DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan membuka dua pejabat di di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Ini diikuti pula dengan pembukaan tiga pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (1999), Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan (1999) dan Pejabat DBP Wilayah Selatan di Johor Bharu, Johor (2003).
Kini DBP mempunyai satu bangunan ibu pejabat yang baharu. Projek pembangunan Menara DBP yang telah dimulakan pada tahun 1997 dan siap pada tahun 2003. |
| Lain-lain | 23.08.2008 |
Bagi maksud sambutan 65 tahun (misalnya untuk sambutan 65 tahun penubuhan jabatan/agensi/syarikat), adakah frasa "Sambutan Jubli Nilam 65 Tahun" tepat pada konteks dan penggunaannya? Sekiranya tidak, adakah frasa/istilah alternatif lain yang bersesuaian untuk menggambarkan sambutan 65 tahun tersebut? Terima kasih. | Bagi maksud sambutan 65 tahun (misalnya untuk sambutan 65 tahun penubuhan jabatan/agensi/syarikat), frasa yang sesuai ialah Sambutan Ulang Tahun xxx (nama jabatan/agensi/syarikat) yang Ke-65. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, jubli bermaksud perayaan untuk memperingati ulang tahun sesuatu peristiwa (hari perkahwinan, hari pertabalan raja dan lain-lain). Berdasarkan rujukan dan carian kami, jubli nilam tiada dalam maklumat kami. Hanya empat jubli yang ditemui, iaitu jubli perak (perayaan memperingati ulang tahun yang kedua puluh lima), jubli emas (perayaan memperingati ulang tahun yang kelima puluh), jubli intan (perayaan memperingati ulang tahun yang keenam puluh atau kadang-kadang ketujuh puluh lima) dan jubli platinum (perayaan memperingati ulang tahun yang ketujuh puluh). Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (hlm.915, 2021) untuk maklumat lanjut. | Makna | 06.08.2024 |
Sebagai makluman, ekoran dari keputusan Mesyuarat Prestasi Hasil Bil 3/ 2015, keputusan telah diambil untuk membincangkan semula kertas cadangan penubuhan Makmal Kastam tersebut. Bahagian Perkhidmatan Teknik Ibu Pejabat adalah dipertanggongjawabkan didalam menyediakan kertas cadangan tersebut. | Sebagai makluman, susulan Mesyuarat Prestasi Hasil Bil 3/ 2015, keputusan telah diambil untuk membincangkan semula kertas cadangan penubuhan Makmal Kastam tersebut. Bahagian Perkhidmatan Teknik Ibu Pejabat dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kertas cadangan tersebut. | Tatabahasa | 02.06.2015 |