Selamat sejahtera, minta bantuan apakah perkataan yang sesuai untuk 1. ganti dingin dalam ayat "Kedatangan murid-murid ke sekolah pada pagi ini dingin sekali kerana hujan turun dengaan lebat". 2. ganti mendarat dalam ayat " Penyelam skuba itu tidak mendarat lagi setelah dua jam menyelam". Terima kasih | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. "Kedatangan murid-murid ke sekolah pada pagi yang dingin ini kerana hujan lebat" 2. "Penyelam skuba itu tidak timbul lagi setelah dua jam menyelam" atau "Penyelam skuba itu tidak muncul lagi setelah dua jam menyelam" | Tatabahasa | 08.03.2022 |
Adakah wujud perkataan ‘pengkumur’ untuk menggantikan perkataan ‘mouthwash’? Saya terpanggil untuk menyemak setelah melihat penggunaan perkataan ini dalam satu iklan ubat kumur di media massa. Untuk imbuhan peng, apakah hukum (rules) imbuhan secara umum? Mengikut pemahaman saya, untuk perkataan bermula dengan k, huruf k digugurkan apabila imbuhan peng ditambah (prefix). Eg: kawal - pengawal. Adakah huruf k dikekalkan hanya untuk kata pinjaman? Eg: katalog - pengkatalogan. Bagaimana pula dengan perkataan kelas yang merupakan kata pinjaman inggeris ‘class’ namun menjadi pengelasan dan bukannya pengkelasan. Adakah terdapat faktor tambahan dalam kes ini? | 1. Kata pengkumur masih belum terakam dalam kamus terbitan DBP. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. Berdasarkan korpus, kata pengkumur mulut untuk ‘mouthwash’ adalah lebih tinggi kekerapannya berbanding pengumur. Dari segi semantik jika menggunakan perkataan pengumur, makna pertama yang muncul dalam minda masyarakat ialah perkaitan makna dengan kata akar umur, berbanding apabila menggunakan pengkumur, masyarakat akan terus mengaitkan makna bagi kata akar kumur. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 109, huruf p, t, k, s pertama pada kata dasar yang bercantum dengan awalan peN-, huruf pertama tersebut akan luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya dengan bunyi pertama pada kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s, seperti dalam contoh yang berikut. Contoh: pemukul (pukul), penahan (tahan), pengarang (karang) dan penyelam (selam). 2. Huruf pertama pada kata dasar yang bercantum dengan apitan peN-…-an tidak akan luluh untuk kata pinjaman seperti penkatalogan. Contoh lain: pemprosesan (proses), pengkateran (kater), dan pemvetoan (veto). (rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2011) halaman 107-111) 3. Walau bagaimanapun, kata asing yang telah terserap dalam bahasa Melayu, huruf pertama kata dasarnya akan luluh apabila menerima imbuhan apitan peN-…-an. Contoh: penyeteman (setem), pengelasan (kelas), penelefon (telefon). | Tatabahasa | 08.06.2024 |
Selamat Sejahtera. Saya nak tanya bahawa apakah perbezaan antara penggunaan di dalam dan ke dalam ataupun kedua-dua ini adalah sama dalam bina ayat. Saya berharap juga mendapat contoh ayat bagi penggunaan di dalam dan ke dalam | Kata sendi nama “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Kata sendi nama “ke” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju, dan digunakan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu dan masa. Kata sendi nama 'ke' juga dieja sebagai satu perkataan yang terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Contoh: 1. Pengembara itu sesat di dalam hutan. 2. Penyelam itu terjun ke dalam sungai. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, (DBP, 2014), halaman 265 hingga 268. | Tatabahasa | 09.08.2024 |
Saya pernah tanya soalan ini: Adakah kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang diterima sebagai menepati tatabahasa Melayu untuk memaknai sesuatu yang digunakan untuk memperkukuh, mempercantik dan memperpanjang? Contohnya: Potret-potret catan tangan itu pemercantik kamar yang sudah sedia cantik. Jawapan DBP seperti ini: Kata-kata seperti pemerkukuh, pemercantik dan pemerpanjang tidak diterima sebagai kata dalam bahasa Melayu kerana tidak menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan. Saya tertanya mengapa ia 'tidak menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan' walhal kata 'pemer-' sebagai padanan 'pelaku' untuk 'memper-' iaitu perbuatannya sudah diterima dalam bahasa Melayu khususnya dalam entri Kamus Dewan. Kata seperti 'pemeroleh' yang bermakna orang/pihak yang 'memperoleh' dan 'pemerkosa' yang bermakna orang/pihak yang 'memperkosa' sebahagian perbendaharaan kata Melayu dan ini tidak dapat dibahaskan sebagai 'kekecualian' dalam bahasa kerana tiada bentuk yang dapat diwujudkan untuk 'menepati sistem pembentukan kata untuk imbuhan' dan kata-kata seperti 'pemeroleh' dan 'pemerkosa' mendukung makna sendiri. Mungkin 'sistem pembentukan kata untuk imbuhan' DBP perlu dikemas kini dengan data terkini. | Untuk perkataan memperkukuh, mempercantik dan memperpanjang, awalan memper- bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata adjektif membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan lebih atau bertambah bagi sifat yang terkandung dalam kata dasar. Contohnya:1"> Cantik – mempercatik (menjadikan lebih cantik)1"> (TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA, m.s.: 179)1"> Untuk perkataan pemerkosa, kata dasarnya adalah perkosa. Perkataan ini menerima imbuhan awalan peN- untuk membentuk kata nama terbitan. PeN- menjadi pe- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m, n, ny, ng , r, l, dan w. Contohnya:1"> Masak – pemasak1"> Termasuk dalam jenis ini ialah kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf p, t, k, dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar luluh dan digantikan dengan bentuk sengau yang dilafazkan pada tempat yang sama daerah artikulasinya (homorganik) dengan bunyi pertama dalam kata dasar, iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k, dan ny bagi s. Contohnya:1"> Perkosa – pemerkosa1"> Tahan – penahan1"> Karang – pengarang1"> Selam – penyelam1"> Untuk lebih memahami pembentukan kata nama dengan lebih lanjut, tuan boleh merujuk buku TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA (m.s.: 104 – 132)1"> | Tatabahasa | 11.07.2019 |